26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Sabah:PKPB di tiga daerah, sekolah ditutup

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan berkuat kuasa pukul 12.01 tengah malam 7 Oktober.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Khas Menteri-Menteri hari ini berikutan situasi semasa Covid-19 di Sabah.

ISMAIL SABRI YAAKOB – foto MALAY MAIL

Menurutnya, pergerakan keluar masuk di ketiga-tiga kawasan PKPB adalah tidak dibenarkan.

“Hanya perkhidmatan perlu (Essential Service) termasuk kilang dan rantaian yang berkaitan sahaja dibenarkan.

“Pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) akan menyenaraikan jenis perkhidmatan perlu yang terbabit di kawasan itu,” katanya hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri Sabah memutuskan untuk melaksanakan penutupan sekolah sebagai langkah tambahan penguatkuasaan larangan rentas daerah yang bermula kelmarin hingga 16 Oktober ini.

Turut terbabit penutupan itu ialah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA), pusat jagaan, Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA).

HAJIJI NOOR

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata langkah itu diputuskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah Covid-19 berikutan peningkatan jumlah kes positif kepada tiga angka yang dilaporkan di negeri ini sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata, jawatankuasa itu turut memutuskan untuk menutup lokasi tumpuan umum seperti rumah ibadat, premis perniagaan termasuk pasar raya, kecuali yang menjual perkhidmatan dan barangan perlu, selain tamu serta pasar malam.

“Namun, pelaksanaan langkah diputuskan jawatankuasa berkenaan tertakluk persetujuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bertanggungjawab dalam usaha menangani penularan pandemik Covid-19 di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Hajiji memberitahu, jawatankuasa itu juga memutuskan untuk melaksanakan perkara berikut tertakluk kepada persetujuan MKN.

“Pertama, hanya membenarkan operasi perniagaan untuk perkhidmatan dan barangan. Kedua, menutup pasar raya, kecuali yang membekalkan perkhidmatan dan barangan perlu serta tidak membenarkan orang ramai makan di restoran, kedai atau gerai makanan.

“Turut diputuskan penutupan perpustakaan awam dan mengurangkan 50 peratus kapasiti sebenar penumpang bagi perkhidmatan bas henti-henti yang beroperasi di seluruh negeri,” katanya.

Hajiji berkata, jawatankuasa berkenaan turut memutuskan untuk mengehadkan kapasiti kenderaan persendirian kepada dua orang dan menjadikan stesen kuarantin diwartakan sebagai pusat wad tambahan atau rawatan pesakit.

Menurutnya, kerajaan negeri berharap perkara ini dipersetujui serta diluluskan MKN dan pelaksanaannya berkuat kuasa serta-merta sehingga 16 Oktober ini.

“Semua rakyat Sabah diingatkan sentiasa mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dan dinasihatkan memainkan peranan masing-masing dalam memerangi pandemik Covid-19 dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Sabah mencatat peningkatan kes positif Covid-19 kepada tiga angka bermula 1 Oktober lalu hingga semalam dengan 138 kes pada 1 Oktober, diikuti 133 kes pada 2 Oktober, 155 kes (3 Oktober) dan 126 kes (4 Oktober), dengan bilangan kes masih dirawat sebanyak 1,206 orang.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan