Oleh DATUK SERI DR ERWAN MOHD TAHIR
KETIKA rakyat dikejutkan dengan sidang media Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang ura-ura peralihan kuasa baru baru ini, YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengadakan perutusan khas tentang Covid-19 dan langkah-langkah tambahan berkaitan bantuan kepada rakyat yang terjejas.
Ramai yang tertunggu-tunggu tentang isu lanjutan moratorium, setidak-tidaknya pihak kerajaan mengumumkan sehingga 31 Disember 2020 secara automatik.
Terutamanya golongan berpendapatan rendah B40 dan M40 di peringkat bawah. Banyak keluhan dan kekecewaan daripada rakyat biasa tentang proses permohonan lanjutan moratorium yang agak menyusahkan.
Walaupun pengumuman Perdana Menteri memberikan beberapa berita baik seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), tetapi isu paling utama adalah ‘lanjutan moratorium automatik’.
Kenapa tidak diberikan lanjutan moratorium secara automatik kepada golongan berpendapatan rendah?
Ternyata keluhan ramai rakyat tentang proses yang rigid oleh pihak bank tidak diendahkan kerajaan. Memanglah kadar kelulusan adalah lebih 90 peratus, tapi berapa ramai golongan B40 yang tidak memohon kerana banyak faktor lain?
Ternyata proses permohonan tersebut lebih memihak kepada bank-bank. Prosedur, dokumen yang perlu disediakan, waktu yang perlu dicari untuk ke bank dan belum tentu pihak bank akan meluluskan sepenuhnya.
Justeru, saya ingin meminta kerajaan mempertimbangkan supaya ansuran pinjaman kereta di bawah RM1,000 sebulan, pinjaman perumahan di bawah RM2,000 sebulan dan peribadi di bawah RM2,000 sebulan diberikan lanjutan moratorium secara automatik sehingga 31 Disember 2020.
Pinjaman untuk orang kaya (ansuran pinjaman bernilai tinggi) akan tetap dibayar.
Senario yang boleh kita ambil contoh adalah: Seorang pekerja pembersihan yang mempunyai pinjaman kereta Perodua Myvi sebanyak RM520 sebulan. Bagi skop kerja tersebut, susah untuk dia mendapatkan pelepasan majikan bagi bertemu dengan pihak bank bagi membuat rayuan (mungkin gaji hariannya akan dipotong), jika permohonan dibuat melalui e-mel adakah dia mahir menggunakan email, print borang dan menggunakan scanner untuk e-mel semula ke pihak bank?
Dan itu pun belum tentu pihak bank luluskan. Sama juga seperti pinjaman rumah-rumah kos rendah dan kos pertengahan atau pun pinjaman peribadi yang telah dibuat bagi perbelanjaan keperluan sebelum ini seperti anak masuk universiti atau keperluan terdesak yang lain.
Saya tidak nampak bahawa proses memohon lanjutan moratorium bersasar ini ‘mudah’ kepada ramai golongan B40 and M40. Dengan bermacam-macam borang yang perlu diisi dan ditambah dengan dokumen sokongan yang perlu disediakan.
Entah berapa ramai yang menyimpan penyata bank mereka di kalangan gologan B40, kerana perbelanjaan bulanan mereka hanya cukup-cukup makan.
Oleh sebab Covid-19 ini, ramai yang pendapatan mereka berkurangan, kos barangan keperluan meningkat, pendapatan peniaga-peniaga kecil terjejas.
Apa salahnya jika rakyat-rakyat golongan B40 and M40 kelas bawah diberikan sedikit lagi ruang sehingga hujung tahun (melalui moratorium automatik pinjaman mereka). Lebih baik diberikan lanjutan secara automatik.
Golongan ini perlu diberi pengecualian, kerana ansuran bulan kereta di bawah RM1000 bukan kereta mewah, ansuran rumah di bawah RM2000 bukan kondo-kondo atau banglo mewah, dan pinjaman peribadi dibuat sebelum ini bukan untuk berfoya-foya.
Gaji yang diperolehi mereka memang hanya untuk meneruskan kelangsungan kehidupan mereka dan keluarga.
Bank-bank tidak akan rugi kerana, orang berpendapatan tinggi akan terus membayar ansuran pinjaman mereka, syarikat-syarikat besar juga telah mula beroperasi beberapa bulan lepas dan membuat bayaran ansuran mereka tanpa sebarang tunggakan.
Secara kesimpulannya, sekiranya lanjutan moratorium diberikan secara automatik, yang akan mendapat bantuan dan manfaat adalah peminjam kereta-kereta Proton dan Perodua, peminjam rumah-rumah flat serta apartment-apartment keluarga, peminjam-peminjam peribadi yang telah meminjam untuk keperluan mendesak.
Mereka ini yang akan berterima kasih dan menghargai kelapangan yang diberikan oleh pihak kerajaan. Rakyat golongan B40 dan M40 tidak harus dibebankan dengan proses yang sukar oleh pihak bank.
Sekiranya mereka tidak memohon, bukan kerana tidak perlu, tapi kerana proses yang menyusahkan. Ramai yang merasa sukar untuk berurusan dengan pihak bank. Kita kena melihat secara rasional tentang pemasalahan ini.
Kerajaan pada masa yang sama harus melihat perkara ini secara serius. Ramai yang telah menunggu pengumuman ini, tapi tiada berita sehingga sekarang.
Mohon kerajaan benar benar membantu rakyat dibawah pentadbiran Abah sekarang ini.
- Penulis merupakan Presiden Pertubuhan Pedagang dan Peniaga Kebangsaan Malaysia (PERDANA). Artikel ini diambil daripada kenyataan media beliau.