29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Perlu bayar cukai RM1.69b, kebenaran akan terbukti nanti – Najib

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kebenaran akan terbukti apabila beliau membuat rayuan berhubung kes tuntutan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada Pejabat Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan nanti.

Ini selepas Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan Najib perlu membayar tunggakan cukai pendapatan tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada Kerajaan Malaysia.

Menurutnya, penjelasan hakim tentang keputusannya hari ini dalam kes tuntutan cukai yang dikenakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) jelas membuktikan penyalahgunaan kuasa oleh pentadbiran terdahulu untuk menganiaya beliau.

“Hakim kata dasar “pay first, talk later” (bayar dulu, bincang kemudian) undang-undang LHDN tanpa mengira jika cukai itu patut, tersalah kira atau langsung tak betul adalah kejam tetapi ini adalah Akta Cukai dan mahkamah tiada kuasa untuk pertikaikan, ubah atau hentikan tuntutan LHDN.

“Bagaimanapun, hakim kata rayuan saya perlu didengar di Pejabat Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan, bukan dalam mahkamah.

“Hakim kata Pejabat Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan adalah jalan seterusnya bagi saya untuk mansuhkan tuntutan tidak berasas kerajaan PH dahulu,” tulis Najib menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

Najib menjelaskan, beliau sebenarnya bukan diarahkan hakim untuk membayar cukai tetapi hakim memberi penghakiman terus atau ‘summary judgement’ kepada LHDN untuk teruskan tuntutan mereka terhadap saya.

“Penghakiman terus adalah apabila mahkamah membuat keputusan tanpa melalui perbicaraan penuh, iaitu antaranya tanpa mendengar keterangan saksi.

“LHDN adalah di bawah Kementerian Kewangan. Pada masa tuntutan cukai ke atas saya dan keluarga saya dikenakan juga merupakan masa Tony Pua dan Lim Guan Eng bermaharajalela dan banyak menyalah gunakan kuasa (saman saya jika berani) untuk mengenakan saya dan orang BN,” katanya.

Ujar Najib, di bawah undang-undang cukai Malaysia, Seksyen 106 jelas menunjukkan bahawa LHDN ada kuasa untuk mengenakan sebarang cukai tambahan dan penalti ke atas mana-mana orang.

Selain itu katanya, Seksyen 106 (3) juga mengatakan bahawa mahkamah tiada kuasa untuk mengurangkan atau membatalkan tuntutan cukai LHDN biarpun tuntutan cukai itu disalah kira, tak adil atau tak patut.

“Ini bermaksud, jika LHDN tuntut cukai RM3.76 trilion pun, mahkamah perlu arahkan defendan bayar RM3.76 trilion. Di bawah undang-undang yang saya sebut tadi, mahkamah tak ada kuasa untuk pertikaikan tuntutan cukai LHDN.

“Bayar dulu. Lepas bayar, baru boleh membuat rayuan di panel rayuan LHDN untuk mendapat kembali bayaran yang tak patut,” tambahnya.

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan