29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Jangan main sentimen negeri, kita semua rakyat Malaysia

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak supaya tidak memainkan sentimen kenegerian yang boleh memecahkan perpaduan antara orang Semenanjung dengan orang Sabah dan Sarawak.

Ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pasir Puteh bersama calon Barisan Nasional (BN), Ir Shahelmey Yahya, di Kota Kinabalu, malam tadi, Pengerusi BN itu menegaskan, “Kita adalah rakyat Malaysia di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.”

Sambil mengimbau peristiwa pencerobohan di Lahad Datu satu ketika dahulu, Ahmad Zahid menegaskan, polis dan tentera yang terkorban memperjuangkan bumi sabah bukan kerana mereka rakyat Sabah tetapi demi mempertahankan kedaulatan negara.

“Rakyat Sabah yang menjadi tentera akan menjaga sempadan di Kedah, Kelantan, di Perak kerana mereka anggap bumi semenanjung adalah bumi kita.

“Begitu juga tentera yang datang dari semenanjung atau datang daripada Sarawak mereka tidak kira bahawa mereka berasal daripada Sarawak atau semenanjung. Bumi Sabah adalah bumi kita bersama. (Oleh itu) Jangan main sentimen Sabah For Sabahan, Sarawak For Sarawakian,’’ katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak-pihak tertentu tidak memainkan isu parti Malaya dan parti Sabahan kerana jelas Parti Warisan yang dicanangkan sebagai parti tempatan juga bekerjasama dengan parti daripada semenanjung.

Advertisements

Menurut beliau, jika parti Warisan mengatakan bahawa mereka adalah parti Sabah, bagaimana pula parti DAP, Amanah dan juga PKR yang bertanding atas lambang parti Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September ini.

“Mana ada ada parti Malaya dan mana ada parti Sabah. Kita adalah rakyat Malaysia. Kalau Warisan parti Sabah, bagaimana pula dengan kuncu-kuncunya yang bertanding atas lambang Warisan? Adakah DAP parti Sabah? PKR parti mana? Amanah parti mana? Adakah kita mahu undi Warisan… no way jangan undi Warisan,” tegas beliau.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mempersoalkan, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal menyertai parti mana sebelum menubuhkan Warisan apabila ada pihak menyatakan UMNO dan BN parti Malaya.

“Dulu beliau (Datuk Seri Shafie) masuk parti apa, saya Naib Presiden nombor satu dan beliau Naib Presiden nombor dua… dalam keadaan itu seperti pepatah Melayu kata habis madu sepah dibuang… seperti kacang lupakan kulit dan sewaktu itu jawatan yang paling tinggi dipegang oleh beliau adalah Menteri Luar bandar.

“Sepatutnya sebagai salah sebuah kementerian yang mendapat peruntukan yang paling banyak beliau mesti menggunakan peluang itu untuk membawa peruntukan bagi pembangunan luar bandar di Sabah, di manakah peruntukan itu dia bawa.

“Kita percaya rakyat Sabah rakyat yang bijaksana…kuasa rakyat kuasa keramat dan apabila ia diserahkan kembali kepada rakyat pada PRN ini, marilah memilih dengan bijaksana dengan mengundi BN insya-Allah nasib rakyat dibela dengan kerajaan baru nanti.” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan