25.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 5, 2022

PKP 2.0 sambung 14 hari, kes positif masih tinggi

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak dilanjutkan 14 hari lagi mulai 5 hingga 18 Februari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini berkata, langkah itu diambil berikatan kadar penularan COVID-19 yang masih tinggi.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan kes harian di kesemua negeri-negeri ini masih menunjukkan trend peningkatan dengan kadar positiviti dalam kluster adalah antara 20 peratus hingga 40 peratus.

“Selain itu, penularan jangkitan sporadik dalam komuniti juga tinggi yang melibatkan warganegara dan bukan warganegara,” jelasnya.

Kenyataan penuh beliau seperti dalam sidang media adalah seperti berikut:

Saya mulakan sidang media hari ini dengan hasil pembentangan KKM menerusi Pelan Strategik bagi menangani pandemik COVID-19 bagi fasa PKP 2.0.

Terdapat 5 strategi yang telah digariskan iaitu;
o Memutuskan Rantaian Transmisi
o Mengurangkan Morbiditi dan Kematian
o Memperkukuhkan Diagnostik dan Survelan
o Mencapai Imuniti Kelompok
o Meningkatkan Tingkatkan Kesedaran Dan Pembudayaan Normal Baharu

Strategi-strategi ini akan diperincikan oleh KKM.

Selain itu, Sidang Khas hari ini juga turut mendengar pembentangan MKN berhubung strategi kerajaan dalam menghadapi pandemik COVID-19 termasuk pengurusan sektor ekonomi dalam fasa PKP 2.0.

Terdapat 10 strategi yang telah digariskan iaitu:

• Tindakan Perundangan Melalui Ordinan Darurat : Memperkukuh Penguatkuasaan
• Pengurusan Tempat Tinggal Pekerja : Task Force Penginapan Pekerja
• Pematuhan SOP di Tempat Kerja : Pemantauan Agresif
• Pemantauan Pematuhan Menyeluruh : Flying Squad Agensi Kerajaan
• Melaksanakan Program Saringan Secara Agresif
• Skuad ABC-19 (Agen Basmi Covid-19) : Peranan Sukarelawan Komuniti
• Penempatan Sementara Sektor Awam : Memperkasa Agensi Tunjang Pengurusan Pandemik
• Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
• Penggunaan Teknologi : Pengukuhan Tindakan Kesihatan
• Naziran Pelaksanaan Tindakan : Memastikan Pelaksanaan

KKM juga membentangkan penilaian risiko Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang sedang dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung dan negeri Sabah yang dijadualkan berakhir pada 4 Februari 2021.

KKM mengesahkan kes harian di kesemua negeri-negeri ini masih menunjukkan trend peningkatan dengan kadar positiviti dalam kluster adalah antara 20% – 40%. Selain itu, penularan jangkitan sporadik dalam komuniti juga tinggi yang melibatkan warganegara dan bukan warganegara.

Sehubungan dengan itu, atas penilaian risiko dan nasihat KKM, Sidang Khas hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKP 2.0 di seluruh negara bermula 5 sehingga 18 Februari 2021 kecuali Negeri Sarawak yang kekal di bawah PKPB melainkan kawasan yang diisytiharkan PKPD.

Namun, PKP 2.0 adalah berbeza dengan PKP kali pertama yang kita pernah laksanakan tahun lalu di mana pada PKP pertama kita telah melaksanakan total lockdown.
PKP 2.0 ini pula, sektor perniagaan dan ekonomi telah dibenarkan beroperasi dengan SOP yang sangat ketat.

Perincian sektor-sektor sama ada yang dibenarkan atau tidak dibenarkan beroperasi boleh dirujuk di laman sesawang MKN.

Pergerakan merentas daerah dan negeri serta aktiviti sosial masih tidak dibenarkan, manakala SOP lain kekal seperti sebelum ini.

Setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan data-data daripada KKM. Sebagai contoh, larangan rentas negeri dilaksanakan memandangkan terdapat 31 kluster rentas negeri.

Task Force Operasi Pematuhan

• Semalam, sebanyak 3,150 Pasukan Task Force Operasi Pematuhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terdiri daripada 14,858 anggota telah melakukan 63,595 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP di seluruh negara.
• Sebanyak 3,866 pasar raya, 5,721 restoran, 1,385 kilang, 2,038 pasar awam/tani, 3,424 bank, 858 pejabat kerajaan, 3,039 tempat ibadah serta 1,403 tempat riadah telah diperiksa.
• Semalam, PDRM juga telah menahan 680 individu atas kesalahan ingkar arahan SOP.
• Daripada jumlah itu, 630 telah dikompaun, 49 individu direman manakala satu (1) dijamin.
Antara kesalahan ingkar SOP termasuk:
• Rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (140)
• Tidak memakai pelitup muka (139)
• Tiada penjarakan fizikal (136)
• Gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (80)
• Premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (30)
• Lain-lain (155)

Baca juga:   SPRM sahkan ahli politik ditahan, sita RM1.2 juta
Baca juga:   PM mahu FAM contohi pasukan Vietnam, Chelsea

Kawalan Sempadan Negara

Operasi BENTENG melibatkan:

• Angkatan Tentera Malaysia (ATM),
• Polis Diraja Malaysia (PDRM),
• Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),
• Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),
• Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),
• Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM)
• Semalam, Op BENTENG telah berjaya menahan 16 orang PATI, dua (2) tekong serta merampas enam (6) buah kenderaan darat dalam operasi yang diadakan di seluruh negara.
• Dalam operasi itu juga, 103 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui empat (4) aktiviti penglihatan.
• Sebanyak 537 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi BENTENG juga dilaksanakan diseluruh negara yang melibatkan pecahan seperti berikut:
o Op BENTENG/PENAWAR (PDRM, ATM dan RELA) – 481 SJR
o Op BENTENG PDRM – 47 SJR
o Op BENTENG AKSEM – 9 SJR

Operasi Sanitasi Awam COVID-19

• Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 15,217 operasi sanitasi merangkumi 146 zon iaitu zon merah (99), zon jingga
(19), zon kuning (22) dan zon hijau (6).
• Semalam, sebanyak 63 operasi sanitasi telah dilaksanakan di seluruh negara yang merangkumi 41 Zon Merah, empat (4) Zon Jingga, 5 Zon Kuning dan satu (1) Zon Hijau.
• Operasi ini melibatkan 397 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 211 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan 23 agensi lain-lain serta 50 buah jentera JBPM.

Kuarantin Wajib

• Semalam, seramai 800 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara dan kesemuanya telah dikuarantin wajib di stesen kuarantin seluruh negara.
• Secara kumulatif, mulai 24 Julai 2020 sehingga 1 Februari 2021, seramai 114,861 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.
• Daripada jumlah itu, seramai 8,367 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 78 Hotel dan 13 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di seluruh negara.
• Seramai 477 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 106,017 individu dibenarkan pulang.

Saringan Wajib Pekerja Warga Asing

• Semalam, seramai 7,262 warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu, 85 didapati positif COVID-19.
• Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 273,032 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 11,340 majikan.
• Daripada jumlah ini, sebanyak 4,952 telah disahkan positif COVID-19 manakala 268,080 lagi adalah negatif.
• Sehingga kini juga, sebanyak 890 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini.
• Seperti yang telah diumumkan, ujian saringan COVID-19 adalah diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari 2021.

Barang Keperluan Asas

• Semalam, Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dah Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat 704 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan termasuk peruncit (530), pemborong (144) dan pengilang (30).
• Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.
• Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP juga telah melakukan 1,622 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKP.
• Daripada jumlah itu, 1,601 premis mematuhi SOP ditetapkan, enam (6) premis diberi nasihat, lapan (8) diberi amaran manakala tujuh (7) dikompaun.
Penamatan PKPD di Blok C Dan Blok Sekolah Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar
• Kerajaan sebelum ini telah melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Blok C dan Blok Sekolah di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar yang dijadualkan tamat pada 3 Februari 2021.
• Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 22 ujian saringan dan kesemuanya positif COVID-19.
• Walaubagaimanapun, kesemua kes positif yang diisolasi di kedua-dua blok ini telah sembuh sepenuhnya dan tiada lagi sampel menunggu keputusan.
• Atas nasihat KKM, sidang Khas hari ini bersetuju untuk menamatkan PKPD di Blok C dan Blok Sekolah di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar pada 3 Februari 2021 seperti yang dijadualkan.
Pelanjutan PKPD di Kg. Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang, Batang Padang, Perak
• Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kg. Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang, Batang Padang, Perak yang dijadualkan tamat pada 3 Februari 2021.
• Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 309 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 27 kes positif COVID-19 telah direkodkan.
• KKM mengesahkan masih terdapat 34 penduduk yang masih menjalani HSO dan seorang kes positif masih dalam tempoh isolasi.
• Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kg. Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang, Batang Padang, Perak selama 7 hari lagi bermula 4 sehingga 10 Februari 2021.

Baca juga:   3,561 kes baharu COVID-19 dilapor semalam
Baca juga:   SPRM sahkan ahli politik ditahan, sita RM1.2 juta

PKPD Felcra Nasaruddin, Perak Tengah, Perak

• KKM hari ini turut melaporkan situasi kes COVID-19 di Felcra Nasaruddin, Perak Tengah.
• Sehingga kini, KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes yang mendadak dalam daerah Perak Tengah dengan 28 kes melibatkan Kluster di Felcra Nasaruddin.
• KKM turut melaporkan seramai 45 orang sedang menjalani kuarantin wajib di rumah (HSO) di lokaliti ketika ini.
• Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, Sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan PKPD di Felcra Nasaruddin, Perak Tengah, Perak mulai 3 Februari hingga 16 Februari 2021.

PKPD di Peringkat 2 dan sebahagian Peringkat 1, Felda Bersia, Hulu Perak

• KKM hari ini melaporkan peningkatan kes positif COVID-19 di Felda Bersia, Hulu Perak.
• Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 51 saringan dan daripada jumlah itu, 20 kes positif direkodkan.
• Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, sidang khas bersetuju untuk melaksanakan PKPD di (Peringkat 2 dan sebahagian Peringkat 1) Felda Bersia, Hulu Perak bermula 3 sehingga 16 Februari 2021.
• Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar yang melibatkan 800 penduduk.

Kerajaan menerima banyak rayuan dan rintihan terutama daripada peniaga mikro yang memohon kerajaan membenarkan mereka berniaga seperti biasa.


Kerajaan melalui KKM dan MKN sedang meneliti perkara ini dan akan dibawa ke mesyuarat teknikal sebelum diputuskan.


Kerajaan juga berharap rakyat terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerana apa yang kita lihat pada hari ini, jumlah kes masih lagi tinggi dan ianya berada di sekitar kita.


Jadi, kita semua perlu mengambil tindakan dengan sentiasa mengamalkan kawalan kendiri demi keselamatan diri sendiri dan masyarakat. – EDISI 9

Wartawan

Terkini

Sikap tak endah urus harta si mati membimbangkan

SIKAP tidak mengendahkan pengurusan harta pusaka si mati, menyebabkan banyak harta pusaka yang tidak dituntut. Menteri di Jabatan Perdana Menteri...

Lagi Artikel Berkaitan