25.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

UMNO pupus jika gagal tarik sokongan generasi muda

Mesti Baca

Mesin Taip Buruk
Mesin Taip Buruk
Blogger / Kolumnis Edisi 9

WAKIL pelajar pro-Aspirasi yang selama ini mendukung perjuangan UMNO dikatakan kalah teruk dalam pilihan raya kampus membabitkan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ketua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) adalah calon pro-PKR sementara wakil-wakil parti MUDA menguasai sebahagian besar barisan jawatankuasa MPP kali ini. Itulah yang disampaikan kepada penulis.

Kalau benarlah dakwaan tersebut, penulis tertanya-tanya apa sudah jadi dengan UMNO?

Apakah kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) telah meranapkan sebahagian tugu perjuangan parti keramat Melayu itu khususnya dalam kalangan generasi muda?

Jika benarlah keputusan MPP di universiti terbesar negara dan satu-satunya universiti yang dibina khas untuk anak-anak Melayu, lalu apakah UMNO mempunyai kekuatan untuk bertanding dalam PRU-15 secara bersendirian di bawah panji BN?

Mampukah UMNO/BN bersaing menentang Pakatan Harapan (PH) iaitu gandingan DAP, PKR dan Amanah serta bertemu Perikatan Nasional (PN) – Bersatu dan Pas?

Jika melihat keputusan MPP UiTM dan mungkin juga senario sama berlaku di universiti-universiti lain, sebaiknya UMNO berfikir dua kali untuk bertandingan secara bersendirian.

Ini kerana jika UMNO dan BN gagal bangkit dalam PRU-15 untuk mencipta kemenangan dan kembali membentuk kerajaan atas sokongan rakyat, nescaya UMNO tidak akan lagi bangkit sampai bila-bila.

Malah tidak mustahil UMNO akan mati dengan sendirinya tanpa perlu ada pihak-pihak lain yang mematikannya, kalau tidak sekarang mungkin dalam tempoh beberapa penggal akan datang.

Buktinya di Selangor, apabila kita tewas dalam PRU-12 kepada PKR, sehingga hari ini harapan untuk UMNO/BN hampir tiada sama sekali.

Bukan itu sahaja, kelab-kelab UMNO luar negara yang dahulunya menjadi aspirasi mahasiswa Malaysia yang belajar di seberang laut, ini kelab-kelab tersebut mati satu persatu.

Difahamkan daripada lebih 50 kelab UMNO yang ada di seluruh dunia kini yang tinggal hanya sekitar 16 kelab, dan kebanyakannya sudah nazak menunggu mati.

Penulis percaya jika pucuk UMNO terus-menerus bertelagah dan berkecamuk (meminjam kata-kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan) dan tidak berusaha untuk menampal kebocoran “bahtera” parti di sana sini, kelak bahtera ini akan tenggelam di dasar laut.

Jika bahtera UMNO ini tenggelam, ia bukan sahaja menenggelamkan para pemimpin atasan yang sentiasa mencari akal untuk menyelamatkan diri tetapi juga berjuta-juta umat Melayu yang selama ini berpaut pada bahtera yang sama.

Jangan fikir UMNO adalah parti keramat dan mempunyai kekuatan ahli sehingga lebih 3 juta maka UMNO pastinya teguh dan selamat sampai bila-bila.

UMNO dalam keadaan bahaya jika parti itu ditolak oleh generasi muda terutama golongan mahasiswa. – Gambar Hiasan

Hal sama berlaku pada sebuah syarikat akhbar Melayu tertua dan terbesar di negara ini – Utusan Melayu.

Memikirkan bahawa syarikat itu milik orang Melayu, akhbar yang membawa perjuangan Melayu dan akhbar “suara keramat” sudah tentu ia akan selamat tetapi akhirnya mati begitu sahaja.

Advertisements

Mati pula ditangan pemimpin UMNO yang selama ini konon memperjuangkan nasib orang Melayu.

Nasib sama nescaya akan terjadi kepada UMNO parti keramat orang Melayu ini jika para pemimpinnya masih lena diulit perjuangan lalu, masih leka dengan sejarah kecemerlangan panjang tanpa menyedari parti makin lama makin dimamah bubuk.

Ingat jika dahulu generasi muda hanya ada UMNO dan Pas untuk menjadi parti yang mewakili mereka, kemudian wujud UMNO, Pas dan PKR namun hari ini mereka mempunyai banyak parti orang Melayu untuk menjadi wakil mereka.

Malah parti seperti DAP sendiri berusaha untuk “memelayukan” diri mereka dengan menarik golongan muda, disekolahkan dengan “sekolah demokrasi” dan mereka ini diberi peluang seluas-luasnya untuk menjadi suara parti.

Mereka bukan sahaja dilantik menjawat jawatan penting di barisan hadapan tetapi juga diberi peluang untuk bertanding dalam PRU dan menjadi wakil rakyat, tanpa mengira lelaki atau perempuan.

Atas sebab itulah anak-anak muda hari ini lebih galak menyertai parti-parti alternatif selain UMNO dan Pas yang dianggap “parti tua” tanpa ada pembaharuan, pemimpin-pemimpin tua yang enggan mengundurkan diri dan tidak memberi peluang kepada generasi muda mempimpin parti.

Itulah pandangan mereka. Sebab itulah apabila ada parti mewakili orang muda seperti MUDA, mereka berbondong-bondong menganggotainya.

Bukan sebab yakin parti itu boleh membela nasib orang Melayu seperti sering dicanang oleh UMNO tetapi parti yang memberi peluang kepada orang muda untuk mencaturkan negara demi agama dan tanah air.

Bukan parti yang konon memperjuangkan Melayu, namun tidak henti-henti bertelagah untuk menyelamatkan sesetengah pemimpin mereka yang berdepan dengan kes-kes mahkamah.

UMNO, andai parti ini tidak mahu menerima nasib sama seperti Utusan Melayu, pemimpin mereka perlulah berubah.

Dalam pemilihan parti yang akan dilaksanakan tahun ini, para pemimpin yang terpalit dengan kes mahkamah — tidak peduli sama ada atas dendam politik atau apa sahaja alasan — berundurlah seketika.

Beri laluan para pemimpin lain yang bersih di mata rakyat untuk memimpin parti. Buka peluang seluas-luasnya kepada anak-anak muda untuk menganggotai parti bukan dipimpin oleh warlord-warlord yang tidak pernah merasa puas dengan kekayaan mereka.

UMNO sekarang bukan UMNO ketika zaman kegemilangannya yang menjadi lubuk untuk mencari kekayaan, gelaran dan pangkat.

UMNO sekarang tidak boleh lagi mengheret panji perjuangan yang asal ketika ditubuhkan di Istana Bukit Serene dahulu.

UMNO sekarang sudah ada banyak persaingan dengan parti lain yang membawa aspirasi dan perjuangan sama.

Maka UMNO sekarang perlu berubah dan mengubah haluan perjuangan yang lebih konkrit bukan sahaja untuk orang Melayu tetapi juga kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum.

UMNO perlu berubah jika tidak parti keramat Melayu ini akan pupus dan terkubur tanpa nisan.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan