24 C
Kuala Lumpur
Friday, December 9, 2022

Mahathir mahu jadi pencatur politik bukan pendamai orang Melayu

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

TINDAKAN Tun Dr. Mahathir Mohamad menubuhkan parti baru bukanlah satu kejutan, sebaliknya menampakkan keghairahan politiknya beliau yang tidak pernah padam dalam usia 95 tahun untuk berkuasa dan menjadi pencatur dalam arena politik tanah air.

Selepas menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun bersama UMNO dan kemudian 22 bulan bersama Pakatan Harapan (PH), Ahli Parlimen Langkawi itu tidak pernah berasa puas dengan pencapaian tersebut.

Jiwanya bagaikan terus memberontak apabila tidak lagi menjadi pemimpin penting dalam PH, apabila parti-parti dalam pakatan tersebut bukan sahaja tidak mahu mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri malah menolak cadangannya mencalonkan Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal bagi jawatan berkenaan.

Tidak dapat dinafikan bahawa tindakan Dr.Mahathir itu akan memecah belahkan lagi politik orang Melayu yang sebelum ini sudah terbahagi kepada UMNO, Pas, Bersatu, Amanah, PKR dan PUTRA.

Namun begitu penulis melihat ia tidak akan mampu menggugat keutuhan Muafakat Nasional (MN) yang disertai oleh UMNO dan Pas.

Buat masa ini, parti yang menerima kesan sebaik sahaja Dr.Mahathir mengumumkan penubuhan parti baru ialah Bersatu, apabila seorang demi seorang pemimpin dan ahli mengumumkan keluar parti, tetapi penulis percaya ia tidak menjejaskan kekuatan Bersatu yang kini bergabung bersama UMNO dan Pas dalam Perikatan Nasional (PN).

Oleh itu kehadiran parti Dr.Mahathir harus kita raikan sebagai memeriahkan pesta demokrasi di negara ini seperti mana kita menyambut kehadiran Parti PUTRA di bawah kepemimpinan Datuk Dr.Ibrahim Ali.

Tambahan pula tindakan Dr.Mahathir boleh dilihat hanya mahu melunaskan dendam politik beliau terhadap UMNO dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Itu sahaja.

Orang Melayu sudah tahu bagaimana perangai Dr.Mahathir yang bersedia berkawan dengan sesiapa sahaja semata-mata mahu berkuasa dan dendam politiknya.

Kalau membaca 22 para kenyataan media beliau pada 7 Ogos lalu, Dr.Mahathir menggambarkan hala tuju perjuangan parti barunya cukup hebat dan jauh lebih baik daripada semua parti Melayu yang ada ketika ini.

Baca juga:   Jika benar ‘No Anwar, No DAP’, UMNO bantulah Muhyiddin

‘’Perjuangan kami berasas semangat bukan duit’’, ‘’Perjuangan mereka adalah untuk menjaga kepentingan elit, demi memastikan sokongan tidak hilang dan kekal berkuasa’’, ‘’Parti ini bertujuan untuk menebus kembali maruah bangsa yang terpalit dengan sikap khianat.’’

Baca juga:   Dr M, Muhyiddin 'mengidam' mahu kembali jadi PM – Zahid

Itulah antara perkara yang disentuh oleh Dr.Mahathir dalam kenyataan tersebut yang sekaligus memberi gambaran seolah-olah ‘’mereka kelompok paling suci dan paling baik serta terpilih’ bergabung dalam parti beliau itu.

Tidak mengapalah, anggap sahaja ia satu amalan biasa oleh sesiapa sahaja yang mahu mempromosikan ‘barang baru’. Tetapi apa yang lebih penting ialah realitinya selepas itu. Dr.Mahathir lupa, beliau bukan lagi pemimpin yang menjadi idola seperti mana semasa dan ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Sebaliknya, tindakan terbaru beliau itu hanya membuktikan dalam usia 95 tahun dan menjadi pemimpin politik paling tua di negara ini, nafsu politik dan ingin berkuasa beliau tidak pernah luntur.

Sepatutnya dalam usia sedemikian, Dr.Mahathir mencari jalan untuk menjadi penyatu ummah bukannya pemecah belah orang Melayu. Namun itu tidak berlaku kerana nafsu politik Dr.Mahathir sentiasa sahaja membara.

Sebab itulah sejak meletakkan jawatan menjadi Perdana Menteri kali pertama pada tahun 2003, Dr.Mahathir sentiasa melakukan tindakan untuk menonjolkan diri sebagai pencatur kepada arena politik tanah air.

Dan kali ini, Dr.Mahathir sendiri menyatakan, ‘’ Kita mungkin bukan parti yang cukup bilang, tapi kita boleh jadi kumpulan yang tentukan sapa yang boleh menang.’’ Maknanya dalam kamus politik Dr.Mahathir seolah-olah tidak ada pendamai sebaliknya hanyalah pemerintah, pencatur dan penentu.

Demikianlah ‘nafsu politik’ Dr.Mahathir, oleh itu sama ada pemimpin-pemimpin MN mahupun PN tidak perlu terganggu dengan gerakan politik bekas Perdana Menteri tersebut.

Apa yang lebih penting ialah berusaha menyatukan orang Melayu untuk berada di bawah satu panji-panji demi mengembalikan kuasa politik mereka.

Baca juga:   PICK faktor pemangkin kejayaan Pelan Pemulihan Negara

Orang Melayu tidak boleh bergantung kepada mana-mana parti yang lahir ibarat, ‘ke kiri pun tidak, ke kananpun tidak’’ , apatah lagi kalau ia ditubuhkan semata-mata kerana kebencian dan dendam politik seseorang yang kehilangan kuasa akibat tindakannya sendiri.

Kita selalu mendengar kisah, ‘’Si Luncai terjun dengan labu-labunya’’ – oleh itu biarkan sahaja apa juga yang Dr.Mahathir lakukan.

Memang benar beliau tokoh yang hebat dan dianggap cukup strategik dalam berpolitik, tetapi setiap manusia ada kelemahan dan setiap manusia tidak mungkin akan mencapai semua yang dia kehendaki.

Begitulah juga Dr.Mahathir. Beliau pernah berada dalam kerajaan dan pembangkang. Beliau pernah berkawan dan bermusuh dengan semua parti politik.

Baca juga:   Tangguh letak TH bawah BNM sehingga RCI selesai - Najib

Maknanya, kawan dan lawan sudah mengenali siapa beliau dan lebih penting rakyat khususnya orang Melayu pun sudah mengetahui bagaimana pendekatan politik Dr.Mahathir.

Justeru tidak perlu bimbang sangat kerana apapun yang Dr.Mahathir senaraikan berhubung perjuangan parti baru itu anggaplah ia bahan bacaan ketika menghabiskan ‘Super Ring’.

Kita menghormati beliau sebagai seorang tokoh politik yang dianggap hebat tetapi kita boleh menghalang pilihan politik beliau yang tidak mustahil, akhirnya akan memungkinkan beliau mengakhiri karier politik dalam keadaan memalukan.

Tetapi percayalah kalau pun itu berlaku Dr.Mahathir akan menyalahkan pihak lain bukan ‘nafsu politiknya’.

Kesimpulannya, bagi penulis gelagat politik ahli politik berusia 95 tahun itu tidak perlu dilayan. Sebagai seorang yang bertaraf bekas Perdana Menteri dan kini bekerja sebagai Ahli Parlimen, Dr.Mahathir banyak masa untuk berpolitik, jadi biarkanlah beliau begitu.

MN dan PN mempunyai perjuangan lebih penting iaitu mengembalikan kuasa politik orang Melayu, seterusnya melaksanakan agenda demi kesejahteraan rakyat – yang majoriti mereka pastinya tidak memiliki anak bertaraf jutawan mahupun bilionair sehingga memungkinkan mereka berpolitik sepanjang masa.

Wartawan

Terkini

43 tahun bersama UMNO, warganet beri kata semangat

TAN Sri Annuar Musa menyingkap kembali memori di awal pembabitannya menyertai parti UMNO setelah 43 tahun sebagai ahli dan...

Lagi Artikel Berkaitan