32.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Lebih baik batal HSR daripada gadai kedaulatan

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh: TOK PUTIH

RAMAI yang bising bila kerajaan terpaksa membatalkan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang merentasi sebahagian Semenanjung Malaysia hingga ke Singapura.

Memang secara kasarnya, kita nampak rugi besar kerana terpaksa membayar pampasan bagi kerja-kerja yang telah dimulakan oleh Singapura.

Namun, tidak ramai yang tahu bahawa pembatalan projek mega yang diilhamkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu sebenarnya menyelamatkan Malaysia daripada mengalami kerugian yang lebih besar.

Yang paling penting adalah soal kedaulatan dan maruah negara dalam rundingan projek HSR yang dikatakan lebih menguntungkan Singapura yang dahulunya dikenali sebagai Temasek.

Cuba bayangkan. Panjang landasan dalam tanah Semenanjung Malaysia adalah kira-kira 360 kilometer tetapi di kawasan pulau Singapura hanya 20 kilometer sahaja.

Nisbahnya 18:1 tetapi Singapura dikatakan mahu hak yang hampir sama terhadap projek HSR.

Cacing yang kecil pun mahu makan lauk yang besar macam ular sawa. Mana boleh begitu.

Yang paling membimbangkan sekiranya Singapura menuntut hak terhadap landasan yang berada dalam tanah Semenanjung Malaysia.

Kita memang faham sangat dengan fiil Singapura yang seperti Belanda dapat tanah.

Cuba kaji apa yang berlaku dalam isu Pulau Batu Putih dan hak penggunaan ruang udara oleh pesawat Singapura di Johor.

Pulau Batu Putih memang sudah terlepas bila kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengangkat bendera putih tak mahu mempertahankan kedaulatan kita di situ.

Ruang udara Johor pun dah dijadikan macam rumah sendiri oleh Singapura.

Itu belum dikira lagi perjanjian bekalan air mentah ke Singapura yang sangat berat sebelah.

Dengar cerita, lokasi stesen-stesen HSR pun kena mendapat persetujuan Singapura terlebih dahulu.

Kerajaan Malaysia pun dah banyak beri muka kepada Singapura. Sampai malam 31 Disember 2021 masih cuba berunding lagi tetapi Singapura masih dengan sikap kiasunya.

Kalau macam itu seksanya, buat apa hendak diteruskan lagi? Silap-silap nanti Malaysia yang merana.

Memang patutlah kerajaan Malaysia membuat keputusan membatalkan projek HSR yang bakal merugikan negara bukan sahaja dari segi kewangan malah menjejaskan kedaulatan Malaysia yang sangat kita cintai ini.

Lebih baik buat projek kereta api laju dari Johor Baharu ke Padang Besar sahaja. Rakyat kita juga yang dapat manfaatnya.

Kalau orang Singapura hendak sangat merasa naik kereta api laju, biarkan mereka meredah Tambak Johor dulu dan naik kereta api laju dari Johor Bahru.

Kalau tak, layanlah MRT dalam pulau Singapura yang sempit dan sendat itu.

Tok Putih ialah seorang pemerhati isu diplomatik dan hubungan luar. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan