https://www.facebook.com/104738764409996/posts/262341488649722/
KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan memandu sendiri meredah banjir di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Menerusi video dikongsi Laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dirakam memandu kenderaan itu ketika Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah duduk di tempat penumpang bahagian depan.
Video berdurasi 10 saat itu menunjukkan Seri Paduka langsung ‘tidak kekok’ mengendalikan kenderaan itu meredah banjir.

Malah, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkesempatan berhenti menuruni kenderaan rasmi Baginda untuk menyampaikan sumbangan kepada pemandu-pemandu lori yang terkandas akibat kenaikan air banjir di Plaza Tol Karak, lebuh raya Pantai Timur (LPT).
Berdasarkan keterangan Istana Negara, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan mengadakan lawatan mengejut ke daerah Maran, Pahang bagi mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara sekitar Maran.
Turut berangkat sama ialah Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.