26.2 C
Kuala Lumpur
Monday, November 11, 2024

Biar rakyat tentukan siapa yang khianat, mengkhianati, dikhianati

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9


SEJAK Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada hujung Februari lalu berikutan tindakan Tun Dr.Mahathir Mohamad meletakkan jawatan Perdana Menteri sehingga memungkinkan terwujudnya Kerajaan Perikatan Nasional (PN), perkataan khianat, pengkhianatan atau pengkhianat sentiasa berkumandang.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dituduh mengkhianati PH dan Dr.Mahathir. UMNO dan Pas pula dianggap mengkhianati mandat rakyat kerana bersedia menubuhkan kerajaan bersama Muhyiddin.

Dan semalam di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan isu pengkhianatan di dalam partinya sendiri, PH.

Walaupun tidak menyatakan siapa yang dimaksudkan, tetapi ada yang merujuk ia mempunyai kaitan dengan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan sembilan lagi Ahli Parlimen PKR yang keluar parti dan menyertai Bersatu.

  • MANIFESTO PH DAN ‘LOMPATAN’ ADUN SABAH

Kalau kita mahu bercakap soal pengkhianatan, lebih baik kita merintis kembali krisis politik yang berlaku pada Februari lalu dan apa yang terjadi ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketika PRU-14, PH telah membentangkan satu manifesto yang dianggap cukup hebat. Dalam keadaan pada masa itu wujudnya sentimen menolak Kerajaan Barisan Nasional (BN) berikutan isu GST dan 1MDB, pembentangan manifesto yang dianggap `menjanjikan bulan dan bintang’ itu menambahkan lagi sokongan rakyat kepada PH – akhirnya BN tumbang.

Tetapi apa berlaku selepas itu? Apa yang dijanjikan dalam manifesto yang dianggap oleh Tan Sri Rafidah Aziz boleh tidur jika dibaca, tidak ditunaikan.

Alasan kepemimpinan PH khususnya Dr.Mahathir ialah, ia dibuat kerana tidak sangka boleh menang dan bukan kitab suci yang wajib dilaksanakan. Apakah itu tidak boleh dianggap mengkhianati mandat rakyat?

Rakyat memberi mandat yang cukup dibanggakan oleh pemimpin PH sehingga ke hari ini kerana percaya manisfesto itu akan dilaksanakan, tetapi itu tidak berlaku maknanya mandat rakyat telah dikhianati.

Wajarkah bersemangat mahu mengembalikan mandat rakyat sedangkan manifesto yang memungkinkan mereka mendapat mandat itu tidak ditunaikan?

Pada 11 Mei 2018, sehari selepas Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal mengumumkan enam ADUN daripada UMNO dan UPKO menyertai Warisan.

Berikutan tindakan itu, Warisan memiliki sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan sekaligus memaksa Musa meletakkan jawatan. Apakah perbuatan enam ADUN itu tidak boleh dianggap mengkhianati mandat rakyat?

Kalaulah yang melompat dari PH ke dalam PN dianggap ‘katak khianat’, apa pula gelaran kepada ADUN-ADUN Sabah tersebut? Apakah istilah khianat, mengkhianati hanya terpakai apabila ia merugikan PH?

  • SITUASI SELEPAS PRU-14

Selepas 22 bulan PH menjadi kerajaan, dua bulan sebelum genap dua tahun, Dr.Mahathir yang menjadi Perdana Menteri kali kedua menyerahkan jawatan itu kepada Anwar seperti mana dijanjikan, berlaku pergolakan dalam pakatan itu.

Advertisements

Dr.Mahathir hakikatnya tidak mahu melepaskan jawatan itu kepada Anwar. Apakah tindakan Ahli Parlimen Langkawi itu tidak boleh dianggap mengkhianati perjanjian yang telah dibuat dalam kalangan komponen PH?

Apabila Dr.Mahathir meletakkan jawatan tanpa merujuk kepada kepemimpinan PH sehingga tumbang kerajaan pakatan itu, apakah itu tidak boleh dianggap mengkhianati kesepakatan PH?

Ketika Dr.Mahathir menjadi Perdana Menteri Interim, beliau berhasrat menubuhkan Kabinet Perpaduan – menggabungkan semua dalam satu Kabinet tanpa mengira parti tidakkah itu boleh dianggap ‘mengkhianati’ kawan-kawan dalam PH yang menyokong beliau kekal sebagai Perdana Menteri?

Kalau mahu bercakap soal ‘khianat,mengkhianati’, isu siapa calon Perdana Menteri daripada PH lebih seronok untuk teliti. Pakatan itu pada mulanya mencalonkan Dr.Mahathir, kemudiannya berubah kepada Anwar. Ada yang kata itu ‘mengkhianati’ Dr.Mahathir, bolehkah?

Semasa Dr.Mahathir menyatakan Anwar ‘gila-gila’ mahu menjadi Perdana Menteri walaupun tidak ada sokongan, tidakkah itu boleh dianggap ‘khianat’ kerana sanggup memburukkan kawan sendiri?

Tidak lama kemudian DAP dan Amanah bersetuju mencalonkan kembali Dr.Mahathir tetapi dengan syarat ahli politik berusia 95 tahun itu hanya akan memegang jawatan selama enam bulan sebelum menyerahkannya kepada Anwar.

Apabila pendirian ditolak oleh PKR, Dr.Mahathir mengadakan pertemuan dengan DAP, Amanah dan Warisan tanpa kehadiran PKR yang memutuskan Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri manakala Anwar dan Datuk Seri Mukhriz menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri, bukankah itu boleh dianggap ‘mengkhianati’ kepada Anwar?

Menariknya, selepas DAP dan Amanah berubah lagi apabila kembali menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri. Apakah itu tidak boleh ditafsirkan ‘mengkhianati’ Dr.Mahathir dan Mohd.Shafie? Dalam satu wawancara Mohd.Shafie menyatakan tindakan ‘pusingan U’ menunjukkan betapa tidak tegasnya PH.

Bagaimana pula dengan tindakan Dr.Mahathir mengumumkan beliau bersama lima lagi bekas ahli Parlimen Bersatu akan kekal bersama Warisan di blok Bebas, maknanya tidak lagi berada dalam PH plus?

Bukankah itu boleh dilihat satu ‘pengkhianatan’ kerana akan menyebabkan pembangkang berpecah belah?

Oleh itu apabila Anwar bercakap soal peraturan, etika politik, mandat dan isu ‘khianat mengkhianati’, penulis berpendapat, tindak tanduk dalam blok pembangkang sendiri perlu diperbaiki.

Apatah lagi istilah khianat, mengkhianati ini boleh dilihat dan ditafsirkan berdasarkan siapa yang bercakap dan di pihak mana seseorang itu berada.

Penulis bersetuju dengan pandangan Anwar, ‘’jangan gaduh soal sejarah’’, kalau begitu tidak payahlah lagi bangkit soal khianat mengkhianati yang dilihat hanya ditujukan kepada pemimpin yang bergabug di dalam PN, memandangkan ia pun sudah jadi sejarah.

Justeru lebih baik tumpukan perhatian untuk mengamalkan politik matang dan membangunkan negara. Sama ada siapa khianat siapa, siapa yang sebenarnya mengkhianati mandat rakyat? Biarlah rakyat tentulah dalam PRU-15 nanti.

Advertisements

Terkini

Era baharu ‘gelombang merah’ di bawah Donald Trump

Oleh COLLINS CHONG YEW KEAT DONALD J. Trump memenangi Pilihan Raya Presiden dengan kemenangan suara rakyat Amerika dalam mesej jelas...

Lagi Artikel Berkaitan