25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Guan Eng ‘CM Pulau Pinang’ hari minggu sindir Ka Siong

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wee Ka Siong secara berseloroh menyindir Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang hari minggu apabila bekas menteri kewangan itu terbabit dalam polemik mengenai feri di negeri tersebut.

Menteri Pengangkutan itu berkata, tingkah laku Lim Guan Eng nampaknya masih berlagak sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, walhal Ketua Menteri yang diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan tidak lain tidak bukan adalah Chow Kon Yeow (CKY).

Tangkap layar desakan Guan Eng berhubung penamatan feri Pulau Pinang. Foto FACEBOOK WEE KA SIONG

“Apa jua keputusan mengenai perkhidmatan feri, saya dan Tengku Zafrul berbincang terus dengan Ketua Menteri yang sahih, CKY!

“Ramai orang Pulau Pinang keliru seolah-olah di Pulau Pinang mempunyai dua orang Ketua Menteri (CM) iaitu YAB Chow Kon Yeow sebagai CM hari bekerja (weekday’s CM) manakala Lim Guan Eng adalah CM hari minggu (weekend CM),” tulisnya dalam hantaran Facebook malam tadi.

Terdahulu, Guan Eng mendakwa cadangan menamatkan perkhidmatan feri Pulau Pinang – yang mempunyai sejarah selama 126 tahun menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar pada hujung tahun ini menunjukkan kerajaan pusat melakukan konfrontasi terbuka dengan rakyat negeri itu.

Hansard dibuat adik Guan Eng menyokong penggunaan katamaran. Foto FACEBOOK WEE KA SIONG

Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan mendakwa ada beberapa projek lain yang diluluskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini turut dibatalkan PN.
Guan Eng sehubungan itu berkata, orang Pulau Pinang tidak akan memaafkan MCA dan Ka Siong yang dakwanya mengetuai perseteruan itu.

Bagaimanapun Ka Siong dalam hantaran itu menegaskan, kerajaan Pakatan Harapan juga telah bersetuju untuk menggantikan perkhidmatan feri Pulau Pinang dengan katamaran. 

Malah katanya, adik perempuan Guan Eng, yang juga Senator sekarang, Lim Hui Ying juga bersetuju dengan langkah berkenaan. 

“Nampaknya keluarga Lim harus mengadakan pertemuan keluarga untuk menyeragamkan pandangan mereka. (Sila lihat pernyataan rasmi (hansard) Lim Hui Ying di Dewan Negara bertarikh 17 Disember 2020 seperti di lampiran),” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Ka Siong terus ‘menyerang’ Guan Eng apabila mendakwa orang yang benar-benar merosakkan nilai warisan berharga Pulau Pinang adalah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

“Cuba jawab, siapakah yang melakukan penambakan tanah dan memusnahkan bukit-bukau di Pulau Pinang?

“Tidakkah menggantikan perkhidmatan feri yang terdedah kepada kerosakan dengan katamaran merupakan langkah yang lebih praktikal untuk melindungi keselamatan orang ramai dan lebih bermanfaat bagi industri pelancongan dan pengangkutan Pulau Pinang?,” tambah Ka Siong.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan