28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

PKP: solat fardu, Jumaat di surau, masjid Selangor ditangguhkan

Mesti Baca

SHAH ALAM – Solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di masjid serta surau di Selangor ditangguhkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari mulai hari ini.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, sepanjang tempoh PKP, solat Jumaat digantikan dengan solat zuhur di rumah masing-masing.

Namun katanya, hanya lima petugas masjid, surau kebenaran Jumaat dan surau dibenarkan menunaikan solat Jumaat serta solat fardu secara berjemaah pada setiap waktu.

Selain itu katanya, majlis akad nikah pula akan dijalankan secara sidang video hanya kepada pasangan yang telah mendapat kebenaran berkahwin dan tarikh janji temu akad nikah oleh Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) atau di masjid pengurusan.

“Pelaksanaan akad nikah secara sidang video akan dilakukan pendaftar yang berada di PAID manakala pengantin, wali dan dua saksi berada di rumah. Pegawai Tadbir Agama (PTA) setiap daerah akan menetapkan pelaksanaan majlis akad nikah berdasarkan janji temu yang telah diatur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan menjelaskan, perkhidmatan utama JAIS khususnya melibatkan urusan nikah, cerai dan rujuk dilakukan secara dalam talian.

Pada masa sama katanya,  10 kaunter talian telefon untuk konsultasi dan urusan janji temu bagi tujuan terlibat dibuka.

Beliau menambah, untuk sebarang pertanyaan, pelanggan boleh menghubungi talian 03-5514 3600 atau 03-5514 3400 sepanjang waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat selain platform e-mel di [email protected].

Dalam kenyataan berasingan, JAIS mengesahkan usahawan kosmetik, Nur Sajat disiasat mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.

Katanya, siasatan terhadap Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 36, dibuat berikutan terdapat beberapa aduan yang diterima mengenai kelakuannya pada 2018 dan 2020.

Menurut jabatan itu, pihaknya juga mengambil maklum berhubung video yang ditularkan usahawan berkenaan berkaitan insiden membabitkan dirinya dan beberapa orang penguat kuasa JAIS, baru-baru ini.

“Sajad sudah membuat laporan polis berkaitan insiden itu.

“Pegawai penguat kuasa berkenaan juga dipanggil untuk memberikan keterangan,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan mengenai pendedahan Sajat berkaitan layanan tidak wajar penguat kuasa JAIS terhadapnya dan dia turut ditahan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Kuala Kubu Bharu pada 6 Januari lalu.

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan