AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah bot pukat tunda kelas C bersama tiga lelaki warganegara.
Ini selepas mereka dipercayai cuba menyeludup 6,009 liter minyak diesel di kedudukan 0.6 batu nautika utara Pulau Langgun, Langkawi kira-kira pukul 11 malam semalam.
Bot nelayan terbabit ditahan ketika sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan semasa dihampiri oleh Kapal Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Aman di sekitar perairan Langkawi.
Maritim Malaysia dalam satu kenyataan berkata, ketika pemeriksaan dilakukan ke atas bot berkenaan, terdapat satu ruang asing yang dibuat di atas bot yang ditutupi dengan kayu papan lapis.
Katanya, anggota penguat kuasa kemudian membongkar kayu papan tersebut dan menemukan dua kotak yang telah diubah suai menjadi tong minyak tambahan dan mengesyaki bot nelayan itu terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak subsidi.
“Minyak tambahan yang dibawa dianggarkan sebanyak 6,000 liter dengan nilai hampir RM13,000,” kata kenyataan itu hari ini.

Ketiga-tiga lelaki warga tempatan yang berusia lingkungan 32 hingga 40 tahun itu ditahan bersama bot dan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen seperti yang ditetapkan di dalam buku lesen dan Akta Bekalan 1961 iaitu memilik barang-barang kawalan dengan melakukan kesalahan.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 mereka boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan melanggar syarat lesen, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Maritim Malaysia mengingatkan pengusaha bot nelayan tempatan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara,” katanya.
Pihak Maritim Malaysia Maritim Negeri Kedah dan Perlis mengalu-alukan aduan dan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Kedah dan Perlis di talian 04-9662750. – Edisi 9

