31.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 27, 2022

Keutamaan kini pematuhan SOP Covid-19 – MMA

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyambut baik penarikan balik larangan rentas daerah dan negeri di bawah garis panduan baru seperti diumumkan kerajaan semalam.

Presidennya, Prof Dr M Subramaniam berkata, kerajaan sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kalangan orang ramai.

Dr M Subramaniam

“Negara tak mampu menghadapi sekatan (pergerakan) setiap kali ada lonjakan kes.

“Dari awal lagi, tumpuan seharusnya diberikan terhadap usaha mencegah lonjakan (kes), dan satu-satunya cara dapat dicapai adalah melalui pematuhan SOP dengan tegas,” katanya yang dipetik Malaysiakini.

Menurut Dr Subramaniam, pihaknya yakin keputusan terbaru itu dibuat berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah memantau dan meneliti data sewajarnya berhubung situasi Covid-19 di negara ini.

Kelmarin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) tidak akan disambung di kebanyakan tempat setelah tamat semalam, kecuali di beberapa tempat seperti Sabah, Kuala Lumpur, sebahagian besar Selangor dan sebahagian daerah di Johor dan Negeri Sembilan.

Meskipun PKPB dilanjutkan di sebahagian tempat, tidak seperti sebelum ini, rentas daerah dan negeri tidak lagi dilarang bermula hari ini, kecuali di kawasan di bawah PKP diperketatkan (PKPD).

Ini termasuklah perjalanan ke Sabah yang dibenarkan di bawah garis panduan baru, yang memerlukan individu yang mahu membuat perjalanan menjalani ujian Covid-19 tiga hari sebelum masuk ke negeri itu.

Baca juga:   PM kongsi raya bersama Chong Wei
Baca juga:   Wakil belia dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah FELDA

Sekatan jalan raya polis juga tidak lagi dilakukan, sebaliknya penguatkuasaan SOP terhadap penjarakan fizikal akan ditingkatkan.

Ismail berkata kerajaan mengambil keputusan sedemikian kerana negara bakal mengalami kerugian sehingga RM300 juta sehari jika PKPB diteruskan dan akan menjejaskan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Sesetengah pihak mendakwa garis panduan itu tidak banyak bezanya dengan garis panduan di bawah PKP pemulihan (PKPP), meskipun sebahagian tempat masih berada di bawah PKPB.

Mengulas lanjut, Subramaniam mengingatkan rakyat tentang kepentingan mematuhi SOP yang telah ditetapkan, lebih-lebih lagi larangan perjalanan kini sudah dibenarkan dan perjalanan antara negeri dijangka meningkat dalam beberapa minggu yang akan datang.

Jika tidak, katanya, kes akan kembali meningkat dan larangan perjalanan boleh dikenakan semula.

“Kadar pematuhan SOP kita mesti berada pada paras yang meyakinkan,” katanya.

Untuk itu, katanya, MMA mencadangkan kerajaan menetapkan tanda aras untuk pematuhan SOP, lengkap dengan laporan mingguan untuk tujuan pemantauan kemajuan.

Data yang diperoleh daripada data itu, katanya, boleh digunakan untuk membantu kerajaan membuat penguatkuasaan lebih ketat di kawasan-kawasan yang menunjukkan pematuhan SOP yang lemah.

“Usaha penguatkuasaan juga mestilah digiatkan atau (pematuhan) SOP akan dipandang enteng,” katanya lagi.

Dalam kenyataan terbaru semalam, Ismail memaklumkan jumlah orang ingkar arahan PKP terus mencatat angka yang tinggi, iaitu seramai 518 ditahan semalam dengan 517 daripadanya dikompaun, manakala seorang lagi direman.

Baca juga:   Covid-19: Kadar positiviti tinggi walau ada trend penurunan
Baca juga:   Dua tapak binaan di KL, Seremban diarah henti operasi

Kes tertinggi ialah kegagalan mematuhi arahan penjarakan fizikal. 

Terkini

Solat jenazah ghaib buat Almarhum Sheikh Yusuf al-Qaradawi

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan Solat Jenazah Ghaib buat Almarhum Prof. Dr. Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi di...

Lagi Artikel Berkaitan