31.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 1, 2024

Tiada lanjutan PKPB pengakuan kerajaan tak mampu bendung Covid-19

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk tidak lagi melarang rentas negeri dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika kes Covid-19 masih tinggi adalah pengakuan bahawa ianya tidak mungkin lagi untuk menghapuskan penularan tempatan Covid-19.

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jadi sasaran kerajaan sudah bertukar dari memutuskan rangkaian Covid sepenuhnya kepada mitigasi penularan Covid agar jumlah kes tidak mencanak naik berlipat ganda sambil menunggu vaksin sampai ke Malaysia.

Beliau berkata, ianya amat sukar untuk kata pendekatan baru ini adalah betul atau salah sebab realitinya ialah ekonomi negara sudah tidak dapat bertahan lagi dan ramai Rakyat juga sudah tak tahan dengan PKPB berterusan.

“Justeru, kerajaan dijangka akan membatalkan lebih banyak lagi larangan ke atas sektor-sektor ekonomi dan kegiatan sosial tidak lama lagi,” katanya dalam hantaran Facebook, semalam.

Najib bagaimanapun berkata, pendekatan baharu itu tetap ada kekurangannya sebab jumlah kes penularan tempatan tidak mungkin jatuh ke sifar seperti apa yang berlaku selepas PKP pertama bulan Mac-Mei lalu.

Mengikut data rasmi ujarnya, keadaan Covid-19 di Malaysia sudah menjadi lebih teruk berbanding Indonesia dari segi jumlah penduduk yang mana Malaysia mencatat 2,234 kes bagi setiap satu juta penduduk berbanding 2,096 kes di Indonesia.

Advertisements

Malah katanya, jumlah kes Malaysia  sebanyak 72,694 juga dijangka melebihi jumlah kes di negara China iaitu 86,619 dalam masa 10 hari lagi.

“Ini bermakna ianya akan menjadi sukar bagi negara-negara lain untuk membenarkan warga mereka melancong ke Malaysia dan hasrat untuk kita wujudkan persefahaman “travel bubble” antara negara seperti apa yang kita sedang usahakan dengan Singapura juga terjejas.

“Larangan terhadap warga Malaysia melawat ke negara-negara lain juga akan berterusan. Ini bermakna kita tidak boleh harapkan sektor pelancongan asing dalam jangka masa pendek,” jelasnya.

Sementara itu, Najib berkata, kerajaan PN perlulah lebih berusaha untuk berunding dengan syarikat-syarikat pembekal lain untuk memastikan seluruh rakyat Malaysia menerima vaksin secepat mungkin tahun depan.

Jika ini adalah pendekatan baru, maka kerajaan perlu memastikan kapasiti merawat dan mengkuarantin pesakit Covid adalah sentiasa  mencukupi.

“Pada masa yang sama, kesedaran serta disiplin Rakyat untuk sentiasa mematuhi SOP dalam norma baru ini perlu sentiasa tinggi – terutamanya bagi mereka yang telah berumur yang lebih terancam oleh Covid,” tambahnya.

Advertisements

Terkini

Kupang PD masih belum selamat dimakan, 81 penternak terjejas

KUPANG dari perairan Port Dickson, Negeri Sembilan masih belum selamat dimakan kerana masih menunjukkkan kandungan biotoksin yang tinggi. Jabatan Perikanan...

Lagi Artikel Berkaitan