28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Inspirasi gagasan serta legasi Ungku Aziz dan Tun Razak

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9


Oleh: NORDIN ABDUL MALEK

Dalam tempoh seminggu lalu, negara diselubungi kesedihan akibat kematian dua orang tokoh besar negara iaitu Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dan Tun Rahah Mohamed Noah.

Ungku Aziz telah memberikan sumbangan yang besar dalam pendidikan dan ekonomi negara. Antara ikon peribadi beliau ialah Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

Manakala Tun Rahah pula adalah serikandi negara yang juga balu Allahyarham Tun Abdul Razak Husein, Perdana Menteri Kedua.

Secara peribadi, saya amat meminati kedua-dua tokoh penting negara ini iaitu Ungku Aziz dan Tun Razak. Bagi saya, kedua-dua tokoh ini telah mencipta pembangunan negara yang mampan dan tahan diuji zaman (kekal hingga kini).

Antara ikon Tun Razak sendiri adalah Felda dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta banyak lagi yang telah memberikan kesan langsung kepada usaha meningkatkan ekonomi terutama di kalangan orang-orang Melayu.

Saya dilahirkan ketika era kepimpinan Tun Razak. Maka tidak sempat untuk saya memahami zaman kepimpinannya tetapi arwah bapa saya, Haji Abdul Malek sering bercerita tentang kepimpinan Tun Razak yang dianggap sangat berharga dan amat dihormati.

Justeru, saya banyak mengenali dan mempelajari kisah Tun Razak melalui pelbagai sumber maklumat. Sebelum ledakan teknologi ICT, saya membeli pelbagai koleksi buku bibliografi beliau. Dari cerita peribadi, kepimpinan, politik, hinggalah dasar dan pentadbiran kerajaan.

Manakala gagasan dan legasi Ungku Aziz, banyak diperolehi melalui pelbagai sumber maklumat dan ilmu ekonomi yang disampaikan hingga wajar diiktiraf sebagai antara sentuhan terbaik pembangunan Malaysia pasca merdeka.

Ketika di bangku sekolah, saya aktif menjadi Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Sekolah Menengah Dato’ Seri Maharaja Lela, Kampung Gajah, Perak (pernah memenangi koperasi sekolah terbaik ketika itu).

Maka nama Ungku Aziz seringkali berkumandang dalam setiap ceramah kursus koperasi yang saya sertai bersama guru-guru saya ketika itu. Asas keusahawanan di sekolah pada tahun 1980an itulah yang telah mencungkil bakat saya untuk terus menjadi usahawan sehingga hari ini.

Sekitar pertengahan tahun 1990an, Ungku Aziz pernah menjadi tetamu dalam satu rancangan berbentuk Talk Show di TV3. Saya diberi peluang oleh stesen TV tersebut untuk bertanya soalan dan bertukar pandangan secara langsung dengan Ungku Aziz.

Saya masih ingat bagaimana beliau berasa gembira apabila saya memberitahunya bahawa saya adalah usahawan kelahiran koperasi sekolah. Akhirnya beliau menasihati saya supaya menubuhkan koperasi baru suatu hari nanti.

Kedua-dua tokoh ini telah pergi meninggalkan kita tetapi kita sewajarnya melihat legasi hebat mereka ini yang sepatutnya menjadi rujukan generasi baru.

Advertisements

Walaupun legasi mereka ini diasaskan di peringkat awal pembangunan negara pasca merdeka tetapi asas yang terbina memerlukan kesinambungan mengikut perdedaran zaman.

Pengajaran paling utama ialah keprihatinan mereka untuk mengubah nasib bangsa melalui pembangunan seimbang. Dua kunci utama ialah bidang pendidikan dan ekonomi.

Penulis membantu menjayakan pembangunan Koridor Sabah suatu masa dulu..

Kedua-dua tokoh ini sanggup turun padang menyelami kehendak dan keperluan rakyat. Mereka mencetuskan idea baru dan berani melakukannya dengan penuh dedikasi dan amanah.

Wawasan mereka sangat luas dan berfikiran jauh seperti mana Felda dan LUTH yang kini telah diperakukan sebagai antara platform pembangunan ekonomi terbaik di dunia.

Walaupun kadangkala bergelumang dengan pelbagai polemik dan kontroversi, proses perjalanannya hanya perlu disalaraskan semula apabila institusi tersebut berada di landasan yang agak tergelincir.

Mereka juga lebih bersifat realistik iaitu memahami isu sebenar dan melakukan tindakan gerak kerja yang berani hingga mampu dilihat kesan kemakmurannya kepada rakyat secara langsung hingga kini.

Bagi tokoh seperti Ungku Aziz, beliau tidak perlu menyertai parti politik dan menjadi orang politik bagi mencurahkan jasa. Memadailah dengan jawatan dan amanah sebagai ahli akademi dan tokoh pemikir untuk menjayakan sesuatu gagasan yang besar.

Ini membuktikan bahawa, tanpa memegang jawatan dan berkuasa politik seperti wakil rakyat, menteri dan sebagainya, kita masih mampu untuk menjayakan sesuatu yang sangat bermakna buat negara, mengikut kapasiti kita yang ada.

Kisah kejayaan mereka juga mengajar kita tentang kunci kejayaan sesuatu gagasan yang menjadi dasar negara. Fokus orang terdahulu ialah usaha untuk membangunkan negara mengatasi kepentingan diri dan politik.

Namun begitu, perkara tersebut berubah hari ini apabila banyak perkara yang terlalu dipolitikkan dan kepentingan peribadi yang mengatasi kehendak rakyat. Kesannya, kita bukan sahaja kita gagal mencetuskan idea baru masa kini tetapi juga menjahanamkan apa yang sudah terbina asasnya sejak dulu.

Sekali lagi, secara peribadi, sedikit-sebanyak legasi Ungku Aziz dan Tun Razak ini telah mempengaruhi diri saya. Walaupun saya memilih bidang usahawan sebagai kerjaya saya tetapi fokus saya adalah sama dengan mereka iaitu pembangunan pendidikan kemahiran swasta dan pembangunan ekonomi khususnya di luar bandar.

Prinsipnya sama tetapi berbeza mengikut kemajuan zaman. Namun, awalaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, ketekunan (passion) pasti akan membuahkan hasil samada sekarang, mahupun masa depan.

Kita mungkin tidak mencipta gagasan yang besar dan sehebat mereka tetapi kita perlu berusaha meneruskan legasi dan kesinambungan baru yang sesuai dengan zaman generasi kini dan akan datang.

Alfatihah buat Ungku Aziz, Tun Razak dan Tun Rahah.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan