26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Akar umbi lega keputusan Majlis Tertinggi UMNO

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh AZIZI SALIM

ALHAMDULILLAH! Itulah maklum balas segera akar umbi UMNO selepas Majlis Tertinggi parti memutuskan menolak kerjasama dengan Bersatu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mereka lega selepas sekian lama menanti satu keputusan konkrit bagi membuat persiapan menghadapi pilihan raya getir itu berikutan tiada arahan jelas diterima daripada pucuk pimpinan sebelum ini.

Sejak Barisan Nasional (BN) tewas dalam PRU-14 lalu, UMNO kelihatan hilang semangat, namun ia dapat dibangkitkan semula dalam tempoh singkat.

Semangat semakin memuncak apabila UMNO dan Pas memeterai piagam Muafakat Nasional (MN) yang menyaksikan kedua-dua parti itu menjalin kata sepakat mengenai umat Melayu dan Islam di negara ini.

Sejarah tercipta. UMNO dan Pas kembali semula sejak 1974. Kedua-dua parti menjadi pembangkang dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Langkah segera dibuat oleh UMNO di peringkat akar umbi yang mana banyak bahagian sudah mula menyusun pembahagian kerusi dengan Pas, dengan harapan mereka bersama-sama menghadapi PRU-15, menghadapi kerajaan PH.

Namun lain yang dirancang, lain pula jadinya. Kerajaan PH tumbang selepas Bersatu meninggalkan PH dan Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan Perdana Menteri tidak sampai separuh penggal PH memerintah.

UMNO dan Pas kemudian menyertai kerajaan Perikatan Nasional di ketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Bersatu sebagai Perdana Menteri.

Dalam diam Pas berpakat dengan Bersatu menubuhkan parti Perikatan Nasional (PN), manakala Muafakat Nasional yang pada awalnya akan turut didaftar sebagai sebuah parti tidak menjadi kenyataan.

Penubuhan kerajaan PN yang disertai UMNO menyebabkan akar umbi menjadi keliru. Di mana kedudukan parti itu dalam kerajaan kerana pucuk pimpinan kelihatan tidak dapat membuat satu keputusan jitu.

Skuad Sabil Pemuda UMNO sentiasa bersiap sedia melaksanakan tugas-tugas parti membela rakyat. – Gambar hiasan

Isu pengagihan kerusi dan gerak kerja UMNO terbantut. Jika sebelum ini UMNO dan Pas hampir selesai berhubung pengagihan kerusi, kini terpaksa pula diambil kira ‘rakan baharu’ iaitu Bersatu.

Ah sudah! UMNO semakin berkecamuk. Nak bergerak ‘terbantut’ dek keputusan pucuk pimpinan yang bermain tarik tali dengan Bersatu. Lebih membingungkan, ada pimpinan yang mahu bersama Bersatu manakala selebihnya menolak kerjasama itu.

PRU-15 semakin hampir setelah Muhyiddin memberi jaminan akan membubarkan Parlimen apabila darurat tamat dan keadaan negara selamat untuk mengadakan pilihan raya.

Pucuk pimpinan parti masih belum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan UMNO, Bersatu dan Pas. Apakah mahu bersama atau sebaliknya.

Di Terengganu, awal-awal lagi UMNO membuat ketetapan untuk bergerak solo tanpa kerjasama dengan Pas mahupun Bersatu.

Tiada Muafakat Nasional di Terengganu! Kata Ahmad Said tegas dan jelas. Maka UMNO negeri itu sudah menyusun gerak kerja secara bersendirian tanpa melibatkan Pas mahupun Bersatu. Jelas…

Namun di peringkat Pusat, Presiden UMNO masih lagi dalam dilema sama ada mahu bergerak bersendirian atau menyertai kerjasama dengan PN.

Isu kerjasama dengan DAP hangat diperkatakan. Akar umbi semakin bingung apakah hala tuju UMNO yang dirancang pucuk pimpinan? Mereka menunggu arahan dari Menara Dato Onn.

Dan semalam, khabar dari Janda Baik mengembirakan sebahagian besar pimpinan akar umbi kerana akhirnya UMNO membuat satu ketetapan iaitu menolak kerjasama dengan Bersatu menghadapi PRU-15.

Walaupun semua Ahli Majlis Tertinggi membuat keputusan menutup mulut mengenai keputusan mesyuarat namun perkara itu dapat dihidu oleh Edisi 9. Maka pecahlah berita mengenainya.

Pucuk pimpinan masih berdiam diri kerana mungkin untuk menjaga hati rakan dalam PN tetapi akar umbi di bawah sana sebetulnya sudah bersorak girang.

Sudah ada jalan penyelesaian dan yang penting sudah ada hala tuju apa yang nak dilakukan.

Benar UMNO sudah tiada duit, tidak semewah semasa mengetuai kerajaan namun harus diingat parti itu dibina atas semangat perjuangan untuk membela agama, bangsa dan tanah air.

UMNO sekarang tidak perlu wang untuk bergerak, tidak. Akar umbi UMNO sedar gerak kerja mesti dilakukan walaupun terpaksa makan biskut ‘mayat’ dan teh-O.

Kerana apa yang penting bagi akar umbi sekarang ialah UMNO dan BN perlu memenangi PRU-15 sebanyak mungkin kerusi untuk menjadi penentu kerajaan pasca-pilihan raya.

UMNO belajar dari kekalahan BN sebelum ini dan dari kerajaan PN yang ditubuhkan bersama parti lain.

UMNO menjadi parti terbesar dalam PN namun mereka tidak boleh membuat sebarang keputusan. UMNO merasakan mereka dibuli rakan dalam PN hanya kerana memegang status sebagai “parti kalah”.

Malah UMNO juga sukar untuk membantu rakyat seperti sebelum ini kerana keputusan tidak di tangan mereka, tetapi dipihak yang lain. UMNO hanya mampu menjadi kumpulan pendesak dalam kerajaan.

PRU-15, UMNO dan BN membawa iltizam tinggi untuk kembali menerajui kerajaan dan keputusan MT UMNO semalam adalah satu keputusan amat penting dan ditunggu-tunggu oleh akar umbi.

Kini sampan sudah di air, pengayuh sudah di tangan. Ayuh para tentera dan jentera pilihan raya parti termasuk wirawan dan wirawati Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, mulakan gerak kerja anda.

UMNO mesti menang dan kembali menjadi kerajaan. Kembalikan kuasa dan yang penting kembalikan maruah!

  • Penulis adalah pembaca Edisi 9. Tulisan ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan