27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tutup pejabat Al Jazeera, usir PATI hina Malaysia

Mesti Baca

DOKUMENTARI mengelirukan dan tidak berasas yang disiarkan portal berita Al Jazeera baru-baru ini tidak wajar dibiarkan begitu sahaja.

Laporan bertajuk Locked Up in Malaysia’s Lockdown itu mendakwa berlaku diskriminasi terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) dari segi layanan terhadap mereka ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani pandemik Covid-19.

AMBIL TINDAKAN TEGAS

Meskipun polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kerajaan sewajarnya mengambil tindakan lebih tegas termasuk menutup pejabat media yang berpangkalan di Qatar itu.

Tindakan pengusiran segera juga wajar dilakukan terhadap ekspatriat dan PATI yang terbukti menghina dan memberikan fakta tidak benar mengenai Malaysia.

Perbuatan memburukkan Malaysia tanpa bukti dan fakta kukuh sama sekali tidak wajar dibiarkan kerana ia mungkin mendorong media asing lain melakukan perkara serupa.

KUMAN DI SEBERANG LAUTAN TAMPAK, GAJAH DI PELUPUK MATA TIADA TAMPAK

Ibarat kuman di seberang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tiada tampak, Al Jazeera jelas tidak berlaku adil dalam laporannya itu.

Kebanyakan negara asing termasuk Qatar sendiri mengambil tindakan tegas terhadap dua juta pendatang asing yang bekerja di negara itu terutamanya dalam menangani penularan pandemik Covid-19.

Malah laporan The Guardian mendakwa pekerja migran di Qatar terpaksa mengemis bagi mendapatkan makanan selepas kehilangan mata pencarian dan berdepan kesukaran untuk pulang ke tanah air mereka.

BERSYUKUR DAN MUHASABAH WAHAI PATI

Golongan PATI di negara ini seharusnya bersyukur dan muhasabah diri dengan layanan ‘istimewa’ Malaysia terhadap mereka.

Manakan tidak, semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dikuatkuasakan di sesuatu kawasan, kerajaan memberikan makanan percuma kepada mereka.

Ia perkara yang sukar dilihat berlaku di mana-mana negara di seluruh dunia yang mana golongan PATI turut diberikan layanan sama seperti rakyat Malaysia sendiri.

Malah, ada di antara mereka di Malaysia ‘bebas’ berniaga sehingga dilihat menutup peluang rakyat tempatan mencari rezeki.

HIKMAH DI SEBALIK KEJADIAN

Sementara itu, laporan Al Jazeera berjaya membentuk solidariti rakyat Malaysia khasnya warganet yang bersatu dalam mempertahankan sebarang laporan yang dianggap berat sebelah dan memfitnah negara ini.

Walaupun Al Jazeera menutup ruangan komen, namun mereka ‘terlupa menutup ruangan ‘like’ dan ‘dislike’ pada laporan itu yang mana jumlah ribuan ‘dislike’ mengatasi jumlah ‘like’.

Malah, boleh dikatakan hampir setiap ruangan komen pada artikel lain juga ‘dibanjiri’ komen dari rakyat Malaysia termasuk tanda pagar #apologizetomalaysia.

Apa yang pasti, selagi tiada permohonan maaf dari Al Jazeera, sudah pasti netizen dari Malaysia (tentera bawang) akan terus menyerang laman Facebook media itu. – Edisi 9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan