KUALA LUMPUR – Kalau sesiapa berhasrat untuk balik kampung dalam masa terdekat, lupakan sahaja jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan selepas 18 Februari ini.
Ia berikutan penegasan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr.Adham Baba bahawa kementeriannya akan mencadangkan supaya larangan negeri tetap dilaksanakan walaupun setakat ini tidak ada kluster daripada kelompok tersebut dicatatkan.
“Kita mohon rentas negeri dikekalkan. Sehingga sekarang keupayaan untuk melandaikan lekuk sangat penting. Kita telah nampak kes-kes telah menurun dan nilai kebolehjangkitan telah berada di bawah paras 1.0. Sebelum ini nilai kebolehjangkitan berada di paras melebihi 1.0,” katanya kepada media, hari ini.
Beliau juga memaklumkan, Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan tujuh atau lapan kawasan di Semenanjung akan bertukar status ke Zon Hijau dalam masa terdekat.
Pada masa ini, kata Dr Adham, dua kawasan iaitu Lipis dan Bera, Pahang telah dikategorikan Zon Hijau.
“Perkembangan positif itu susulan daripada larangan rentas negeri yang dikuat-kuasakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula pada 13 Januari lalu,” katanya.
Mengulas mengenai suntikan vaksin Covid-19, beliau menasihatkan mereka yang tidak bersetuju dengan perkara itu tidak menjalankan kempen menolak suntikan tersebut.
Dr. Adham menjelaskan, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan ke atas 200,000 responden sebanyak 67 peratus responden bersetuju untuk mengambil vaksin.
“Sebanyak 17 peratus melalui kajian secara dalam talian itu tidak pasti untuk menerima suntikan vaksin tersebut manakala 16 peratus tidak setuju.
“Kita sudah menjalankan beberapa tindakan atau langkah untuk memastikan yang tidak pasti itu bersetuju menerima suntikan, (kalau itu berjaya dilakukan) bermakna kita ada 84 peratus masyarakat yang setuju.
“Cuma saya nak ingatkan kepada mereka yang tidak bersetuju, jangan kempen tidak bersetuju kepada orang lain kerana ini menyalahi kaedah kerana bila anda kempen untuk tidak (bersetuju) kepada orang lain, ini akan menyebabkan tohmahan atau perkara yang mungkin tak dapat (dilaksanakan) dan ia menyalahi Akta 342,” katanya.