26 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Muhyiddin mahu perbaiki hubungan Bersatu-UMNO

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi beberapa hari lalu dalam usaha memperbaiki hubungan antara kedua-dua parti itu.

Katanya, dalam pertemuan empat mata itu mereka berbincang dari hati ke hati dan bercakap secara terus terang.

“Kami sedar hubungan antara Bersatu dan UMNO mesti diperbaiki. Usaha- usaha mesti dibuat untuk mewujudkan keakraban antara Bersatu dan UMNO dari peringkat kepimpinan tertinggi hinggalah ke bahagian dan cawangan. Saya tahu usaha ini bukanlah mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Bersatu 2020 yang diadakan secara maya di sini, hari ini.

Beliau berkata, turut dipersetujui bersama ialah untuk memperkukuhkan hubungan antara Bersatu, UMNO dan Pas.

“Ketiga- tiga parti ini mestilah saling memperkukuh dan memperkuatkan antara satu sama lain. Tidak boleh berpecah. Tidak boleh bertembung. Tidak boleh memilih haluan yang berbeza,” katanya.

Muhyiddin tidak menafikan, telah terpahat dalam lipatan sejarah, Bersatu dan UMNO menjadi seteru politik.

“UMNO di sebelah sana, Bersatu di sebelah sini. Dalam pilihan raya kita bertembung antara satu sama lain. Jadi, mungkin luka masih berdarah. Parut masih berbekas, tetapi takdir Allah SWT mempertautkan Bersatu dan UMNO.

“Krisis politik yang berlaku pada awal tahun ini tidak semena-mena meletakkan Bersatu dan UMNO dalam satu saf politik yang sama. Daripada seteru politik di dalam Pakatan Harapan, kita menjadi rakan sekutu dalam kerajaan,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau tahu mungkin ada pihak yang tidak selesa dengan keadaan ini, seolah-olah mereka dipaksa atau terpaksa untuk bekerjasama maka timbullah bermacam-macam perkara yang tidak elok didengar dalam hubungan antara kedua-dua parti ini.

“Saya sedar hal ini menyebabkan kita berada dalam satu situasi yang agak sukar dan mencabar. It is a difficult and challenging situation, Tetapi dalam keadaan yang mencabar ini, saya ingin mengajak saudara dan saudari untuk berfikir sejenak. Cuba kita renungkan. Fikir dalam-dalam.

“Adakah takdir Allah SWT yang mempertautkan Bersatu dan UMNO, termasuk juga Pas, dalam satu saf politik ini berlaku begitu sahaja tanpa ada apa-apa hikmah di sebaliknya? Tidakkah kita terfikir bahawa Allah SWT sebenarnya sedang menguji kita?,” kata beliau.

Kata Muhyiddin, kemelut politik yang dihadapi ketika ini adalah satu ujian yang didatangi oleh Allah SWT.

“Sebagai seorang Islam, saya percaya ada kebaikan di sebalik ujian getir ini. Di hadapan kita terbentang luas peluang untuk kita mempersatukan umat Melayu dan Islam di negara kita yang telah mengalami perpecahan politik sejak sekian lama,” katanya.

Sehubungan itu beliau percaya penyatuan umat Melayu akan mewujudkan kestabilan politik di negara ini dan ia pastinya akan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat.

Beliau menegaskan, alangkah baiknya jika semua pemimpin Melayu dan Islam di negara ini dapat bersatu dalam sebuah jemaah yang besar, berbanding berpecah-belah dalam kabilah-kabilah kecil yang boleh melemahkan mereka.

“Justeru, saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan mengajak saudara-saudari sekalian supaya melihat maslahah yang lebih besar, kepentingan yang lebih utama.

“Ya, jika kita hanya memikirkan kepentingan kabilah kita, kelompok kita, parti kita, maka selama-lamanyalah kita akan berpecah-belah. Seruan perpaduan Melayu, penyatuan ummah akan menjadi retorik semata-mata. Malay unity will always remain an elusive dream. It will never materialize in our lifetime,” katanya.

Muhyiddin berkata, inilah masanya untuk semua pemimpin Melayu mengetepikan perbezaan politik dan bangkit mempertautkan hubungan silaturahim dalam semangat ukhuwah dan mahabbah demi maslahah yang lebih besar, iaitu penyatuan umat Melayu di negara ini.

“Sedarlah, krisis politik yang berlaku di negara kita pada awal tahun ini telah mempertautkan pimpinan politik Melayu dalam Bersatu, UMNO dan Pas dalam satu saf politik yang sama. Pada saya, pertautan ini adalah satu langkah awal untuk mewujudkan penyatuan ummah yang lebih besar,” katanya. – Edisi 9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan