30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Tun M,Ku Li mahu selamat negara, minta Ahli Parlimen tolak Belanjawan 2021

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Dua Ahli Parlimen veteran Tun Dr.Mahathir Mohamad (Langkawi) dan Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) yang mengadakan sidang akhbar bersama bagi menawarkan khidmat selamatkan negara hari ini meminta Ahli-ahli Parlimen menolak Bacaan Kali Ketiga Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021, esok.

Kedua-dua ahli politik yang pernah bertarung pada 1987 bagi merebut jawatan Presiden UMNO sehingga mengakibatkan parti itu terpecah berkata, penolakan belanjawan itu boleh diterjemahkan sebagai penolakan kepada Kerajaan Perikatan Nasional yang disifatkan lemah dan tidak mementingkan rakyat.

Dr.Mahathir yang meletakkan jawatan Perdana Menteri pada Mac lalu sehingga dianggap menjadi punca Kerajaan Pakatan Harapan tumbang selepas memerintah selama 22 bulan berkata, beliau dan Tengku Razaleigh berharap kerajaan sedia ada ditolak dan diganti dengan kerajaan lebih kukuh demi masa depan negara.

“Ada kemungkinan esok, apabila mereka (Ahli-ahli Dewan Rakyat) mengundi untuk bacaan kali ketiga bil itu, maka ada kemungkinan kerajaan akan jatuh.

“Saya harap mereka yang dalam Dewan Rakyat dapat berhenti memikirkan tentang diri mereka semata-mata, tetapi mula memikirkan tentang negara. Kita lihat kerajaan ini tidak mempunyai motivasi untuk membantu rakyat, tetapi hanya memikirkan apa yang mereka dapat,” kata Dr.Mahathir.

Bekas Perdana Menteri itu yang juga Pengerusi Parti Pejuang berkata, beliau dan Tengku Razaleigh berharap status kegemilangan Malaysia sebagai kuasa ekonomi ‘Asian Tiger’ dapat dikembalikan semula.

Katanya lagi, mereka mahukan negara ini berada pada landasan yang betul untuk menjadi negara yang disegani, seterusnya memastikan masa depan yang lebih cerah untuk generasi seterusnya.

“Kami berbincang untuk mencari jalan supaya negara kita kembali menjadi negara maju semula. Kita sedar waktu ini negara kita hadapi banyak masalah, and the whole government system pun tak berjalan dengan baik.

“Kerajaan (Perikatan Nasional) mempunyai kelebihan dua undi sahaja. Dan semua ahli politik di Malaysia ini hanya (tertumpu) dengan politik saja, untuk tentukan kedudukan mereka. Kebanyakan mereka cuma pandang tugas mereka untuk mendapat pendapatan lumayan,” katanya lagi.

Dr.Mahathir berkata, kerajaan sekarang tidak ada strategi untuk membawa dasar bagi membela rakyat sebaliknya hanya terlibat dengan politik termasuk untuk kepentingan diri sendiri.

‘’ Tak ada satu strategi untuk memulihkan ekonomi negara dan juga menangani masalah Covid-19. Kami harap akan dapat sokongan bagi menjayakan idea ini,’’ katanya.

Ditanya adakah beliau bersedia bekerjasama dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, Dr.Mahathir yang bergabung dengan PKR dan DAP bagi menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu berkata, beliau tidak mahu bekerjasama dengan Ahli Parlimen Pekan tersebut.

Kata Dr.Mahathir yang berusia 95 tahun itu, beliau tetap berpegang kepada prinsip bahawa Najib merupakan punca sebenar mengapa negara tidak berada pada landasan yang tepat untuk menjadi negara maju.

“Dengan Datuk Seri Najib saya tidak boleh kerjasama. Saya minta maaf, saya dijemput untuk menjadi Perdana Menteri sebelum Tan Sri Muhyiddin jadi Perdana Menteri (lagi).

“Saya kata kepada mereka satu kerajaan yang bergantung kepada Datuk Seri Najib untuk jadi kerajaan bukanlah satu benda yang saya boleh terima. Tapi Muhyiddin kata dia boleh terima. Dia ambil lah,” katanya.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan