26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Gurauan dan harapan besar buat MB baharu Perak

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9


Oleh: NORDIN ABDUL MALEK

Sahabat saya yang bernama Dato’ Shaarani Mohamad, ADUN Kota Tampan, baru sahaja mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang ke-14 beberapa yang hari lalu.

Sebagai sahabat, saya menanti pengesahan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang baharu dengan penuh debaran kerana saya pada mulanya menjangkakan beliau akan dilantik untuk memegang jawatan tersebut lebih awal iaitu pada Mac lalu.

Memang itulah juga harapan kebanyakan orang Perak, khususnya penyokong dan pendokong UMNO juga. Malah, saya masih ingat pada Mac lalu apabila seorang ADUN BN di Perak (bekas exco) yang menyatakan kekecewaan apabila Peja masih dilantik sebagai MB kali kedua pada Mac lalu.

“Aku kecewa dan tak faham”, katanya melahirkan kesedihan ketika itu.
Secara peribadi, saya beranggapan pemilihan Shaarani adalah sangat tepat jika kita mengambil kira pelbagai faktor termasuk latar belakang beliau dalam politik dan hampir tiada bentuk kontroversi sebelum ini yang membolehkan perlantikan beliau dipertikaikan.

Sebagai manusia biasa, beliau bukanlah maksum (sempurna/tiada kelemahan), lebih lagi sebagai ahli politik. Pemimpin politik mana yang benar-benar bersih, jujur dan lurus bendul kerana politik adalah “The Art Of Possibilities and Survival Of Tomorrow”.

Sebelum berkuasa selalunya mereka bersifat, berperangai dan bercakap macam baik belaka tetapi bila dapat kuasa, barulah kita tahu belang sebenar mereka.

Perjuangan dan prinsip entah ke mana dan yang lucunya silap-silap watak lebai pun hilang entah ke mana (walaupun lebai masih dipakai di kepala ketika memegang jawatan).

Sebagai rakyat biasa, saya hanya mengenali Shaarani atas kapasiti saya sebagai usahawan sosial di Perak sejak tahun 2004.

Kali pertama saya berjumpa dan bersembang agak panjang ialah pada tahun tersebut selepas beliau memegang jawatan ADUN Lenggong pada tahun 2004, dalam satu majlis anjuran MARA yang turut dihadiri oleh Dato’ Nazri Tan Sri Aziz (Menteri) dan Dato’ Khamsiyah Yeop (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ketika itu).

Pada ketika itu, saya banyak bertanya beliau tentang pengalamannya bersama tokoh politik seperti Dato’ Nazri ketika di awal pembabitan beliau bersama ‘chief’ (gelaran bagi Dato’ Nazri).

Shaarani Mohamad ketika meninjau projek ikan dalam sangkar melalui Program NBOS MKMF, di Mukim Pulau Tiga.

Selepas itu, saya lebih mengenali beliau selepas beliau menjadi exco semula pada tahun 2009 dan datang berkunjung untuk melihat sendiri program NBOS My Kampung, My Future (MKMF), Mukim Pulau Tiga yang saya inisiatifkan pada tahun 2013, setelah kampung kami memenangi pelbagai anugerah peringkat negeri dan pusat.

Program sehari tersebut memberi peluang kepada saya untuk bersama beliau mengelilingi kampung bersama konvoi pegawai-pegawai kerajaan yang menjadi anggota pelaksana NBOS MKMF Mukim Pulau Tiga.

Malah saya minta kerjasama polis trafik untuk mengiringi konvoi beliau demi menjaga keselamatan semua peserta yang terlalu ramai. Beliau bukan sahaja disertai oleh exco lain, malah beberapa wakil rakyat DUN Perak yang lain.

Lawatan tersebut turut meresahkan sesetengah orang politik kerana kebetulan waktu itu satu pertembungan pertandingan merebut jawatan ketua bahagian UMNO yang sangat sengit sedang berlaku.

Lawatan rasmi Shaarani telah disalahtafsirkan dan saya telah menjadi mangsa serta-merta.

Masih segar dalam ingatan, bagaimana saya menunjukkan mesej Timbalan Ketua Setiausaha sebuah kementerian yang memberitahu bahawa pelantikan saya sebagai anggota majlis penasihat sebuah kementerian telah dibatalkan serta-merta, tidak sampai 24 jam selepas saya dimaklumkan tentang perlantikan tersebut pada pagi hari lawatan Shaarani.

Dalam kereta, Shaarani meminta saya bersabar dan kami bersembang panjang tentang gelagat orang politik yang kadang-kadang ‘over’ dan ‘angkuh’ bila berkuasa.

Selepas itu, kami berhubung seperti biasa dan beliau seringkali menjawab mesej saya dan mudah ditemui jika perlu termasuk ketika BN menjadi pembangkang di Perak.

Namun, pada 9 Julai 2020 lalu, saya menjemput sekali lagi beliau datang melawat usahawan MKMF Pulau Tiga atas kapasiti Exco Usahawan Perak.

Cuma bezanya pada kali ini, usahawan MKMF telah bertambah baik dan jaringan kami telah berkembang menjadi satu daerah Perak Tengah. Itulah juga majlis rasmi pertama beliau bersama rakyat selepas PKP Covid-19 sejak Mac lalu.

Saya dijemput beliau menaiki kereta rasminya yang berwarna hitam yang turut diiringi beberapa anggota polis trafik. Beberapa soalan diajukan kepada saya yang turut didengari oleh pegawai khas beliau ketika itu bernama Hamidi.

Di dalam kereta inilah pada Julai lalu penulis (kanan) bergurau dengan Shaarani Mohamad bahawa beliau akan menjadi Menteri Besar Perak satu hari nanti.

Dua soalan beliau ialah mengapakah saya menyediakan khidmat polis iringan dan bagaimanakah saya mengumpulkan begitu ramai pegawai dan ketua jabatan kerajaan menyertai konvoi lawatan beliau.

Saya menjawab bahawa khidmat polis diperlukan bagi mengawal keselamatan konvoi dan mendisiplinkan semua pihak untuk mengikuti jadual pergerakan dengan cepat dan tepat.

Manakala pegawai-pegawai kerajaan memberikan kerjasama kerana saya sering mengadakan mesyuarat dengan mereka melalui platform persatuan ekonomi komuniti.

Walau bagaimanapun, satu gurauan saya dalam keretanya yang akhirnya menjadi kenyataan ialah:

“Sudah dua kali saya menyediakan polis iringan menyertai konvoi Dato’ kerana saya dapat merasakan aura Dato’ sebagai Menteri Besar dan yakin bahawa satu hari Dato’ akan menjadi MB Perak”, kata saya yang menyebabkan kami semua yang berada dalam kereta beliau tersenyum lebar.

Kesempatan lawatan susulan terbarunya telah merumuskan beliau sebagai sesuatu yang luar biasa kerana beliau dapat melihat sendiri prestasi peningkatan pencapaian usahawan MKMF dalam tempoh tujuh tahun.

Apa pun Shaarani sudah bergelar MB Perak. Harapan menggunung rakyat Perak bukanlah calang-calang besarnya. Beliau sebenarnya menggalas cabaran yang besar ketika dunia sedang dilanda Covid-19 dan impak Covid-19.

Perak sebenarnya memerlukan pemimpin yang benar-benar komited, berkarisma, jujur dan ikhlas berjuang membangunkan negeri Perak.

Jika satu masa dahulu terutama sebelum tahun 1980an, Perak dikenali sebagai antara negeri terkaya di Malaysia dan antara rebutan penjajah sebelum merdeka tahun 1957, kerana hasil buminya seperti bijih timah dan getah. Namun kini, negeri kelahiran saya ini adalah termasuk dalam senarai lima negeri termiskin di Malaysia.

Sebuah akhbar tempatan yang berpengaruh pernah melabelkan Perak sebagai “The State Of Elderly” yang bermaksud negeri orang tua pada tahun lalu.

Gelaran ini diberikan kerana negeri ini bukanlah pilihan generasi muda akibat peluang ekonomi dan pembangunan yang jauh ketinggalan. Kita juga gagal menyedut limpahan ekonomi dua negeri yang lebih maju dan berjiran dengan Perak seperti Pulau Pinang dan Selangor.

Pesan kami orang Perak kepada Shaarani ialah jaga diri dan orang keliling sesudah menjadi Menteri Besar Perak. Kejatuhan orang sebelum beliau ialah faktor orang keliling yang bermaharaja lela. Banyak Punahsihat daripada penasihat. Lebih sudu daripada kuah. Jangan diambil sudu berkarat yang pernah menumbangkan Menteri-Menteri Besar sebelum Shaarani.

Jadilah dirimu sendiri walaupun warlord masih ramai yang bergayut dalam kancah politik Perak.

Ambillah kami anak-anak Perak yang sudah terbukti boleh membantu membangunkan negeri Perak kerana kami bukanlah ‘Political Animal” dan warlord yang menjadi remote kepada kejatuhan MB-MB terdahulu.

Amaran istana sudah jelas memberi peringatan yang tegas. Tugas kita sekarang adalah untuk bersama Shaarani membangunkan dan memajukan Perak supaya kembali gemilang seperti dulu. “Let’s make Perak Great Again!”.

Kepada sahabat saya Shaarani, semoga YAB. Dato’ menjadi MB yang lebih cemerlang di Perak. Manakala kepada rakyat Perak yang sudah muak dengan cerita politik, marilah kita menjadi warga Perak yang bijak. Segala yang baik kita sokong. Manakala semua yang buruk kita sanggah!

All The Best YAB. Dato’ Shaarani.

Janganlah pula selepas ini mesej saya sudah tidak berbalas. Panggilan telefon sudah tidak berangkat dan permohonan berjumpa juga sudah susah sangat.

*Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf jadi Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan