28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Budaya inovasi rangsang pemulihan ekonomi di Malaysia

Mesti Baca

KUALA LUMPUR –  Dalam usaha Malaysia menyesuaikan diri dan membina daya tahan perniagaan bagi menghadapi persekitaran yang mencabar, kira-kira 77 peratus daripada pucuk pimpinan industri di Malaysia percaya inovasi adalah satu ‘kewajiban’ untuk mereka bertindak balas pantas kepada cabaran dan peluang pasaran.

Mengikut kajian terbaharu yang dijalankan oleh Microsoft dan IDC, sebelum penularan Covid-19, 76 peratus organisasi di Malaysia merasai sukar untuk melaksanakan inovasi.

Namun kebanyakan firma  telah mengubah persepsi mereka sejak itu, dengan hanya sejumlah kecil organisasi Malaysia atau 35 peratus menyuarakan sentimen tersebut sekarang.  

K. RAMAN

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K. Raman berkata, inovasi bukan lagi satu pilihan, tetapi kini menjadi satu keperluan. 

Malah katanya, organisasi di Malaysia sedar bahawa keupayaan mereka mempelopori inovasi mampu memacu prestasi dan daya tahan perniagaan mereka semasa krisis.

“Sejak Covid-19 melanda, 65 peratus daripada organisasi di Malaysia mendapati inovasi lebih mudah dilaksanakan. Ini merupakan kenaikan mendadak berbanding hanya 24 peratus sebelum Covid-19.

“Ini kerana apabila organisasi terpaksa mempercepatkan inovasi semasa pandemik tersebut, mereka telah mendapati ianya tidak sesukar seperti yang dijangkakan. Berbekalkan keyakinan baharu ini, firma di Malaysia telah menerapkan budaya inovasi dengan lebih rancak untuk menjamin kesinambungan dan kemampanan perniagaan,” katanya, hari ini.

Hasil penemuan itu didedahkan oleh Microsoft dalam kajian terbaharunya dengan IDC Asia Pacific bertajuk Budaya Inovasi: Asas bagi membina daya tahan perniagaan dan memulihkan ekonomi di Asia Pasifik

Kajian itu meninjau selidik 223 pemimpin industri di Malaysia dalam tempoh enam bulan, sebelum dan sejak Covid-19.

Kajian di Malaysia ini adalah sebahagian daripada tinjau selidik lebih luas dalam kalangan 3,312 pemimpin perniagaan dan 3,495 pekerja di 15 pasaran di Asia Pasifik yang dikendalikan dalam tempoh yang sama, untuk menentukan bagaimana organisasi boleh meningkatkan daya tahan dan prestasi perniagaan menerusi inovasi.  

Dalam pada itu, Naib Presiden Bahagian Pecutan Pertumbuhan Global, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Gopi Ganesalingam berkata, tiada organisasi yang mampu mengekalkan kelebihan daya saing jika inovasi tidak diterapkan dalam strategi perniagaan masing-masing.

GOPI GANESALINGAM

Menurutnya, MDEC ialah penyokong tegar inovasi menerusi Program Kerjasama Korporat, yang telah membolehkan pelbagai organisasi mempelopori inovasi dengan mengguna pakai penyelesaian teknologi serba baharu. 

“Jalinan kerjasama baharu ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti dan kecekapan syarikat korporat tetapi juga mempercepatkan agenda digital negara dan menyokong usaha Malaysia untuk menerajui kemajuan Digital ASEAN,” katanya.

Advertisements

Kajian itu juga mendedahkan hampir lapan daripada 10 organisasi Malaysia  giat mempercepatkan proses pendigitalan dalam pelbagai cara untuk bersesuaian dengan realiti baharu. 

Ini termasuk melancarkan produk digital, pembayaran digital serta inisiatif e-dagang dan automasi. Di samping itu, hampir 28 peratus daripada organisasi Malaysia percaya model perniagaan semasa tidak akan kekal kompetitif dalam tempoh lima tahun akan datang.  

Sementara itu, satu daripada organisasi yang mengutamakan inovasi termasuk syarikat utiliti elektrik terbesar Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB).

AMIR HAMZAH AZIZAN

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pihaknya komited untuk memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan menerusi inovasi dalam penyelesaian mereka yang diperluas menjangkaui bekalan elektrik. 

Walaupun menghadapi cabaran besar akibat pandemik katanya, TNB segera bertindak balas untuk memastikan keselamatan kakitangan dan kesinambungan bekalan elektrik terlebih dahulu. 

“Di kemuncak PKP, kira-kira 75 peratus kakitangan bekerja dari rumah walaupun dengan pemberitahuan singkat dan kami terus memastikan bekalan elektrik kekal disalurkan kepada 9.25 juta pelanggan di seluruh Semenanjung Malaysia, terutamanya bagi tempat-tempat yang paling memerlukan, iaitu hospital dan klinik. 

“Kami menggalakkan pelanggan kami untuk menggunakan aplikasi myTNB, yang sudah sedia untuk menghadapi keadaan di mana pelanggan tidak boleh mengunjungi Kedai Tenaga bagi menguruskan akaun elektrik mereka, dan kami juga dapat menampung ledakan penggunaan aplikasi berkenaan secara tiba-tiba,” katanya.

Amir memberitahu, ia adalah sejajar dengan aspirasi TNB untuk memupuk budaya inovasi dalam kalangan 36,000 kakitangan, yang memberi tumpuan untuk merealisasikan matlamat syarikat menjadi pembekal penyelesaian tenaga mampan yang terulung di Malaysia dan di peringkat antarabangsa. 

AZMAN ISMAIL

“Kami melibat urus pelanggan kami dalam hal kecekapan tenaga, meningkatkan ilmu tentang tenaga dan memperkasakan mereka dengan alat untuk menguruskan penggunaan mereka.

” Sebagai contoh, meter pintar kini membolehkan pelanggan menerima bil sebenar menerusi aplikasi myTNB, di mana mereka boleh memantau dan mengawal penggunaan elektrik harian mereka. Ini disokong oleh MAEVI, inovasi pengurusan tenaga di rumah untuk menyokong pelanggan menerusi penggunaan tenaga pintar,” tambah  Amir. 

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail turut menekankan bahawa transformasi digital (DT) yang sedang dilaksanakan PLUS bertumpukan modal insan.

“Perubahan ini adalah bertumpukan Warga PLUS yang telah menerap dan mengubah cara kerja mereka menerusi penggunaan teknologi yang lebih tinggi, khususnya Pendigitan (Bakal Menjadi Digital) dan Pendigitalan (Sedia Digital).

“Kami beransur-ansur dan bersungguh-sungguh melaksanakan pelbagai inisiatif DT dalaman untuk meningkatkan kecekapan kerja dan inisiatif DT luaran bagi menambah baik pengalaman dan kepuasan pelanggan,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan