34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

YSD lancar e-pembelajaran khas untuk pemegang biasiswanya

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Yayasan Sime Darby (YSD) melancarkan platform e-pembelajaran pertamanya bagi melengkapkan pembelajaran akademik para pemegang biasiswanya.

Ketua Pegawai Eksekutif YSD, Dr Yatela Zainal Abidin berkata, platform itu akan melengkapi YSD THRIVE yang diperkenalkan sejak Ogos tahun lalu, iaitu satu pembangunan untuk para pemegang YSD Excellence.

Menurut beliau, pelancaran platform ini merupakan pencapaian penting kerana YSD sentiasa menggunakan kemajuan teknologi untuk menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti tinggi.

“Dengan menggunakan platform e-pembelajaran pada kadar masing-masing dan melengkapkan aktiviti lain dalam YSD THRIVE, para siswa akan dapat meningkatkan keyakinan mereka dan mempersiapkan diri untuk mengharungi cabaran dunia nyata.

“Ia juga akan memastikan tahap kompetensi mereka dapat memenuhi syarat pengambilan pekerja di syarikat-syarikat Sime Darby dan kemahiran mereka relevan dengan keperluan industri praktikal,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata, dalam usaha menyediakan bantuan pendidikan secara inklusif dengan tumpuan kepada golongan kurang bernasib baik, para pemegang bursari YSD yang dipilih setiap tahun juga diberikan akses platform tersebut selama 12 bulan.

Katanya, dengan memanfaatkan sepenuhnya platform e-pembelajaran tersebut, mereka akan dapat meningkatkan kelayakan dan kebolehkerjaan mereka melalui kursus-kursus dan sijil-sijil kemahiran teknikal dan insaniah.

YSD THRIVE sebelum ini menawarkan latihan kemahiran insaniah yang disesuaikan (T), program mentor berpotensi tinggi (H), kepimpinan yang berdaya tahan melalui sesi perkongsian (R), latihan industri di syarikat Sime Darby (I) dan peluang sukarelawan (V).

“Bagi memenuhi elemen ‘E’ dalam program ini, YSD memperkenalkan Platform e-Pembelajaran YSD yang menyediakan maklumat kursus, nota kuliah dan aktiviti pembelajaran komprehensif lain yang boleh diakses secara atas talian,” katanya.

Seramai 49 pemegang biasiswa YSD Excellence berpeluang mendaftar untuk menyertai lebih 5,000 kursus di Udemy yang merupakan pasaran global terbesar untuk pembelajaran dan pengajaran atas talian.

Kursus-kursus yang ditawarkan adalah seperti sains data, kewangan dan perakaunan, IT, kepimpinan dan pengurusan, pengurusan projek, produktiviti pejabat dan pembangunan peribadi – disampaikan oleh pakar-pakar dan pengamal industri terkemuka di dunia.

“Inisiatif ini sekaligus memenuhi keperluan para siswa untuk persiapan kerjaya masa depan mereka sebagai pemimpin Sime Darby,” kata beliau.

Sejak penubuhannya, YSD telah menganugerahkan biasiswa dan bursari bernilai RM301.5 juta para pelajar di dalam dan luar negara, majoritiya berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Program-program biasiswa dan bursari YSD dianugerahkan kepada anak-anak muda yang berbakat dan cemerlang serta para pelajar daripada pelbagai tahap keupayaan, kedudukan sosioekonomi dan kecenderungan akademik.

Untuk mereka yang berminat untuk memohon biasiswa dan bursari YSD yang akan bermula pada Mac 2021, sila layari www.yayasansimedarby. com. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan