25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, February 9, 2023

SD sokong Anwar: Jika itu fitnah Zahid, Najib kena nafikan!

Mesti Baca

Editor
Editor Edisi 9

ANALISIS

Oleh: MOHAMAD ASRI


Semalam untuk ke berapa puluh ribu kali tersebar lagi ‘berita palsu’ Datuk Seri Anwar mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walaupun cerita itu boleh dikategorikan sebagai ‘fake news’ kerana sebahagian daripada 13 nama ahli Parlimen yang dikatakan telah menandatangani Akuan Sumpah (SD) itu menafikan penglibatan mereka, Anwar pasti masih boleh tersenyum lebar.

Apa tidaknya, setiap kali keluar berita-berita sedemikian hati kecil Anwar dan para penyokong taasub beliau pasti `berbunga harapan’ dan terbayangkan tangga dan lif Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Tidak salah pun untuk berperasaan sedemikian. Mereka berhak untuk dibuai perasaan seperti itu. Bukan setahun Anwar dan para penyokongnya bermimpi, malah sudah berpuluh tahun tetapi tidak juga kesampaian.

Menariknya, setiap kali senarai nama ahli Parlimen yang didakwa menyokong Anwar ‘terbongkar,’ kebanyakan mereka cepat-cepat menafikannya. Malah ada sebahagian daripada mereka terus membuat laporan polis kerana tidak mahu dikaitkan dengan gerakan Anwar.

Bagaimanapun tidak bagi dua nama ini. Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah sekalipun menafikannya walaupun nama kedua-dua mereka seringkali berada dalam senarai teratas ahli Parlimen yang dikatakan menandatangani SD itu.

Pendirian tersebut sedikit pun tidak mengejutkan melihat kepada sejarah hubungan mereka berdua dengan Anwar dan Muhyiddin. Zahid dan Najib sebelum ini dikatakan pernah mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong Oktober lalu bagi menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.

Baca juga:   Redzuan tewas, '3R' menang Naib Presiden Bersatu
Baca juga:   AirAsia mansuh pemakaian pelitup muka dalam penerbangan

Walaupun surat tersebut tular dalam media sosial, kedua-duanya juga tidak pernah sekalipun menafikannya.

Zahid pula bukan sekali mengeluarkan kenyataan mengecam Presiden Bersatu walaupun secara tersirat dan berlapik dalam beberapa isu seperti KWSP.

Khabarnya banyak benda yang Zahid tidak berpuas hati terutama dalam hubungan politik UMNO-Bersatu. Setakat ini beliau barangkali masih belum ada kekuatan dan keberanian untuk meluahkan secara berdepan kepada Muhyiddin. Dalam hal ini pujian harus diberikan kerana Zahid sangat menjaga adab.

Zahid dan Najib juga bergabung menyerang cukup-cukup Perdana Menteri dalam isu pengeluaran Akaun 1 KWSP dan isu undi percaya Dewan Undangan Negeri Perak baru-baru ini sehingga membawa kepada kekalahan Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

Sehingga ke detik ini ada sahaja isu yang ditimbulkan oleh Najib untuk mengkritik Muhyiddin. Perkara ini tidak menghairankan kerana Najib sendiri pernah menjadi Perdana Menteri selama 10 tahun.

Banyak perkara dan isu yang beliau tahu termasuk isu KWSP.Beliau tahu apa yang boleh dibuat dan tidak boleh dibuat oleh KWSP. Beliau juga tahu dana KWSP tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya.

Najib juga lebih arif baharu KWSP bukan bank komersial, ada had, kekangan dan peraturan ketat yang perlu dipatuhi. Bagaimanapun serangan ke atas Menteri Kewangan dan Perdana Menteri dalam isu KWSP sangat luar biasa kerasnya sehingga menimbulkan pelbagai tanggapan dan prasangka.

Baca juga:   AirAsia mansuh pemakaian pelitup muka dalam penerbangan

Tidak tahu sejauh mana kebenarannya, tetapi cakap-cakap sudah lama kedengaran serangan bertubi-tubi itu ada kena mengenai dengan kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh Zahid dan Najib.

Apa dosa Muhyiddin sehingga hati Zahid dan Najib membuku, membekam dan membengkak’ sedemikian rupa, hanya mereka berdua sahaja yang tahu.

Segala kritikan dan kecaman Zahid dan Najib ke atas kerajaan Perikatan Nasional yang berjalan secara konsisten itu telah menimbulkan macam-macam spekulasi sehingga ada yang menganggap kedua-dua mereka ini pada bila-bila masa sahaja boleh melorongkan sokongan kepada Anwar walaupun tanggapan itu tidak semestinya betul dan mungkin juga satu fitnah.

Baca juga:   Redzuan tewas, '3R' menang Naib Presiden Bersatu

Bukan sekali khabar angin bertiup kencang Zahid dan Najib akan menyokong Anwar bagi menubuhkan kerajaan baharu. Spekulasi sedemikian juga turut `meresahkan’ para pemimpin dan ahli-ahli UMNO serta Barisan Nasional (BN) sendiri.

Keresahan ini juga menyebabkan berlaku perpecahan dalaman UMNO. Ini bukan sesuatu yang baik dan sihat bagi UMNO yang akan berhadapan dengan pilihan raya umum nanti.

Khabar angin ini akan terus berlegar dan subur selagi kedua mereka tidak menafikan perkara itu. Zahid dan Najib perlu menafikan perkara ini untuk sekali dan selamanya!

  • Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi9.

Wartawan

Terkini

Musim meroyan dalam kalangan bekas pemimpin UMNO

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi secara sindiran mengatakan musim meroyan dapat dilihat berlaku...

Lagi Artikel Berkaitan