27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Miliki senapang AK-47 tembak gajah, petani ditahan

Mesti Baca


KOTA BHARU – Tindakan seorang petani menyimpan selaras senjata api jenis AK-47 di rumahnya mengundang padah apabila dia ditahan polis Kelantan dalam satu serbuan di Kuala Krai, kelmarin.

Suspek ditahan  hasil serbuan di rumahnya di Kampung Bahagia oleh sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Operasi Khas (D8) dan Siasatan Khas (D9) kira-kira pukul 11.30 malam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat, berkata, senjata itu digunakan suspek untuk menembak gajah yang merosakkan kebunnya di Kampung Bahagia, Kuala Krai.

Katanya, semasa serbuan itu, polis turut menemui 142 butir peluru hidup iaitu 126 jenis Bore dan selebihnya 5.56 mm.

“Hasil soal siasat dijalankan, suspek yang berusia 50 tahun itu memberitahu senjata diperoleh dari seorang rakannya lima tahun lalu, selepas mengadu mengenai gajah yang sering merosakkan kebun buah seluas enam hektar miliknya.

“Rakannya memberikan senjata itu kepada suspek untuk tujuan menjaga kebunnya dan dalam tempoh itu dua gajah sudah ditembaknya.

“Suspek juga mengaku kali terakhir menggunakan senjata itu dua tahun lalu selepas sudah tiada lagi ancaman gajah liar,” katanya yang dipetik Harian Metro, hari ini.

Shafien berkata, polis turut menahan isteri suspek yang berusia 50 tahun dan sedang mengesan rakan suspek yang memberikan senjata itu kepadanya.

Ujarnya, pasangan suami isteri itu ditahan reman bermula kelmarin hingga 19 Disember ini.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan sebat tidak kurang daripada enam kali.

“Kes ini juga disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api dan peluru dengan menyalahi undang-undang dengan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya,” tambahnya.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan