26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Belanjawan lulus : UMNO,BN ‘musnahkan’ impian Tun M, Ku Li, PH

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Harapan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr.Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk menyaksikan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang hari ini tidak menjadi kenyataan.

Ia berikutan undian belah bahagi bagi Bacaan Kali Ketiga Belanjawan 2021 menyaksikan 111 Ahli Parlimen menyokong Rang Undang-Undang Perbekalan tersebut manakala 108 tidak menyokong.

Keputusan itu yang diumumkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun sekaligus bukan sahaja meranapkan impian Dr.Mahathir dan Tengku Razaleigh malah menggagalkan usaha pakatan pembangkang untuk menjatuhkan Muhyiddin melalui penolakan terhadap Belanjawan 2021.

Pujian harus diberikan kepada 37 daripada 38 Ahli Parlimen UMNO serta 3 Ahli Parlimen Barisan Nasional yang turut mengundi menyokong biarpun semalam Tengku Razaleigh dalam sidang media bersama Dr.Mahathir meminta Ahli Parlimen menolak Belanjawan 2021 sebagai terjemahan kepada penolakan kepada Kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Muhyiddin yang disifatkan lemah dan tidak mementingkan rakyat.

Bagaimanapun beberapa jam sebelum pengundian dijalankan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz memberi jaminan bahawa semua Ahli Parlimen UMNO kecuali Tengku Razaleigh akan menyokong belanjawan berkenaan manakala Tengku Razaleigh pula ‘mengotakan janjinya’ tidak mahu mengundi.

Biarpun hubungan politik dengan Bersatu tidak begitu baik namun keputusan 37 Ahli Parlimen UMNO dianggap meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik seperti mana ditegaskan oleh Nazri, kerajaan memerlukan perbelanjaan untuk membantu rakyat dan juga melawan pandemik Covid-19.

‘’Kami tidak boleh menolak Belanjawan ini kerana ia akan memberi kesan kepada perbelanjaan untuk membantu rakyat dan usaha kerajaan melawan Covid-19. Ia adalah komitmen kami demi rakyat bukan kerana menyokong Perdana Menteri sedia ada,’’ katanya kepada Astro Awani.

Keputusan hari ini bukan sahaja turut memberi tamparan kepada Dr.Mahathir dan Tengku Razaleigh tetapi juga Pakatan Harapan yang diketuai oleh Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia memandangkan semalam melalui kenyataan bersama oleh Majlis Setiausaha Pakatan itu menyeru ahli Parlimen sama ada kerajaan mahupun pembangkang menolak Belanjawan tersebut atas alasan dilihat tidak memenuhi apa dipohon dan diharapkan Ahli Parlimen malah harapan rakyat.

‘’Oleh yang demikian, Pakatan Harapan menggesa agar semua Ahli Parlimen, sama ada di sebelah pembangkang mahupun daripada kalangan penyokong kerajaan yang memahami bahawasanya belanjawan ini tidak menepati objektif dan matlamat untuk memerangi Covid-19, membantu rakyat dan menghidupkan semula ekonomi, agar memilih untuk menolaknya pada bacaan kali ketiga esok (hari ini),’’ kata kenyataan tersebut.

Walaupun hasil pengundian membuktikan blok pembangkang sepakat tetapi ia masih gagal mengugat kesepakatan dalam Perikatan Nasional kerana biar apapun ada sedikit sebanyak masalah dalam perikatan itu, ia bukan alasan untuk ahli-ahli Parlimen blok kerajaan khususnya UMNO dan BN menolak belanjawan.

Dr.Mahathir tentulah kecewa dengan keputusan tersebut kerana sebelum ini apabila beliau bercakap sesuatu ia dianggap ada makna atau isyarat oleh penyokong-penyokong beliau tetapi hari ini, perkara itu berlaku.

Kemungkinan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional akan tumbang jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan terbuktilah hanya impian beliau yang masih ingin mewujudkan Kerajaan Perpaduan dan sekali lagi meletakkan beliau sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga.

Bagi Tengku Razaleigh pula, beliau pasti turut kecewa kerana sejak pembentangan Belanjawan 2021, Ahli Parlimen Gua Musang itu tidak habis-habis bercakap soal keabsahan kerajaan Perikatan Nasional.

Hari ini ahli-ahli Parlimen UMNO sendiri tidak berkongsi sentimen dengan beliau kerana mereka lebih memikirkan kepentingan rakyat memandangkan soal politik boleh diuruskan kemudian.

Kepada Anwar, keputusan hari ini sudah tentu mengecewakan beliau kerana biarpun tidak lagi mempunyai hubungan rapat dengan Dr.Mahathir tetapi mereka bagaikan berkongsi misi yang sama iaitu menolak belanjawan supaya kerajaan Muhyiddin tumbang.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan