32.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

UMNO, usahlah desak Pas buat keputusan

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9


BARU-BARU ini, beberapa pemimpin UMNO mendesak Pas supaya memuktamadkan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN).

Dalam bahasa mudah, Pas perlu memilih sama ada bersama muafakat itu atau Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Secara logiknya, seruan atau desakan itu sepatutnya tidak perlu dibuat. Pas kini adalah anggota rasmi PN tetapi bekerjasama dalam perjuangan menyatukan ummah di dalam MN.

Sejak awal lagi, MN dibina bukan atas platform politik walaupun yang terlibat itu dua parti politik tetapi termeterainya perjanjian 14 September 2019 di PWTC adalah atas dasar dan niat penyatuan ummah.

“Dengan izin Allah, sesungguhnya UMNO dan Pas dengan setulus hati mengisytiharkan pembentukan suatu Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.”

Itulah ayat dalam mukadimmah piagam. Ia kemudiannya disusuli dengan ‘ikrar’:

  • MEMPERKUKUHKAN Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.
  • MEMPERKASAKAN agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.
  • MEMBENTUK KERJASAMA dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.
  • MENGIKHTIARKAN secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.

Penulis menyebut kembali isi kandungan piagam sebagai memperingatkan semua pihak bahawa kerjasama dalam MN bukanlah penyatuan politik.

Ia semata-mata demi menyatukan ummah khususnya melibatkan dua parti Melayu yang sudah berbalah antara satu sama lain sejak berpuluh-puluh tahun sehingga sampai ke tahap kafir mengkafir.

Oleh itu mana-mana pemimpin UMNO tidak boleh atau dilihat mendesak Pas untuk memilih antara PN dan MN, tidak timbul soal pilihan.

Kedudukan Pas dalam politik sudah jelas, Pas adalah anggota rasmi PN yang dipimpin oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berusaha menyatukan ummah melalui MN yang dipimpin oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi.

Pas kini berada dalam Kerajaan PN yang di dalamnya ada Bersatu dan UMNO.

Dalam keadaan dua parti itu ‘bergaduh tak habis-habis’, Pas mahu menjadi ‘orang tengah’ dengan matlamat menyatukan ummah. Walaupun usaha ini bukan mudah, jika melihat kepada ketegangan hubungan antara Bersatu dan UMNO, namun Pas akan berusaha.

Advertisements

Seorang pemimpin kanan Pas dalam satu pertemuan peringkat tertinggi dengan pemimpin kanan UMNO dan Bersatu menyatakan, selama berpuluh-puluh tahun UMNO dan Pas bergaduh, apabila mereka bersama dalam MN ia adalah satu rahmat Allah dan rahmat itu semakin melimpah apabila terbentuk pula kerjasama dengan Bersatu. Ia melengkapkan penyatuan ummah tiga parti Melayu.

“Bukan mudah untuk kami meminta ahli-ahli kami memangkah Dancing, bukan mudah untuk menyakinkan ahli-ahli kami untuk bersama UMNO tetapi kita berjaya lakukan kerana niat kita mahu satukan ummah, jadi apabila itu sudah menjadi realiti, kenapa kita mahu berpecah balik,” kata pemimpin kanan Pas itu.

Penulis diberitahu, pemimpin tersebut berkata demikian kerana ‘berasa kecewa’ dengan sikap sesetengah pemimpin UMNO yang terlalu tegar untuk tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu.

Orang boleh berkata apa sahaja termasuk berhujah Pas sudah lupa daratan kerana dapat kawan baru, Pas dituduh kelabu mata kerana sudah menjadi kerajaan, Pas mengamalkan sikap ‘ dapat gading bertuah, tanduk reput ditinggalkan’, tetapi jangan lupa Pas tidak terlibat dalam mencetuskan perbalahan antara UMNO dan Bersatu.

Bersatu bukannya parti serpihan Pas tetapi parti serpihan UMNO. Tugas Pas mahu menyatukan ummah bukannya memecah belahkan ummah.

Cukuplah lebih 60 tahun Pas dikatakan menjadi punca umat Islam berpecah dan apabila Pas mahu dan sudah menjadi penyatu ummah, kenapa pula Pas harus didesak membuat pendirian politik sama ada memilih PN atau MN?

Pemimpin-pemimpin UMNO yang membuat desakan seumpama itu perlu menghormati kedudukan Pas sebagai anggota rasmi PN.

Sama ada Pas akan untung atau rugi, sama ada Pas akan bersama dengan PN yang ada jentera pilihan raya atau tidak, itu bukan urusan UMNO.

Sebaliknya urusan UMNO sekarang ialah bersedia untuk berjuang sendirian dalam pertarungan tiga penjuru, jika parti mengekalkan keputusan tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu.

Sepatutnya UMNO perlu faham apabila mereka sudah keputusan seumpama itu, mereka juga harus memahami kesannya.

Namun begitu kita tetap berharap tiga parti Melayu itu akan mencapai kesepakatan kecualilah salah sebuah parti terlalu yakin akan menang selesa dalam PRU-15 dengan berjuang sendirian, biarpun ramai berpendapat, senario politik semasa akan memungkinkan ia sekadar satu mimpi.

Apapun usahlah memaksa apatah lagi mendesak Pas membuat pilihan. Pengalaman berpuluh-puluh menjadi pembangkang membolehkan Pas semakin matang dan bijak dalam membuat keputusan.

Jangan bimbang. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan