31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Jika bajet ditolak: Rakyat sengsara, negara runtuh

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9


PERTEMUAN ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO semalam diharapkan ‘adegan politik’ yang terakhir kita mahu saksikan selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah menitahkan ahli-ahli politik memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Oleh kerana semua parti termasuk pembangkang sudah memberikan komitmen untuk akur kepada titah Al-Sultan Abdullah dan bersedia bersama-sama untuk memerangi Covid-19, mereka harus menunaikan janji tersebut serta menghentikan segala sandiwara dengan memastikan Bajet 2021 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November ini diluluskan.

Seperti mana ditegaskan oleh Yang di-Pertuan Agong, Belanjawan Negara 2021 adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara, justeru peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.

Justeru jika ada mana-mana ahli Parlimen atau parti cuba menjadikan bajet sebagai ‘peluru’ untuk menjatuhkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia boleh dianggap pengkhianatan kepada rakyat dan negara.

Meluluskan bajet bukan soal memberi sokongan politik kepada Muhyiddin tetapi untuk memastikan usaha memerangi Covid-19 dapat dilakukan dan memastikan kelangsungan ekonomi negara secara keseluruhannya.

‘’Apa yang kita nak sampaikan kepada semua Ahli Parliman ialah isu politik itu adalah (cuma isu) di antara mereka, tetapi apa pun yang berlaku mereka perlu memastikan bahawa negara mempunyai peruntukan mencukupi.

”Sehingga hari ini, kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit untuk melawan Covid-19 dan sekarang ini kita berhadapan dengan gelombang ketiga, jadi saya percaya kita perlu menyediakan peruntukan mencukupi,’’ kata Pengarah Majlis Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi, Tan Sri Dr.Noor Azlan Ghazali kepada Astro Awani.

Dalam hal ini, penulis coretkan kembali apa yang ditegaskan oleh seorang ahli perniagaan ternama bergelar Tan Sri apabila kami bertemu baru-baru ini. Antara lain dalam hujah yang penulis coretkan dalam “Sembang Bersama Tan Sri’ minggu lalu, beliau berkata;

‘’Bajet bukan soal politik tetapi bajet soal nak tolong rakyat, nak bangunkan negara, duit bajet nak bayar gaji penjawat wang, duit bajet nak bagi peruntukan kat sekolah-sekolah, duit bajet nak bantu peniaga-peniaga – kenapa nak tolak bajet hanya sebab ada masalah politik dengan Perdana Menteri?

‘’Kalau bajet tak lulus, apa akan berlaku? Berjuta penjawat awam tak dapat gaji, sekolah tak boleh bayar elektrik, bantuan kat rakyat tak boleh beri, kerajaan tak boleh nak tolong peniaga, orang miskin. Kalau itu terjadi ahli Parlimen atau parti politik yang tolak tu, nak jawab apa kat rakyat?

‘’Bila rakyat sengsara, mereka akan pastikan parti-parti, ahli Parlimen yang buat tu kalah dalam pilihan raya. Dah la sekarang rakyat susah sebab Covid-19, tak kan nak bagi mereka lagi susah jika bajet tak lulus.

”Rakyat tak faham soal PM ada majoriti atau tidak, rakyat tak kisah sapapun nak jadi PM, rakyat hanya mahu kerajaan bantu mereka termasuklah melalui bajet.

Advertisements

‘’Jadi bagi saya, kalau ada parti politik atau ahli Parlimen yang ‘ugut’ nak tolak bajet, itu kerja bodoh dan sengaja cari pasal dengan rakyat. Bila penjawat awam tak dapat gaji, elektrik kat sekolah kena potong, rakyat susah tak ada duit…petakalah kepada parti yang buat benda itu.’’

Hakikatnya, kita tidak kisah kalau ia menjadi petaka politik parti terlibat tetapi seperti mana kata ahli perniagaan berkenaan, negara akan runtuh jika itu bajet tak lulus.

Sebab itulah Al-Sultan Abdullah memberi penekanan kepada bajet kerana ia bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya situasi kerajaan hilang fungsi (government shutdown).

Oleh itu janganlah ada mana-mana parti politik cuba mempolitikkan bajet dengan beranggapan ia peluang terbaik untuk menyingkirkan Perdana Menteri melalui usul tidak percaya.

Setakat semalam, nampaknya hampir semua ahli politik bersetuju untuk menghentikan segala politiking seperti mana dinasihatkan oleh Al-Sultan Abdullah.

Malah ada antara mereka dalam kalangan pembangkang bersedia untuk bekerjasama dengan Muhyiddin. Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub menegaskan, beliau dan blok pembangkang bersedia dipanggil Perdana Menteri bagi membolehkan kata sepakat dicapai demi kebaikan rakyat.

‘’Kami bersikap objektif, jika ia demi rakyat dan negara, kami akan sokong untuk Belanjawan 2021 yang akan datang memandangkan Yang di-Pertuan Agong mahu kerajaan berjalan dan belanjawan ini diluluskan, jadi panggil kami.

”Kami ada pasukan yang mampu menyalurkan buah fikiran dan idea terbaik. Kami bersedia pada bila-bila masa, panggil segera,’’ katanya.

Sementara pembangkang sudah menyatakan komitmen mereka, diharapkan dalam UMNO juga cukup-cukuplah berpolitik. Hentikan kenyataan-kenyataan dangkal yang mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan apabila permohonan mengiystiharkan darurat ditolak oleh Al-Sultan Abdullah.

Begitu juga dengan segelintir ahli Parlimen pembangkang yang masih lagi bercakap mahu Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun membenarkan usul tidak percaya dibentangkan bagi menentukan kedudukan Muhyiddin. Soal usul tidak percaya ini boleh dibuat kemudian kerana negara kini sedang diancam pandemik Covid-19.

Cukuplah, janganlah mahu menjadi Dewan Rakyat sebagai medan untuk melunaskan impian atau agenda politik sesiapa. Mereka perlu menghentikan politiking yang ternyata sudah menimbulkan perasaan mual dalam kalangan rakyat.

Apa yang penting ketika ini ialah untuk memastikan usaha memerangi Covid-19 dapat dilakukan dengan berkesan dan negara tidak runtuh akibat kejahilan mana-mana ahli Parlimen menentang Bajet 2021 atas alasan politik.

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan