KUALA LUMPUR – Tiada seorang pun daripada 23 ahli Parlimen UMNO yang menyokong rancangan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentuk kerajaan baharu.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz pada masa sama menolak laporan bahawa berlaku ketegangan dalam UMNO membabitkan ahli Parlimen yang menyokong dan menentang bekas timbalan perdana menteri itu.
“Tiada apa yang berlaku dalam UMNO. Terdapat 23 ahli Parlimen dari UMNO. Saya dengan yakin boleh kata kami tidak menyokong inisiatif Anwar,” katanya yang dipetik Free Malaysia Today, hari ini.
Semalam, tiga ahli Parlimen UMNO yang enggan dinamakan dilaporkan berkata, ahli Parlimen parti itu berpecah kepada tiga kumpulan iaitu mereka yang menyokong Anwar, menentang dan atas pagar yang belum membuat keputusan.
Nazri dalam pada itu berkata, selain daripada mereka yang menafikannya secara tegas di media sosial, beliau sudah bercakap kepada baki ahli Parlimen yang kemudiannya mengesahkan kepadanya bahawa mereka tidak menyokong rancangan Anwar.
“Hanya kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ahli Parlimen parti itu bebas menyokong sesiapa yang mereka mahu, tidak bermakna mereka menyokong Anwar.
“Ahli Parlimen UMNO akan bersatu dan sebarang keputusan yang kami buat adalah secara bersama.
“Saya menjelaskan perkara ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan di kalangan orang ramai mengenai pendirian kami (ahli Parlimen UMNO) dalam isu ini,” katanya.
Bulan lalu, Anwar mendakwa mendapat “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru.
Beliau dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong esok dipercayai bagi mempersembahkan sokongan majoriti yang dimilikinya.