27.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 19, 2021

UMNO,Pas sudah mencukupi untuk kuasai semula kerajaan – Khaled

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, mereka yang menyeru dan mendakwa agar tidak perlu ada parti Melayu yang dominan, adalah mereka yang gagal memahami hakikat politik nasional, tidak sensitif dan malas berusaha untuk mengangkat dan melindungi orang Melayu.

Katanya, UMNO sebagai sebuah parti politik Melayu tertua dan terbesar, tidak akan memadamkan mandat dan tugasnya sebagai parti nasionalis terbesar dan teras kepada kekuatan politik Melayu Islam.

‘’Misi UMNO adalah menguasai semula kerajaan melalui BN dengan kerjasama PAS, dan tiada siapa dapat dan patut menghalangnya,’’ katanya melalui catatan dalam Facebook beliau hari ini.

Berikut catatan penuh beliau;

Parti Melayu yang dominan semenjak Merdeka ialah UMNO. UMNO bukan sahaja dominan sebagai parti Melayu, tetapi parti dominan dalam Barisan Nasional.

Dek kekuatan UMNO, BN dapat berfungsi dengan baik sebagai sebuah perikatan. UMNO bukan sahaja memberi ruang dan peluang kepada Gerakan, MCA dan MIC bertanding di kawasan majoriti Melayu, malah sentiasa berusaha memastikan kemenangan parti-parti komponen ini.

Pemimpin parti BN yang kalah dalam PRU pun sering dilantik dalam pelbagai jawatan berkepentingan awam demi keterangkuman yang UMNO dan BN perjuangkan.

Semua ini bukti bahawa sekali pun UMNO dominan dan menjadi parti tunggak, ia tidak pernah menafikan kepentingan parti-parti lain dalam BN. Malah, dengan kekuatan UMNO lah, parti-parti komponen BN yang lain turut diterima, menjadi kuat dan mempunyai perwakilan dalam kerajaan.

Baca juga:   Tiada anggota ATM mengundi awal dijangkiti Covid-19
Baca juga:   Jumlah kes positif hampiri 2 juta, 19,733 kes hari ini

Dalam demokrasi berparlimen ala Westminster, parti dengan kemenangan paling banyak akan dipilih membentuk kerajaan. Kerajaan yang stabil adalah kerajaan yang mempunyai mandat terbesar. Ia petanda keyakinan rakyat.

Kerana itu, mantan Perdana Menteri Britain, Theresa May, tidak boleh menjayakan Brexit kerana beliau tidak mempunyai mandat yang mencukupi.

Apabila Boris Johnson mengambil alih jawatan Perdana Menteri, keutamaan beliau ialah kemenangan dengan majoriti besar bagi membolehkannya melaksanakan keputusan referendum untuk keluar dari EU.

Begitu juga dalam politik Melayu Islam di Malaysia. Parti Melayu yang dominan telah lama wujud dan tidak boleh dinyahkan begitu sahaja.

Malah, sebuah parti Melayu yang dominan sangat penting dalam memastikan kestabilan politik nasional. Sama ada kenyataan ini sensitif atau tidak, berselindung atau bersemuka, ini adalah hakikat.

UMNO dan Pas adalah rakan kerjasama yang setara dalam Muafakat Nasional. Namun kekuatannya berbeza. UMNO ternyata lebih besar dari segi pengaruh dan kekuatan akar umbi. Pas pula mempunyai kelebihan tersendiri dalam mewakili orang Melayu.

Atas dasar inilah UMNO bersedia untuk menyokong kerajaan sedia ada. Sumbangan UMNO adalah untuk memastikan kita bukan sahaja mempunyai kerajaan, tetapi kerajaan yang stabil. Demi rakyat dan kelangsungan pentadbiran, UMNO berkompromi.

Namun yang mesti turut diingat, UMNO sebagai sebuah parti politik Melayu tertua dan terbesar, tidak akan memadamkan mandat dan tugasnya sebagai parti nasionalis terbesar dan teras kepada kekuatan politik Melayu Islam.

Baca juga:   Polis akan panggil 6 pengamal media ceroboh PKRCB MAEPS

Misi UMNO adalah menguasai semula kerajaan melalui BN dengan kerjasama Pas, dan tiada siapa dapat dan patut menghalangnya.

Mereka yang bercadang memencilkan pengaruh UMNO adalah mereka yang sebenarnya lemah dan tidak mempunyai kekuatan untuk ditawarkan kepada bangsa Melayu di Malaysia.

Baca juga:   Pegawai Imigresen hadapi 17 tuduhan terima rasuah

Mereka sekadar sedar politik Melayu itu penting, tetapi tidak mempunyai sebarang agenda untuk menjayakannya. Cadangan dan pandangan sebegini tidak wajar, dan tidak seharusnya berterusan.

Ini kerana, mereka yang menyeru dan mendakwa agar tidak perlu ada parti Melayu yang dominan, adalah mereka yang gagal memahami hakikat politik nasional, tidak sensitif dan malas berusaha untuk mengangkat dan melindungi orang Melayu.

Sebenarnya, UMNO dan Pas adalah kekuatan yang mencukupi. Yang selebihnya, akan menyebabkan ‘the space is a little bit too crowded’.

Terkini

500,000 masalah paparan sijil vaksin selesai tempoh seminggu

CYBERJAYA – Sebanyak 500,000 masalah ketiadaan paparan sijil vaksin digital di dalam aplikasi berjaya diselesaikan MySejahtera dalam tempoh seminggu...

Lagi Artikel Berkaitan