24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Wanita akibatkan kematian tentera dipenjara enam tahun, denda RM8,000

Mesti Baca

JOHOR BAHRU – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara enam tahun dan didenda RM8,000 terhadap seorang wanita yang menyebabkan kematian seorang anggota tentera dalam kemalangan Sabtu lalu atas kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah.

Memetik Harian Metro, Majistret Suhaila Shafi’uddin membuat keputusan itu selepas Nur Fatin Nazrah Suhaimi, 23, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Majistret turut memerintahkan Nur Fatin dipenjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda berkenaan selain hilang kelayakan untuk memegang dan memperbaharui lesen memandu selama lima tahun.

Suhaila turut memerintahkan Nur Fatin yang juga pekerja kilang untuk membayar denda berjumlah RM2,800 atas tiga lagi kesalahan iaitu tidak mempunyai lesen memandu, memandu kereta yang tiada cukai jalan serta insurans, selepas dia turut mengaku bersalah atas ketiga-tiga kesalahan berkenaan.

Dia turut diperintahkan menjalani penjara tambahan masing-masing selama enam, empat dan tiga bulan lagi, sekiranya gagal membayar denda berkenaan selain hilang kelayakan untuk memegang dan memperbaharui lesen memandu selama lima tahun.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki, Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, 31, yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, di di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru – Kota Tinggi, kira-kira jam 8.24 pagi, 10 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga ketiga, Nur Fatin didakwa memandu dengan tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan dan tiada insurans di lokasi dan masa yang sama.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 26(1) APJ 1987, Seksyen 15(1) dan Seksyen 90(1) akta yang sama, masing-masing memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000, dan manakala bagi Seksyen 90(1) memperuntukkan denda maksimum RM1,000.

Dalam mahkamah berasingan, Nur Fatin turut diperintahkan penjara tujuh bulan secara berasingan daripada hukuman terdahulu selain menjalani Perintah Pegawasan selama dua tahun, selepas mengaku bersalah memasukkan dadah dalam badannya.

Bagi pertuduhan kelima itu dia didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis methamphetamine dan amphetamine dan dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952, dengan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Advertisements

Kes tersebut dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Noridayu Md Kassim.

Terdahulu, Nur Fatin yang dilihat lemah duduk di atas kerusi roda dibawa masuk ke mahkamah kira-kira 8.40 pagi dengan diiringi polis trafik pengiring.

Sabtu lalu, polis dilaporkan menahan pemandu Perodua Myvi wanita berkenaan selepas dia terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru – Kota Tinggi, di sini, hingga menyebabkan seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut.

Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, disahkan maut di lokasi kejadian manakala Chang Ah May, 78, dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Dia dipercayai tidak mempunyai lesen memandu kenderaan, selain cukai jalan sudah tamat tempoh, dilaporkan dilepaskan atas jaminan polis, Ahad lalu, selepas keterangannya direkodkan.

Saringan awal air kencing mendapati pemandu wanita berkenaan turut positif dadah.

Kemalangan kira-kira 9 pagi Sabtu lalu itu, membabitkan kenderaan pemandu berkenaan dengan kereta jenis Honda Accord dan Proton Iswara.

Video kemalangan maut berkenaan tular di media sosial sejak Sabtu lalu menyebabkan pemandu wanita terbabit dikecam netizen selain kes berkenaan menjadi tumpuan awam.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan