28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

25 tahun TVET tidak pernah aman

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Oleh NORDIN ABDUL MALEK

TAHUN ini genaplah 25 tahun penulis melibatkan diri secara serius dalam bidang latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Sejarah bermula sejak tahun 1996 apabila penulis menubuhkan pusat latihan kemahiran swasta di USJ, Subang Jaya, Selangor. Antara kelas latihan utama ketika itu ialah aplikasi komputer dan disusuli dengan kelas tuisyen bagi memanfaatkan ruang kemudahan yang ada.

Memandangkan penulis ketika itu masih berkhidmat sebagai Ketua Jabatan sebuah syarikat senaraian awam terkemuka dalam bidang IT, maka penulis menjalankannya secara separuh masa dengan dibantu rakan kongsi.

Namun, krisis ekonomi Asia pada tahun 1997, membuka peluang besar kepada penulis untuk meningkatkan kapasiti perniagaan apabila kerajaan telah membuka ruang kolej swasta (IPTS), setelah Akta Pendidikan digubal pada tahun 1996.

Kesan kejatuhan matawang negara menyebabkan kerajaan mula mengurangkan penghantaran pelajar ke luar negara dan diisi dengan IPTS tempatan termasuk penulis.

Permintaan yang tinggi menyebabkan penulis berpindah ke Ipoh pada tahun 1998 untuk mengurangkan kos operasi memandangkan nilai hartanah dan kos sara hidup di Ipoh jauh lebih murah.

Hasil fokus penulis kepada bidang TVET terutama Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang ketika itu berada di bawah Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK), Kementerian Sumber Manusia, penulis berjaya menjadi antara IPTS kemahiran terbesar dan terkenal di Malaysia (terima pelbagai anugerah).

Pada pada tahun 2001, hasil rundingan pusat-pusat latihan yang diketuai oleh penulis sendiri, kerajaan telah mewujudkan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTK) untuk memberi pinjaman kepada pelatih-pelatih kemahiran yang dilihat terpinggir berbanding pelajar bidang akademik.

Maka wujudlah pusat latihan yang tidak terkawal bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Penulis (tengah) bersama Pengarah, tenaga pengajar kolej pertanian dan pegawai-pegawai pendidikan daerah Plekiu, Vietnam dalam satu lawatan Pendidikan di Vietnam tahun 2016.

Insentif dan inisiatif yang sepatutnya meningkatkan pencapaian pusat latihan, tiba-tiba berubah menjadi apa yang disebut sebagai “The Nightmare Of MLVK” pada tahun 2003. Kesan tragedi tersebut, ramai yang gulung tikar.

Walaupun penulis turut terkesan teruk sehingga membawa kebankrapan, namun penulis berjaya melepasi ujian dan bertahan hingga kini kerana semangat, ilmu dan pengalaman penulis yang juga terlatih sebagai graduan bidang pendidikan.

Sejak saat itu, program TVET terutama kendalian swasta telah terumbang-ambing ibarat kapal di tengah gelora. Jika kapten kapalnya tidak cekap dan rasional, maka tenggelamlah sesebuah kapal.

Masalah ini bukan sahaja memberi kesan kepada sistem latihan kemahiran swasta tetapi juga keseluruhan TVET, samada di peringkat sekolah, mahupun pendidikan lepas sekolah (tertiary).

Sebagai pemain TVET swasta, sejak 25 tahun lalu, penulis dapati pemain swasta telah mengalami empat gelombang sakit (umpama benca Tsunami juga ) iaitu pada tahun 2003, 2016, 2018 dan terkini ialah tahun 2020.

Tahun 2003 melibatkan krisis TPK dan pertindanan antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia. Bagi tahun 2016 pula ialah apabila terlalu banyak idea penjenamaan TVET (bersifat kulit semata-mata) dan kedegilan sesetengah kapten kapal untuk memahami realiti perlaksanaan sebenar.

Penulis bersama Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Australia Selatan di South Australia selepas menghadiri mesyuarat kerjasama TVET di Australia beberapa tahun lalu.
Advertisements

Namun, belum pun reda kesan tahun 2016, datang pula Tsunami paling dahsyat iaitu regim kerajaan PH mengambil alih pentadbiran negara yang menjadikannya semakin haru.

Penulis sendiri terpaksa membuat keputusan bersejarah apabila operasi dihentikan seketika (2018-2019) kerana bimbang risiko yang berat.

Penghujung tahun 2019, nampak tanda-tanda untuk pulih kembali. Malang sekali lagi, datang pula wabak Covid-19. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu.

Majoriti pusat latihan kemahiran melaporkan bahawa mereka telah kerugian hampir 80 peratus sumber pendapatan kerana kemasukan pelajar yang turun mendadak dan latihan juga tidak dapat dijalankan sepanjang tahun, sedangkan hukum TVET memerlukan sekurang-kurangnya 70 peratus latihan praktikal secara bersemuka.

Difahamkan jika PKP terus dilaksanakan untuk tempoh satu atau dua bulan lagi, majoriti Pusat kemahiran ini akan gulung tikar dan bakal menjadi sejarah terburuk bagi pusat latihan kemahiran swasta.

Keadaan akan menjadi sangat parah kerana beban kewangan yang ditanggung sejak tahun 2016 masih belum dilangsaikan. Apakah akan berlaku ‘The Nightmare 2.0’ pada tahun ini?

Oleh kerana penulis membicarakan soal pusat latihan kemahiran swasta, apakah pusat latihan awam juga tidak menerima tempias akibat dasar yang kian lintang pukang ini?

Jawapannya ya, tetapi pusat latihan awam tidak begitu terasa dari segi beban kewangan. Namun, sama ada awam mahupun swasta, keduanya memberi sumbangan kepada hala tuju TVET negara apabila dibandingkan dengan negara lain yang jauh mundur suatu masa dahulu tetapi sudah jauh memintas kita seperti China, Vietnam dan India.

Pada tahun 2012, salah satu pusat latihan penulis melatih guru-guru TVET Vietnam di Melaka. Bangganya kita menjadi tuan rumah yang kononnya sudah lebih hebat. Namun hari ini, mereka sudah jauh meninggalkan kita.

Pada tahun 2011, dalam satu persidangan antarabangsa ekonomi Asia-Eropah bagi sektor pendidikan (ASEMME), negara China yang jauh ketinggalan dalam ranking TVET dunia telah menyatakan komitmen untuk menjayakan misi TVET mega dengan dana yang besar.

Proses awal selepas itu tidak dibuka untuk dikunjungi pelawat di sekolah-sekolah China. Namun, dalam masa tidak sampai lima tahun iaitu pada tahun 2014, ternyata transformasi besar-besaran itu menjadi kenyataan seiring dengan kemajuan ekonomi mereka.

Tidak hairan, sekolah di China pada tahun tersebut sudah mula mengajar TVET menggunakan simulator di sekolah masing-masing seperti pengendalian keretapi laju.

Sedangkan di Malaysia, pusat pengajian bertaraf tinggi dan pusat latihan KTMB pun belum tentu ada simulator sedemikian pada masa ini. Boleh betulkan fakta jika saya tersilap.

Apakah masa depan TVET post pandemik Covid-19? Nampaknya masih di jalan buntu. Percanggahan berlaku antara keperluan tenaga kerja terlatih, mengurangkan pengagguran melalui kemahiran baru dengan SOP menangani Covid-19 masih belum pasti. Sekejap boleh jalan, sekejap tidak. Malah kadang-kadang tiada jawapan.

Inilah nasib TVET terutama kendalian swasta. Sebab itu, institusi kewangan sudah lama melabelkan bidang ini sebagai perniagaan yang tidak berdaya tahan dan berdaya maju kerana dasarnya suka berubah sesuka hati, sekelip mata yang menjadikannya sangat berisiko.

Dari sudut kepentingan modal insan negara, ini memberi kesan buruk kepada keyakinan dunia terhadap perancangan TVET negara. Kita tidak boleh melabelkan dengan hanya kerana kita menang beberapa pingat dalam pertandingan kemahiran peringkat antarabangsa sebagai pengukur kononnya kita sudah hebat.

Ya. Mungkin sebahagiannya benar tetapi jumlah belia 500,000 orang yang lahir lepasa SPM setiap tahun membuktikan bahawa separuh daripada mereka memasuki pasaran kerja tanpa apa-apa kelayakan akademik mahupun kemahiran rasmi. Mereka inilah sepatutnya menjadi fokus kita untuk ditangani.

TVET post pandemic Covid-19 sebenarnya sedang menguji banyak isu yang bakal timbul. Apakah masih relevan apa yang kita sedang banggakan? Apakah impaknya sangat parah buat kita?.

Maka tibalah masanya kita duduk bersama mencari penyelesaian. Buang ego kita demi kebaikan bersama. Berubah sebelum kita diubah!

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.


Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan