26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

PRU-15 selepas pandemik Covid-19 berakhir – PM

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan apabila pandemik Covid-19 berakhir.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, tidak perlulah penolakan dilakukan ke atas Bajet 2021 untuk membolehkan pilihan raya tersebut diadakan.

“Ada yang berpendapat Bajet 2021 perlu ditolak untuk membolehkan pilihan raya umum diadakan. Tak perlulah buat begitu.

“Kalau tanya saya, mungkin semalam lagi saya telah nasihatkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya bubarkan Parlimen untuk membolehkan pilihan raya diadakan. 

“Tetapi kita semua tahu masalahnya ialah COVID-19. Insya-Allah, jika diizinkan Allah, apabila pandemik COVID-19 berakhir, kita adakanlah pilihan raya umum. Kita kembalikan mandat kepada rakyat dan biarlah rakyat buat keputusan untuk memilih Kerajaan yang mereka mahu,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Bersatu bercakap demikian ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Bersatu 2020 yang diadakan secara maya di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, Bajet 2021 bernilai RM322.5 bilion yang telah diluluskan di peringkat dasar pada Khamis lalu juga bertujuan untuk membantu meringankan beban rakyat dan memulihkan ekonomi negara. 

“Saya berharap agar Bajet 2021 akan dapat diluluskan oleh Dewan Rakyat dan seterusnya Dewan Negara untuk memastikan rakyat menerima bantuan yang mereka perlukan di zaman susah ini,” katanya.

Mengenai Perikatan Nasional (PN), beliau percaya dalam pilihan raya umum akan datang, gabungan itu akan diterima oleh rakyat.

“Kajian-kajian yang dijalankan menunjukkan penerimaan rakyat Malaysia terhadap PN adalah tinggi. Oleh yang demikian, Bersatu telah membuat keputusan untuk menggunakan logo Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.

Beliiau berkata, sebaik-baiknya dalam pilihan raya itu nanti tidak berlaku pertembungan tiga penjuru antara parti-parti dalam kerajaan PN untuk menentang parti lawan.

“Untuk itu, program-program bersama akan diatur di peringkat Pusat, negeri dan akar umbi untuk mewujudkan hubungan kerjasama yang lebih erat antara parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.

Muhyiddin juga mencadangkan diwujudkan Majlis Presiden yang dianggotai oleh Ketua-Ketua parti dalam PN, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah.

“Mesyuarat secara berkala boleh diadakan untuk membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar- dasar ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain. Ini penting kerana tidak semua ketua parti berada di dalam Kabinet.

“Menerusi mesyuarat ini, setiap ketua parti boleh menyampaikan pandangan parti masing-masing mengenai dasar-dasar utama Kerajaan untuk diambil perhatian oleh Kabinet dalam membuat sesuatu keputusan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan