KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan supaya Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah yang meninggal dunia petang ini diberi penghormatan ‘Istiadat Pengebumian Negara’.
Ketika memaklumkan perkara itu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jenazah Allahyarhamah akan dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara, esok.
Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, beliau mewakili kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia mengucapkan takziah kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan seluruh keluarga di atas kepulangan Allahyarhamah ke rahmatullah.
‘’Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah dan menempatkan beliau bersama-sama golongan yang beriman,’’ katanya.
Allahyarhamah Tun Rahah yang merupakan balu kepada Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia sekitar pukul 4.45 petang di Pusat Perubatan Prince Court di ibu negara.
Khabar pemergian Allahyarhamah yang berusia 87 tahun itu, disahkan oleh Najib menerusi akaun Twitter beliau.
Lewat petang ini, Najib melalui akaun Facebook memaklumkan jenazah Allahyarhamah Tun Rahah telah dibawa ke kediaman Allahyarhamah di Jalan Eaton.
‘’Jenazah bonda dibawa pulang ke rumah. Kami dalam perjalanan. Saya kehilangan kata-kata. Bonda bagaikan pelita hidup saya.
”Dunia saya kini bagaikan dalam kegelapan. Tiada sinar cahaya lagi,’’ kata Najib melalui catatan yang diiringi gambar jenazah Allahyarhamah dibawa masuk ke dalam van di Pusat Perubatan Prince Court.
Selain Najib, Allahyarhamah mempunyai empat lagi anak termasuk bekas Pengerusi CIMB Group, Datuk Ser Mohamed Nizar Razak.