24.9 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Lepasan TVET berpeluang jalani latihan industri di Jepun

Mesti Baca

LEPASAN Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia bakal berpeluang menjalani latihan industri di Jepun apabila Pertubuhan Kemajuan Industri, Kerohanian dan Budaya (OISCA) bersetuju untuk menyediakan tempat di negara itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia hasil pertemuan beliau dengan OISA Antarabangsa di Tokyo, Jepun hari ini.

Beliau berkata, dalam pertemuan tersebut, pihak OISCA bersetuju menyediakan tempat untuk Program Latihan Industri dan juga menjadi platform kepada laluan kerjaya bagi graduan yang berminat untuk bekerja di lebih 5,000 rakan industri OISCA di Jepun.

Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, OISCA Antarabangsa juga mengiktiraf program perantisan (apprenticeship) industri di Jepun dengan menganugerahkan pelajar Malaysia Diploma Dalam Latihan Industri selepas mereka menamatkan program pembelajaran.

“Ini akan memberi peluang kepada belia Malaysia untuk menimba pengalaman berharga, serta meningkatkan kebolehpasaran dan nilai pasaran mereka,” katanya dalam kenyataan di Tokyo, Jepun hari ini.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam rangka lawatan rasmi selama tujuh hari ke Tokyo dan Osaka.

Turut sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Pada pertemuan itu, Zahid turut dilantik sebagai Presiden OISCA Antarabangsa (Malaysia).

Selain OISCA, beliau berkata, pihak City of Yokohama juga turut sama menyediakan Program Yokohama Internship and Job Placement.

Advertisements

Katanya, ini bagi membuka peluang graduan-graduan TVET di Malaysia untuk membina kerjaya bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat global.

Zahid berkata, beliau turut mengadakan lawatan ke Institut Teknologi Nasional, Kolej Tokyo (Tokyo KOSEN) bagi mempelajari Model KOSEN yang wajar dicontohi.

“Model KOSEN ini menekankan konsep pembelajaran TVET yang lebih menyeluruh dan terangkum dimana ianya menyediakan laluan pembelajaran selama lima tahun kepada pelajar yang cenderung memilih bidang TVET seawal usia 15 tahun,” katanya.

Beliau berkata, usaha-usaha tersebut akan dirangkum bagi menjadi sebahagian daripada usaha membangunkan Dasar TVET Negara yang dijadual dilancarkan pada Jun ini.

Pasa masa kini, Malaysia mempunyai 1,345 institusi TVET, dengan kadar kebolehpasaran 92.5 peratus untuk graduan TVET.

Zahid berkata, rangka kerja tersebut akan menjadi garis panduan untuk program TVET di seluruh negara kemudian disesuaikan untuk memenuhi keperluan industri.

Dasar itu juga, kata beliau, akan digubal bagi meningkatkan kebolehpasaran serta daya saing tenaga kerja di samping meletakkan asas untuk pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara yang mampan.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri telah mengarahkan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menjenamakan dan memperkasakan semula Malaysia-Japan Institute (MJI) untuk menjadikannya peneraju utama dalam pemerkasaan TVET negara khususnya bersama pemegang taruh di Jepun.

“Jalinan kerjasama TVET Malaysia-Jepun turut akan diperkukuhkan dengan penglibatan Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dalam menghasilkan penawaran modal insan terbaik di dalam bidang ini,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM1.59 bilion untuk Terengganu

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.59 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi manfaat rakyat...

Lagi Artikel Berkaitan