28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Jangan bertelagah, kalau mahu kembalikan kuasa politik Melayu

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

TOK Aba dah lama tak menulis, bukan apa Tok Aba seronok pula tengok adegan lompat melompat, keluar masuk parti dan tubuh parti baru. Tok Aba rasa la arena politik negara kita penuh dengan warna-warni, tu tak kira lagi apa yang berlaku dalam Dewan Rakyat.

Tetapi apapun bagi Tok Aba, tak kira la apapun nak berlaku, Tok Aba tetap berharap orang Melayu akan bersatu menyokong Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Tok Aba tak nampak parti atau pakatan lain yang boleh bela nasib orang Melayu dan kuatkan balik kuasa politik orang Melayu selain daripada kedua-dua gabungan tersebut yang kita tau ada tiga parti Melayu dalam tu. UMNO, Pas dan Bersatu. Mana-mana orang Melayu yang tak mau sokong, biaq pi la kat depa.

Orang Melayu kena ingat PRU-15 yang Tok Aba dengar nak diadakan pada November atau Disember ini amat penting untuk survival politik orang Melayu.

Mereka tidak boleh berpecah-belah lagi. Kalau kali ini orang Melayu tidak dapat kembalikan kuasa politik mereka, tak tau bila lagi, depa boleh kuat semula.

La ni peluang terbaik, bukan mudah tiga parti Melayu nak bergabung dan bekerjasama. Bila kita buat macam tu, kita bukannya bersikap perkauman atau nak bermusuh dengan kaum lain. Sebelum ini selama 61 tahun BN memerintah dengan parti Melayu menjadi tonggak pemerintahan, semua kaum terbela.

Kita jangan dok terpengaruh dengan hujah-hujah tak cerdik sesetengah pemimpin yang anggap perjuangan untuk orang Melayu macam dah tak relevan, pasai apa pulak tak relevan?

Kalau orang lain dok beria-ia berjuang kepentingan kaum depa dan dok perkukuh kuasa poltik depa, tak kan orang Melayu tak boleh buat benda yang sama?

Jadi Tok Aba berharap, pemimpin-pemimpin Melayu yang dok dalam MN dan PN, pakat dan berbincanglah elok-elok macam mana nak lawan masa PRU-15. Tok sah dok berbalah sesama sendiri, orang tu kata kat orang ni, orang ni kata kat orang tu.

Semua tu tak ada faedah, kalau dok buat perangai macam tu MN dan PN akan jadi lemah. La ni orang Melayu majoritinya sokong MN dan PN, jangan bagi depa meluat bila ada pemimpin dok bertelagah sesama sendiri pasai dok berebut kerusi.

Bincang baik-baik macam mana nak bagi kerusi sama ada adil. Puak lawan dah tak ada modal nak lawan MN dan PN tetapi depa akan untung, bila pemimpin-pemimpin MN dan PN berbalah pasai kerusi.

Tok Aba sejak awai lagi dok pesan, ‘jaga mulut’, jangan main cakap saja atau seronok sangat buat kenyataan yang tunjuk macam dalam MN dan PN ada masalah terutama pasai pembahagian kerusi.

Mana-mana parti pun dalam MN atau PN tak boleh tunjuk kata depa hebat. Depa perlukan satu sama lain. UMNO tak boleh berdiri sendiri, Pas tak mampu berjuang sendiri, Bersatu tak berdaya bergerak sendiri sebab masing-masing ada kelebihan dan kelemahan.

Masa ni lah pemimpin-pemimpin UMNO, Pas dan Bersatu kena ingat pepatah ‘bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat’, ‘sebatang lidi mudah dipatahkan, tetapi seikat penyapu sukar dipatahkan’.

Macam tu la jugak berkawan dalam MN dan PN, kena pakat elok-elok, baru kuat. Tok sah dok berlaga sama sendiri macam ayam dalam gelanggang, ‘last-last’ orang lain yang bersorak.

Tok Aba tak berapa berkenan dengan beberapa pemimpin yang seronok sangat buat ‘statement’ macam nak tunjuk parti dia sahaja kuat, tak mau tolak ansur macam ‘kerusi aku, kerusi aku, kerusi kau, kerusi aku’ – susahlah macam ni.

Betui la kena pertahan hak parti kita, tapi tak kan tak boleh berunding kot, parti kita pun bukannya boleh lawan sorang-sorang dalam PRU, kena pakat dengan parti lain jugak. Jadi lebih baik bincang elok-elok, kena la bertolak ansur supaya dapat jalan terbaik.

Tok Aba cakap macam ni sebab Tok Aba bimbang MN dan PN la ni dah elok, insha-Allah kalau masuk PRU boleh menang besar, kuasa politik orang Melayu boleh kuat balik, tetapi kalau ada pemimpin yang tak tau nak bertolak ansur dan tak mau hati-hati bercakap… susah la.

Yang Tok Aba pelik tu yang bercakap tu, nak kata hebat sangat, tak lah jugak, masa PRU pun kalah. Kalau depa nak menang balik, jagalah mulut. Tak salah nak pertahan parti tetapi jangan sampai boleh pecah belah muafakat yang dah ada.

Tok Aba mahu kesepakatan dalam MN dan PN dipertahankan bukan kerana mahu merebut kuasa tetapi demi masa depan kuasa politik orang Melayu dan kesejahteraan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Tok Aba bimbang, jika dalam gabungan tu ada bibit-bibit perpecahan, orang lain yang untung, ‘last-last’ orang Melayu menang sorak kampung tergadai macam PRU lepas… jangan sampai jadi macam tu…

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan