25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Pekerja J&T campak barang bantah struktur bonus, komisen

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Insiden mencampak barangan pelanggan di premis syarikat kurier, J&T Express di Perak, baru-baru ini didapati berpunca daripada perasaan tidak puas hati pekerja tentang pemberian bonus dan komisen.

Perkara itu disahkan oleh Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut kementerian berkenaan, siasatan mendapati pekerja-pekerja terbabit terutamanya di bahagian penghantaran tidak berpuas hati dengan pemberian bonus berdasarkan prestasi.

Mereka juga membantah perubahan struktur bayaran komisen secara unilateral yang akan menyebabkan pendapatan pekerja yang terlibat berkurang.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berkenaan berlaku di sebuah premis perniagaan syarikat yang terletak di Perak dan ia berpunca daripada bebanan kerja yang dialami oleh pekerja-pekerja di bahagian gudang berikutan peningkatan mendadak bungkusan,” jelas Kementerian Sumber Manusia.

Siasatan dijalankan oleh Kementerian Sumber Manusia susulan penularan video di media sosial pada 4 Februari lalu mengenai tindakan beberapa orang pekerja J&T Express yang menguruskan pemunggahan bungkusan secara kasar sebagai protes terhadap majikan.

Kementerian Sumber Manusia telah menjalankan siasatan terhadap beberapa buah premis perniagaan syarikat terbabit di Perak, Melaka, Johor dan Selangor.

Tambah kementerian itu, majikan memaklumkan bahawa isu berhubung kejadian pekerja memunggah bungkusan secara kasar telah selesai dan ia berlaku disebabkan salah faham.

Advertisements

“J&T Express telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada para pelanggan serta menjelaskan tentang sistem pemberian bonus kepada kakitangan yang menjadi punca ketidakpuasan hati kakitangan J&T,” kata Kementerian Sumber Manusia.

Sehubungan itu, Kementerian Sumber Manusia menggesa majikan supaya sentiasa mengadakan perbincangan dengan pekerja terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perubahan yang melibatkan kepentingan pekerja.

“Ini bagi memastikan keharmonian perusahaan yang dinikmati pada hari ini serta kebajikan pekerja akan terus berkekalan dan terpelihara,” kata kementerian itu.

Pada 7 Februari lalu, Edisi 9 melaporkan tentang perbuatan tidak bertanggungjawab beberapa pekerja sebuah syarikat kurier mencampakkan barangan pelanggan seperti yang dapat dilihat melalui rakaman video yang tular dalam media sosial sejak semalam mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.

Dalam video tersebut, pekerja-pekerja dilihat menjerit dan melaungkan perkataan yang tidak jelas butirnya.

Difahamkan, mereka berbuat demikian sebagai tanda protes terhadap majikan.

Usahawan yang menjual produk secara dalam talian khususnya khuatir perbuatan itu akan menyebabkan barang yang dihantar kepada pelanggan mereka rosak.

Mereka turut membangkitkan persoalan sama ada syarikat kurier terbabit bersedia membayar ganti rugi terhadap kerosakan yang disebabkan oleh tindakan pekerjanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan