27.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 19, 2021

Sikap angkuh, benci penghalang UMNO, Bersatu berbaik

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

APABILA Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru supaya semua pemimpin Melayu bersatu dalam sebuah jemaah besar berbanding berpecah-belah dalam kabilah kecil sehingga melemahkan mereka, penulis tidak menaruh apa-apa harapan.

Ia kerana awal-awal lagi beberapa pemimpin politik Melayu membuat kenyataan yang akan memungkinkan harapan untuk melihat orang Melayu yang berpecah-belah kerana fahaman politik bersatu terus kekal sekadar impian sahaja.

Sebenarnya, penulis tidak nampak kesukaran menyatukan orang Melayu dalam Bersatu mahupun UMNO dengan Pas tetapi cabaran terbesar ialah mewujudkan muafakat antara Bersatu dengan UMNO. Kedua-dua parti itu ada sejarahnya seperti mana kata Muhyiddin;

‘’’…Hakikatnya telah terpahat dalam lipatan sejarah, Bersatu dan UMNO menjadi seteru politik. UMNO di sebelah sana, Bersatu di sebelah sini. Dalam pilihanraya kita bertembung antara satu sama lain. Jadi, mungkin luka masih berdarah. Parut masih berbekas.’’

Tetapi persoalannya adakah mereka harus membiarkan ‘luka itu terus berdarah’ dan ‘parut yang berbekas’ itu bagaikan satu tembok yang tidak mampu diruntuhkan demi kepentingan ummah?

Penulis berpendapat, ia tidak sukar dilakukan jika kesemua pemimpin dan ahli UMNO dan Bersatu benar-benar menghayati surah al-Hujurat ayat 10 yang dibaca oleh Muhyiddin yang bermaksud;

‘’Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.’’

Inilah kekuatan kita sebagai umat Islam, sejauh mana pun perbezaan antara kita dan sehebat manakah permusuhan antara kita tetapi ia sama sekali tidak akan memisahkan kita daripada hakikat bahawa kita semua bersaudara.

Namun penyatuan antara kedua-dua parti itu mustahil untuk dicapai selagi ada keangkuhan, keegoan dan kebencian. Akui sahaja sikap ini ada dalam kalangan sesetengah pemimpin kedua-dua parti tersebut.

Kelompok inilah yang menjadi penghalang kepada niat baik Muhyiddin untuk menyatukan orang Melayu.

Dalam Bersatu ada pemimpin yang angkuh, contohnya baru beberapa bulan memerintah dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) biarpun dengan sokongan UMNO, mereka sudah merasakan parti itu sudah cukup hebat dan kuat.

Baca juga:   Tiada keperluan mengabsah pelantikan PM, kata Peguam Negara

Kenyataan sudah melahirkan dua Perdana Menteri dalam tempoh setahun, akan menang majoriti dua pertiga dan beberapa kenyataan lain yang menyinggung perasaan UMNO tentunya akan menyukarkan lagi usaha menyatukan dua parti Melayu itu.

Sepatutnya bila sudah bekerjasama dalam sebuah kerajaan, berhati-hatilah bercakap bukannya ikut sedap mulut sahaja. Kalau pemimpin itu telah lama dalam politik tidak mengapa juga, ini baru setahun jagung, hafal nama parti politik pun masih terkial-kial, sudah mahu mendabik dada.

Begitulah juga dengan sikap seorang dua pemimpin kanan parti itu yang dilihat di depan bercakap lain, di belakang bercakap lain serta melakukan tindakan yang dianggap bertujuan melemahkan UMNO.

Baca juga:   Mengenang Cikgu Majid, pemergian yang dirasai

Bak kata seorang kawan, ‘’Muhyiddin hulurkan tangan bersalam, orang-orang di belakang dia hunuskan pisau’’.

Begitu juga dalam UMNO tidak boleh ada pemimpin yang angkuh dan merasakan parti itu sudah cukup kuat untuk berjuang sendirian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tanpa menjalin kerjasama dengan Pas dan Bersatu, ini adalah perkiraan yang salah kerana senario politik sudah berubah.

Penulis tidak yakin UMNO akan menang dan menubuhkan kerajaan biarpun dengan kerjasama parti komponen Barisan Nasional (BN) memandangkan keahlian dalam parti komponen itupun sudah berkurangan. Begitu juga Bersatu dan Pas, mereka tidak akan mencapai kemenangan kalau berjuang sendirian.

Dalam UMNO juga ada pemimpin yang angkuh apabila awal-awal lagi mahu Muhyiddin membubarkan Bersatu dan kembali ke dalam UMNO kalau mahu orang Melayu bersatu.

Keadaan menjadi semakin sukar untuk menyatukan UMNO dan Bersatu kerana ada kelompok pemimpin yang menyimpan dendam kesumat. Contohnya dalam UMNO, ada pemimpin bertaraf ‘tukang-tukang komen’. Buatlah apapun mereka tetap menolak sebarang usaha untuk bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15.

Itulah antara perangai buruk yang ada dalam UMNO dan Bersatu yang boleh menjadi penghalang terbesar kepada usaha memperbaiki kerjasama kedua-dua parti itu seperti mana dihasratkan oleh Muhyiddin.

Penulis tidak menyebelahi mana-mana parti. Penulis adalah orang Melayu dan sudah muak melihat orang Melayu berpecah belah kerana berbeza fahaman politik kerana ia akhirnya memberi peluang kepada pihak lain untuk berkuasa.

Baca juga:   Projek runding terus manifesto PH 'makan diri' - Pemuda Pas

Keadaan ini tidak mustahil berulang dalam PRU-15, jika orang Melayu khususnya dalam UMNO dan Bersatu tidak mampu mencari titik perdamaian antara mereka.

Perlu diingat, kalau parti-parti Melayu gagal bekerjasama untuk mengembalikan kuasa politik Melayu dalam pilihan raya berkenaan, jangan mimpi ia akan dapat dikembalikan di masa akan datang.

Memang benar pembahagian kerusi akan menjadi halangan terbesar, tetapi setiap masalah pasti ada penyelesaian, setiap kemelut tentu ada cara untuk mengatasinya. Yang penting ialah sikap jujur dan ikhlas bukannya bermuka-muka.

Anehnya, sama ada dalam UMNO dan Bersatu masing-masing ada pemimpin yang begitu hebat bercakap soal penyatuan Melayu dan mahu memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak kembali memerintah selepas PRU-15 tetapi tindak tanduk mereka sendiri akan memungkinkan PH kembali berkuasa.

Baca juga:   28 pemain dipanggil sertai latihan pusat Harimau Malaya

Betul kata Muhyiddin, ‘’Kemelut politik yang sedang kita hadapi ini adalah satu bentuk ujian yang didatangi oleh Allah SWT kepada kita. Sebagai seorang Islam, saya percaya ada kebaikan di sebalik ujian getir ini.

”Di hadapan kita terbentang luas peluang untuk kita mempersatukan umat Melayu dan Islam di negara kita yang telah mengalami perpecahan politik sejak sekian lama.’’

Kenyataan Muhyiddin itu tidak akan membawa apa-apa makna dan mustahil dicapai, selagi dalam UMNO dan Bersatu, ada sikap ego, angkuh dan benci dalam kalangan pemimpin dan pengikut mereka.

Kesimpulannya, penulis percaya selagi kedua-dua parti itu tidak mencapai kata sepakat, tidak mahu bertolak ansur, tidak mahu membuang kebencian politik, tidak pandai menunaikan janji dan sentiasa angkuh mempertahankan parti masing-masing, sudah pasti dalam selepas PRU-15 nanti, orang Melayu hanya berbangga sebagai kelompok yang ramai dan ada tiga parti tetapi tiada apa-apa kekuatan ibarat buih-buih di lautan sahaja.

Ia juga menunjukkan betapa tidak bijaknya orang Melayu berpolitik, mahu bersatu untuk kekuatan sendiripun berbalah, kalau bangsa lain mendapat peluang untuk bergabung sudah tentu peluang ini tidak akan dilepaskan. Itulah bezanya kita dengan mereka!

Terkini

500,000 masalah paparan sijil vaksin selesai tempoh seminggu

CYBERJAYA – Sebanyak 500,000 masalah ketiadaan paparan sijil vaksin digital di dalam aplikasi berjaya diselesaikan MySejahtera dalam tempoh seminggu...

Lagi Artikel Berkaitan