KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyindir Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila membangkitkan semula kenyataan dibuat Perdana Menteri, bahawa beliau akan mengadakan pilihan raya umum (PRU) dalam masa terdekat jika Gerakan Rakyat Sabah (GRS) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Dalam hantaran Facebook, Dr Mahathir tanpa menyebut nama Muhyiddin berkata, Presiden Bersatu itu patut mengotakan kata-katanya dan menerima sahaja akibat yang bakal menyusul, memandangkan “politik lebih utama daripada prinsip”.
“Kata pemimpin tertinggi, kalau menang (di Sabah), PRU akan diadakan. Jangan mungkir janji, adakan PRU (dan) biar ratusan ribu dijangkiti (Covid-19). Biar lebih ramai mati.
“Politik lebih utama daripada prinsip. Apa aku peduli? Aku dapat (apa yang dimahukan),” katanya, hari ini.
Sebelum ini, Muhyiddin semasa berkempen dalam PRN Sabah pada 18 September lalu berkata:
“Sekiranya kita menang di Sabah, kita akan bergegas dan mengadakan PRU… Isyarat mesti diberikan oleh orang Sabah bahawa ‘kami menyokong PN, kami mahu Muhyiddin terus menjadi perdana menteri. Kami mahu Malaysia terus maju dan berjaya’ dan satu-satunya cara untuk berjaya adalah bersama saya,” katanya.
Dalam pilihan raya tersebut, GRS yang merupakan gabungan parti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) telah memenangi 38 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun PRN Sabah telah dianggap sebagai memburukkan lagi penularan Covid-19 di negara ini dengan peningkatan mendadak sehingga mencecah 600 kes sehari.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mahathir berkata, PRN Sabah sepatutnya tidak diadakan.
Dakwa beliau, Sabah sudah mengadakan pilihan raya negeri semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 yang mana Warisan menang dan tubuh Kerajaan.
“Tetapi kerajaan Pusat berhasrat kuasai Sabah juga melalui pintu belakang. Untuk elak daripada ini berlaku, Kerajaan Warisan terpaksa dibubar untuk adakan PRN.
“Maka menanglah duit, kerana dia raja. Tapi kosnya tinggi. Bukan sahaja wang ringgit, tetapi juga serangan Covid-19. Dari Sabah berkembang ke Semenanjung,” katanya.
Dr Mahathir menambah, berjangkitlah dan merebaklah Covid-19 yang mana Sabah daripada sebuah negeri yang selamat, kini menjadi kluster sehingga ribuan dijangkiti malah ada yang meninggal dunia. – Edisi 9