KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak berkata, adalah tidak adil untuk menyalahkan Barisan Nasional (BN) mahu pun Perikatan Nasional (PN) sahaja berikutan kemungkinan gelombang kedua Covid-19 sudah bermula.
Menurut bekas perdana menteri itu, BN dan PN tidak mahu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan sehingga usaha menangguhkan proses pemilihan ditolak mahkamah sebanyak tiga kali dengan alasan Covid-19 di negeri itu masih terkawal.
“Seluruh Rakyat Malaysia (termasuk saya) sudah risau dengan kemungkinan gelombang kedua Covid-19 sudah bermula.
“Namun saya tengok penyokong PH (Pakatan Harapan) sudah mula buat kerja untuk menyalahkan PN/BN sebab PRN Sabah diadakan ketika jumlah kes Covid mula naik di sana,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Sebaliknya kata Najib, bekas ketua menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada ketika itu dilihat tidak kisah dengan peningkatan kes Covid-19 apabila meminta individu yang positif keluar mengundi manakala pemimpin Warisan menuduh pertambahan kes pandemik tersebut cuma satu wayang.
“Masa itu juga, pemimpin-pemimpin PH lain memuji “keberanian” Shafie untuk membubarkan DUN supaya PRN boleh berlangsung.
“Geng (penyokong) PH juga membantah arahan kuarantin dikeluarkan bagi mereka yang pulang dari Sabah ke semenanjung Malaysia dengan alasan bahawa ini akan melanggar demokrasi dan menakut-nakutkan pengundi,” tegas beliau.
Najib menarik perhatian, PRN Sabah berlaku dselepas beberapa ADUN PH hilang kepercayaan pada Shafie and melompat ke golongan yang diketuai oleh Tan Sri Musa Aman.
Namun dengan majoriti jelas, Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sabah, Tun Juhar Mahiruddin enggan menerima Musa Aman sampai ke tahap Musa dihalang masuk ke Istana Sabah.
“Ini jauh berbeza dengan masa TYT menerima Shafie mengadap setelah UPKO melompat dan menjatuhkan Musa serta kerajaan BN Sabah selepas PRU14.
“Ini juga berbeza dengan pendekatan TYT Melaka yang enggan mengikut nasihat Ketua Menteri Melaka untuk bubarkan DUN Melaka semasa kerajaan PH Melaka jatuh pada awal Mac lalu,” katanya.
Najib berkata, akhirnya Shafie sendiri memohon maaf atas langkah dia membubar DUN dan melaksanakan PRN dengan alasan “warga Sabah berhak ada sebuah kerajaan yang bermaruah”.
“Sebab itu, jangan hanya salahkan PN atau BN sahaja.
“Kita tidak ada pilihan lain selain membantu berkempen di sana walaupun dinasihat oleh ahli keluarga untuk tidak lawat ke Sabah masa itu.
“Namun saya tetap menaruh harapan kepada kebolehan Kementerian Kesihatan Malaysa dan kerajaan PN untuk mengawal Covid,” tambahnya.