31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Laporan saya sokong Anwar kurang tepat – Najib

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui beliau adalah Ahli Parlimen yang mencadang rundingan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, seperti mana yang dilaporkan beberapa media sebelum ini.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Pekan itu berkata, rundingan itu termasuk dengan semua parti politik kecuali DAP, dan laporan yang beliau ‘mendesak’ BN untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri adalah kurang tepat.

Berikut kenyataan penuh beliau:

Ada media portal yang laporkan seolah-olah saya mendesak semua Ahli Parlimen UMNO untuk sokong Anwar jadi Perdana Menteri.
Ini kurang tepat.

Mesyuarat hari ini adalah untuk semua Ahli Parlimen membincang hala tuju parti dalam krisis Covid-19 hari ini dan kita diberi peluang untuk mengeluarkan pandangan masing-masing.

Cadangan pertama saya adalah untuk UMNO mendesak satu tarikh yang tetap untuk Pilihan Raya Umum pada masa hadapan selepas Covid-19 terkawal.

Membubar Parlimen untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk memilih semula juga pilihan parti semasa PM7 letak jawatan pada bulan Februari lalu.

Saya berpendapat ini adalah pilihan terbaik untuk negara sebab majoriti yang tipis kerajaan Perikatan Nasional adalah punca politik tidak stabil pada ketika ini dan ini juga akan menyebabkan pelabur tidak yakin dengan negara sebab mereka akan bimbang untuk melabur jika kerajaan akan tumbang pada bila-bila masa.

Saya juga berpendapat bahawa PM8 telah mencorak langkah yang salah untuk meminta darurat dalam usaha kekalkan kuasa dan saya bimbang bahawa permintaan dia yang ditolak YDP Agong dan Raja-raja Melayu boleh menyebabkan UMNO disalahkan pengundi.

Cadangan kedua saya ialah jika cadangan pertama ditolak Perikatan Nasional maka UMNO perlu terbuka kepada rundingan dengan parti-parti politik lain termasuk parti Anwar jika UMNO masih tidak berpuas hati dengan layanan dalam kerajaan PN selepas apa yang berlaku di Sabah.

Namun, cadangan saya ada syarat bahawa kerjasama dengan Anwar tidak akan melibatkan parti DAP. Ini ditegaskan beberapa kali dalam mesyuarat hari ini.

Saya lihat kita boleh bekerjasama dengan Muhyiddin dan Azmin pada bulan Februari lalu walaupun pada masa itu PPBM merupakan musuh kita yang banyak mengambil Ahli-ahli Parlimen UMNO, kenapa kita tidak boleh runding dengan Anwar untuk bekerjasama bersyarat sehingga PRU-15?

Syarat-syarat ini termasuk membuka jalan untuk UMNO mengambil peranan dalam hala tuju kewangan dan ekonomi melihat pada masa kini PPBM memonopoli jawatan Perdana Menteri, Menteri kanan yang paling kanan, Menteri Kewangan, Menteri Ekonomi dan Majlis Tindakan Ekonomi tanpa sebarang wakil dari parti UMNO, PAS atau mana-mana parti lain.

Dengan ini kita boleh merangka pelan bantuan dan rangsangan ekonomi yang lebih efektif seperti melanjutkan moratorium pinjaman serta mempercepatkan pakej bantuan khusus untuk Sabah yang amat diperlukan segera tetapi gagal dikeluarkan sejak sebulan dahulu walaupun impak kepada Sabah pada masa kini adalah amat parah.

Follower FB saya juga faham bahawa saya sudah beberapa kali sudah meluahkan kekecewaan saya dengan pengendalian Covid-19 kerajaan PN terutamanya untuk kluster-kluster penjara yang menyumbang bahagian paling besar kes Covid-19 dalam gelombang ketiga ini.

Walaupun UMNO tidak terlibat dalam kementerian tersebut, UMNO tentu akan disalahkan. Dan jika kita diberikan peranan lebih besar, kita boleh menyumbang kepada usaha untuk menyelesaikan kelemahan ini.

Saya juga terbuka kepada pilihan untuk teruskan sokongan bersyarat kita kepada kerajaan Perikatan Nasional sehingga PRU-15 tetapi kita perlu berunding semula syarat-syarat supaya UMNO dan BN diberi peranan lebih besar terutamanya dalam hal-ehwal berhubung rancangan ekonomi.

Apapun, itu antara cadangan dan pendapat saya dalam mesyuarat hari ini. Terpulang kepada parti untuk menilai dan membincang cadangan-cadangan ini.

Sebagai orang parti, saya akan terus menyokong keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang sedang bermesyuarat malam ini.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan