26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Pemuda UMNO Sri Gading pula lapor polis terhadap Kadir Jasin

Mesti Baca

PEMUDA UMNO Bahagian Sri Gading membuat laporan polis terhadap Tokoh Wartawan, Datuk A. Kadir Jasin berhubung kenyataan beliau dalam akaun Facebooknya baru-baru ini.

Laporan dibuat oleh Penolong Setiausaha Pemuda UMNO bahagian itu, Hairul Faizee Sa’aidin bersama beberapa Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO di Ibu Pejabat Polis Batu Pahat, malam tadi.

Dalam laporan tersebut, mereka mendakwa A. Kadir yang juga bekas penasihat media Tun Dr Mahathir Mohamad itu sengaja membuat provokasi agar orang awam membuat perbahasan berhubung kedaulatan Majlis Raja-raja mengenai isu darurat dan pembubaran Parlimen.

Mereka mendakwa A. Kadir juga seolah-olah dengan sengaja mendesak dan mengugut Majlis Raja-raja agar menyelesaikan isu darurat dan pembubaran Parlimen yang mana jika sekiranya tidak dilakukan Majlis Raja-raja bakal berdepan masalah di kemudian hari.

“Pertamanya saya maklumkan yang saya hadir dan buat laporan mewakili Datuk Najib Samuri, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sri Gading dan seluruh Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian.

“Kedua, saya nyatakan pendirian kami bahawa kerajaan Perikatan Nasional adalah sebuah kerajaan hasil gabungan di antara ahli-ahli Parlimen sahaja dan bukanlah gabungan melibatkan parti politik.

“Ketiga, saya tegaskan bahawa UMNO adalah sebuah parti politik yang dalam apa jua keadaan sekalipun, ketika menang mahupun kalah tetap mempertahankan dan menjaga kedaulatan institusi istana dan raja-raja Melayu di Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Hairul Faizee berkata, sebarang kenyataan mengandungi unsur provokasi yang sengaja untuk memberi tekanan kepada institusi istana amatlah dikesali.

Minggu lalu, Majlis Belia Negeri Johor membuat laporan polis ke atas A. Kadir berhubung hantaran sama yang didakwa menghina dan menghasut terhadap Majlis Raja-raja, institusi istana dan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam laporan yang dibuat di Balai Polis Benut, Pontian itu, Majlis Belia Johor mendakwa, artikel Kadir dalam Facebooknya yang mempersoalkan mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu dan kenyataan beliau menimbulkan hasutan pada masyarakat. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan