29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Kembali ke sekolah, sesi secara bersemuka bermula 1 Mac

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Sesi persekolahan bagi murid prasekolah, murid tahun satu dan tahun dua akan bermula pada 1 Mac manakala sesi persekolahan murid tahun tiga, empat, lima dan enam pula bermula 8 Mac.

Menteri Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, bagi pelajar sekolah menengah sesi persekolahan akan bermula pada 4 dan 5 April.

Beliau berkata, keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memulakan sesi persekolahan bagi pelajar prasekolah, tahun satu dan tahun dua terlebih dulu bagi membiasakan mereka dengan prosedur operasi standard (SOP) terlebih dahulu.

“Pelajar sekolah menengah pula akan kembali belajar secara bersemuka bermula 4 April depan bagi Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Bagi negeri-negeri Kumpulan B, sesi persekolahan akan bermula pada 5 April. Pelajar sekolah menengah kembali ke sekolah sejurus tamat cuti penggal,” katanya pada sidang media khas hari ini.

Dalam pada itu, Radzi merayu ibu bapa supaya memastikan SOP dipatuhi sewaktu murid berada di luar sekolah.

Katanya, cabaran dihadapi KPM adalah ketika penyuraian murid selepas tamat sesi persekolahan.

“Ibu bapa biasanya akan menunggu di luar sekolah tanpa ada penjarakan sosial. Kadangkala tiada penjarakan fizikal ketika penyuraian murid,” katanya lagi.

Beliau berkata, takwim persekolahan adalah kekal seperti yang dikeluarkan sebelum ini.

‘’Tarikh pembukaan sekolah ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan.

‘’Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran mengikut tarikh pembukaan sekolah yang ditetapkan dan memenuhi semua SOP yang ditetapkan,’’ katanya.

Beliau berkata, kolej vokasional pula akan dibuka pada 1 Mac manakala sekolah antarabangsa dan institusi pendidikan swasta kategori pusat termasuk pusat tuisyen akan dibuka pada 8 Mac.

Radzi dalam pada itu berkata, sebarang perancangan KP dibuat dengan teliti dan pendekatan diambil berdasarkan input serta maklum balas daripada semua pihak. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan