25.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

UMNO tuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri, portfolio penting

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – UMNO menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri dan portfolio penting dalam Kabinet setaraf dengan kedudukan parti itu sebagai penyumbang kerusi yang banyak dalam Perikatan Nasional.

Ketika mendedahkan tuntutan tersebut, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, UMNO berhak mendapat portfolio yang baik sebaliknya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyumbang sembilan kerusi diberikan kedudukan itu.

TAJUDDIN ABDUL RAHMAN

“Sepatutnya jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada UMNO dan UMNO komponen paling besar dalam kerajaan Perikatan Nasional sewajarnya diberikan penghargaan, pengiktirafan tetapi malangnya tidak begitu.

“Macam Azmin dan kawan-kawan, dia sumbangkan lebih kurang sembilan sahaja kerusi berbanding dengan UMNO,” katanya kepada media hari ini.

Difahamkan syarat UMNO itu dikemukakan dalam sidang video Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Bendahari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, semalam.

Mengulas lanjut, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, apa yang dilakukan oleh UMNO bukan soal perebutan jawatan, namun parti itu perlu diberi jawatan yang sewajarnya dalam kerajaan.

“Ia bukan perebutan jawatan tetapi jawatan itu adalah perkara penting. Bukan kerana pangkat tetapi kerana kedudukan itu memberikan platform kepada kita sebagai parti untuk berkhidmat yang memenuhi kehendak rakyat.

Advertisements

“Kalau jadi parti tak boleh bela rakyat apa makna, ‘terkonteng-konteng’ macam parti Berjasa apa dia boleh buat? Parti Perjuang? Apa dia boleh juang?” katanya.

Sementara itu, Ahmad Maslan berkata, Perdana Menteri meminta UMNO memperincikan syarat baru mengenai kerjasama politik dengan Perikatan Nasional dalam usaha menyelamatkan gabungan itu.
Katanya, permintaan itu dinyatakan dalam surat Muhyiddin kepada UMNO yang dihantar melalui Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

AHMAD MASLAN

Ketika ditanya pemberita di Pontian, adakah syarat baru itu satu ‘ugutan politik, Ahmad Maslan berkata;

“Saya hanya mengemukakan fakta bahawa Barisan Nasional (BN) ada nombor yang menunjukkan jumlah Ahli Parlimen terbanyak iaitu 59 kerusi.

“Syarat baharu dibuat selepas UMNO meneliti perkembangan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di mana perlu ada perjanjian bertulis,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, UMNO tidak berhasrat untuk memfailkan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Katanya, desakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah agar undi tidak percaya dibuat terhadap Muhyiddin merupakan tindakan peribadi dan UMNO tidak terbabit. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan