25.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Zahid jamin dengar pandangan akar umbi, netizen

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi boleh menarik nafas lega berhubung penyertaan Bersatu ke dalam Muafakat Nasional (MN).

Ini berikutan penjelasan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa pihaknya akan mendengar pandangan akar umbi serta netizen sebelum membuat keputusan mengenainya.

Malah, menurut beliau, perkara itu akan dibincang dan diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO.

“Pandangan akar umbi UMNO dan netizen pasti diberi keutamaan dan didengar sebelum Muafakat Nasional membuat keputusan untuk memuktamadkan penerimaan rakan kongsi politik baharu.

“Majlis Tertinggi UMNO akan memutuskannya,” katanya menerusi ciapan dalam twitternya, malam ini.

Siang tadi, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti menerima maklum balas kurang baik daripada akar umbi berhubung persetujuan Bersatu untuk menyertai MN.

Memetik laporan Sinar Harian, Mohamad berkata, perkara itu akan dibincang dalam Biro Politik UMNO sebelum dibawa ke Majlis Tertinggi parti.

Katanya, walaupun keputusan itu akan ditentukan oleh parti, namun pandangan akar umbi perlu diambil berat “kerana jika tiada akar umbi tiadalah pokoknya.”

Beliau menegaskan Jawatankuasa MN tidak boleh memutuskan perkara itu kerana ia berhubung parti dengan parti.

Sabtu lalu, Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa parti itu bersetuju untuk menyertai MN yang mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, keputusan tersebut mendapat reaksi pelbagai dalam kalangan ahli-ahli UMNO dan penyokong parti.

Malah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan tegas menjelaskan bahawa MN bukan dibentuk untuk menyelamatkan kerusi, jawatan atau mana-mana parti yang sedang berpecah dari dalam.

Beliau berkata, MN adalah wadah penyatuan dan perpaduan orang Melayu supaya kaum tersebut menjadi teras politik nasional yang stabil.

Bersatu yang baru berusia lima tahun yang ditubuhkan untuk melawan kerajaan Barisan Nasional (BN) diketuai UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kini dilanda perpecahan teruk.

Ia susulan pemecatan enam Ahli Parlimennya diketuai bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menolak kerajaan PN.

Keadaan dikatakan semakin parah apabila Dr Mahathir dalam proses menubuhkan parti baharu menyebabkan ramai ahli Bersatu meninggalkan parti untuk bersama Ahli Parlimen Langkawi itu. – Edisi 9

Terkini

MQA saran IPT lahirkan lebih ramai profesor praktis

KUALITI pendidikan tinggi negara akan terus meningkat dengan melahirkan lebih ramai 'professor of practice' atau profesor praktis. Ketua Pegawai Eksekutif...

Lagi Artikel Berkaitan