25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

PH gesa PM nasihat Agong panggil sidang Parlimen Mac

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) hari ini menggesa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjunjung titah dan segera menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah untuk memanggil sidang Parlimen seawal bulan Mac sepertimana diperkenan Seri Paduka di dalam Takwim Parlimen sebelum ini.

Dalam satu kenyataan bersama, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Majlis Presiden PH menjunjung kasih ke atas Seri Paduka di atas pandangan yang dizahirkan bahawa Parlimen boleh bersidang seasam tempoh darurat yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

“Ia juga merupakan pendirian PH serta Ahli-Ahli Parlimen bahawa pada ketika pihak Eksekutif dan Kehakiman boleh berfungsi sewaktu darurat berkuatkuasa, Parlimen juga perlu terus memainkan peranan dalam memastikan urustadbir kerajaan terjaga dan proses semak dan imbang diteruskan,” kata mereka.

Oleh itu, kata kenyataan tersebut, PH mendukung penuh hasrat Seri Paduka Baginda untuk memulihkan kedudukan Parlimen dalam memainkan peranan penting dalam Perlembagaan Malaysia, mengetengahkan isu serta masalah yang dihadapi rakyat dalam usaha membendung pandemik Covid-19, serta merencana langkah-langkah bagi menghidupkan semula ekonomi negara.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah hari ini berkenan menerima menghadap Speaker Dewan Negara Senator Dr Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun di Istana Negara.

Dalam sesi itu, menurut Ahmad Fadil, Al- Sultan Abdullah menegaskan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip keluhuran Perlembagaan, dan setiap cabang pentadbiran, iaitu eksekutif, kehakiman dan Parlimen harus sentiasa akur kepada prinsip tersebut.

“Perkara ini (persidangan Parlimen) termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (KuasaKuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri.

“Oleh hal yang demikian, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.,” katanya dalam kenyataan.

Pada Januari lalu, Muhyiddin mengumumkan proklamasi darurat yang menurutnya bagi membendung penularan wabak Covid-19. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan