APABILA Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bersepakat untuk bekerjasama dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu, ia telah menimbulkan kegerunan kepada Warisan plus yang turut disertai PKR dan DAP.
Mereka memahami GRS boleh menggugat peluang Warisan Plus untuk mempertahankan pemerintahannya, justeru sudah pastilah mereka mencari apa juga isu yang boleh menggugat kerjasama dalam GRS.
Tindakan Pas tidak bertanding dalam PRN Sabah tidak boleh dijadikan modal kerana parti tersebut sendiri bersedia memberi laluan kepada rakan-rakan dalam Muafakat Nasional (MN) dan PN.
Oleh itu apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap siapa yang beliau cadangkan untuk menjadi Ketua Menteri Sabah jika GRS menang – maka ia dijadikan ‘peluru’ kepada Warisan plus.
Walaupun ia sekadar cadangan memandangkan perlu mendapat persetujuan semua pihak dalam GRS seperti mana ditegaskan oleh Muhyiddin, namun ia sudah cukup menjadi modal kepada Warisan plus.
Apatah lagi beberapa pemimpin UMNO ternyata ‘tidak selesa’ dengan cadangan Perdana Menteri kerana dianggap masih terlalu awal. Buat seketika isu tersebut reda apabila ia tidak dipanjangkan atau dibangkitkan oleh mana-mana pemimpin GRS.
Berikutan itu Warisan plus dan media yang menyokong mereka tidak ada ‘peluru’ untuk menyerang GRS.
Bagaimanapun ‘modal’ siapa Ketua Menteri itu kembali dapat digunakan apabila Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula secara terbuka menyatakan, Hajiji adalah calon paling layak kerana kuat bekerja dan bersih.
Sekali lagi pemimpin-pemimpin UMNO dilihat tidak selesa. Presiden parti itu yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan sekutunya supaya tidak terlalu yakin boleh memenangi PRN Sabah.
Tegas beliau, mereka tidak boleh terlalu yakin dan memikirkan soal calon ketua menteri sebelum hari pengundian.
“Jangan terlalu yakin dalam hal ini… Jangan masuk dalam perangkap yang dipasang oleh musuh politik kita. Kalau kita terlalu yakin rakyat akan tolak kita, yang penting kita capai kemenangan dahulu, sampai waktu kita runding sebaiknya.
‘’ Kita pastikan rakyat akan dapat seorang ketua menteri yang terbaik setelah ADUN-ADUN memenangi sekurang-kurangnya 37 kerusi,” katanya kepada pemberita selepas ceramah di Putatan, malam tadi.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Yaakob pula yang merupakan pemimpin paling awal memberi reaksi berikutan kenyataan Mohamed Azmin mengingatkan gabungan PN di Sabah tidak menimbulkan sebarang isu di peringkat awal dan fokus untuk menumbangkan kerajaan Warisan.
Kata beliau seperti dilaporkan Free Malaysia Today, apa yang penting ketika ini semua pihak harus memberi memberi kemenangan kepada calon yang diangkat parti gabungan sebelum mencanang calon ketua menteri masing-masing.
Menurut Ismail Sabri, setiap parti berhak menamakan calon Ketua Menteri tetapi pada akhirnya ia tertakluk kepada persetujuan rakan seperjuangan lain.
“Tak perlu timbul isu di peringkat awal kerana jika kita berpecah sikit sejak awal, kita boleh kalah. Apa yang penting kita bersatu tumbangkan kerajaan Warisan dan selepas itu kita nak tentukan siapa Ketua Menteri, kita boleh bincang. Yang penting menang dulu, kalau kalah nak bincang apa,” kata beliau.
Sememangnya ketegasan yang ditunjukkan oleh Ahmad Zahid dan Ismail Sabri itu adalah penting sebagai peringatan kepada semua pemimpin-pemimpin dalam GRS supaya pandai menjaga mulut dan menjaga hati kawan-kawan seperjuangan.
Seharusnya pemimpin GRS khususnya daripada Bersatu memahami keadaan ini. Mereka tidak boleh yakin apatah lagi merasakan hanya parti itu mempunyai calon terbaik untuk menjadi Ketua Menteri kerana penentuan adalah di tangan pengundi Sabah.
Sebagai sebuah parti yang kali pertama bertanding dalam pilihan raya negeri sejak ditubuhkan, Bersatu mesti pandai bawa diri. Jangan sampai tindakan atau kenyataan dibuat akan menyebabkan rakyat Sabah berasa muak dan sekutu pula ‘menyampah’, justeru berhentilah bercakap soal calon Ketua Menteri sebaliknya pertingkatkan usaha bagi meraih undi daripada rakyat Sabah.
Apa yang diperkatakan ini bukan bertujuan untuk menggugat perpaduan dalam kerjasama antara PN dengan BN dan PBS tetapi cuma mahu memastikan semua pihak berhati-hati supaya tidak wujud sebarang perasaan curiga mahupun tidak puas hati antara sau sama lain.
Jika itu dapat dilakukan sudah pasti GRS mampu mencapai kemenangan cemerlang dalam PRN Sabah, apabila kejayaan sudah dalam genggaman barulah semua pihak duduk berbincang dan ‘cerita’ siapa calon Ketua Menteri.
Sama-samalah kita menunggu detik tersebut. Yang penting berkempenlah dengan bersungguh-sungguh, bukannya diselubungi rasa teruja untuk menyebut nama orang itu orang ini sebagai calon Ketua Menteri kerana kita bimbang kesudahannya ia sekadar menjadi ‘mimpi indah yang mengasyikkan’. Jangan biarkan itu terjadi.