26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pemuda UMNO teruslah jadi jurucakap rakyat, usah peduli ‘langau’ politik

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

RUPA-RUPANYA apabila Kementerian Kewangan mengumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memansuhkan semua syarat dalam kemudian i-Sinar, ada yang gelisah dan ‘tidur tak lena’.

Mereka bukannya pencarum yang bimbang sama ada permohonan kali ini benar-benar akan diluluskan atau tidak, tetapi mereka adalah kelompok yang boleh dianggap ‘langau’ politik.

Golongan ini gelisah kerana tiada siapapun boleh menafikan bahawa selain keprihatinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta KWSP memansuhkan syarat-syarat permohonan i-Sinar, ia juga adalah hasil desakan dan perjuangan berterusan UMNO termasuk Pergerakan Pemuda parti itu.

Kegelisahan tidak tentu hala puak itu terbukti apabila Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki melalui Facebook mencatatkan;

“Ada orang perli Pemuda UMNO. Lepas ni nak berjuang apa pulak bila iSinar tanpa syarat lulus? Saya jawab Pemuda UMNO akan terus bersuara dan menjadi jurubicara bagi pihak rakyat dalam apa jua isu yang menyentuh kepentingan mereka dan kesusahan yang dialami rakyat ketika ini.”

Langkah Pemuda UMNO terus menerus memperjuangkan nasib rakyat tidak disenangi sesetengah pihak.

Sungguh pelik sikap mereka yang tidak senang dengan kejayaan Pemuda UMNO itu, sedangkan seperti mana kata Asyraf Wajdi, yang dapat manfaat rakyat.

Namun bagi mereka yang seolah-olah ada ‘gangguan jiwa’ akibat terlalu banyak mahu berpolitik, mereka bimbang keputusan KWSP itu akan memberi keuntungan politik kepada UMNO.

Oleh itu Pemuda UMNO tidak payahlah membuang masa melayan golongan itu, biarlah mereka dengan ‘perangai hodoh’ itu. Pergerakan tersebut harus terus berjuang untuk rakyat.

Lagipun apa gunanya menjadi parti politik kalau mahu berebut kuasa semata-mata sedangkan perjuangan bagi kepentingan rakyat dipinggirkan.

Walaupun UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan itu tidak bermakna parti tersebut hanya berdiam diri apabila ada isu berkaitan rakyat yang memerlukan perhatian kerajaan. Membuat desakan dan tekanan untuk kerajaan mengubah sesuatu tindak bukanlah ‘satu dosa’.

Sebaliknya ia jauh lebih mulia daripada perbuatan mengambil kesempatan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan sesama parti yang berada dalam satu gabungan. Bak kata orang, ‘lebih baik jaga kain rakyat yang tengah susah daripada jaga kain parti orang lain.’

Selama ini banyak pihak bercakap soal check and balance, hingga ada yang ‘mengamuk’ bila Parlimen digantung, kata mereka ia menyekat suara rakyat.

Tetapi Pemuda UMNO sudah membuktikan Dewan Rakyat bukannya satu-satunya platform untuk memperjuangkan nasib rakyat. Pemansuhan syarat oleh KWSP adalah buktinya. Apa yang penting ialah kesungguhan dan keikhlasan serta keprihatinan kerajaan untuk bertindak.

Pemuda UMNO tidak perlu terganggu dengan ‘langau-langau’ politik ini. Selagi sesuatu perjuangan itu untuk kebaikan rakyat, teruslah berjuang bersesuaian dengan hashtag #PemudaJurubicaraRakyat. Kalau nak harap sayap satu lagi parti yang kononnya nak ganti UMNO tu untuk menegur, sampai ke sudah la nampak ‘bunga’ saja

Jangan bersikap seperti parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH), ketika mereka berkuasa mahu membangkitkan masalah rakyat pun takut, apatah lagi menegur kerajaan ketika itu.

Dalam keadaan negara diancam pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan rakyat berasa dalam keadaan susah, mereka memerlukan pembelaan.

Kita tidak boleh mengharapkan kerajaan tahu segala-galanya atau semua tindakan kerajaan adalah betul.

Keadaan inilah yang menuntut parti-parti politik bersuara. Dan suara parti politik dalam kerajaan seperti mana dilakukan oleh Pemuda UMNO dianggap lebih ikhlas berbanding mereka yang berada di luar gabungan kerajaan. Justeru Pemuda UMNO jangan biarkan ‘langau-langau’ politik mengugat perjuangan mereka.

Lagipun buat apa nak layan, kalau kita sudah boleh agak kenapa mereka tidak selesa dengan isu-isu yang diketengahkan oleh UMNO. Tambahan pula berbanding parti lain dalam Perikatan Nasional, UMNO adalah parti paling kuat dan berpengaruh, sudah tentu dengan kelebihan ini, suara UMNO tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Tidak salah untuk kerajaan mahu membiarkan atau mendiamkan diri terhadap setiap isu yang dibangkitkan termasuk daripada UMNO, tetapi kena fahamlah nyawa kerajaan di tangan rakyat, kalau ‘mahu hidup lama’ dengarlah suara rakyat,. UMNO sudah faham benar perkara ini. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan