27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Jadi jutawan setelah jumpa permata nadir RM13 juta

Mesti Baca

REZEKI… Seorang pelombong kecil di Tanzania tidak menduga dirinya menjadi jutawan setelah menemukan dua batu permata berharga terbesar yang pernah dijumpai di negara itu sebelum dijual kepada kerajaan.

Saniniu Kuryan Laizer menemui batu berkenaan dengan berat masing-masing 9.27 kilogram dan 5.1 kilogram di utara bukit Mirerani, kira-kira 271 kilometer dari barat daya ibu negara, Dodoma.

Kawasan itu sebenarnya telah dibina tembok khas sepanjang 24 kilometer oleh Presiden John Pombe Magufuli pada 2018 sebagai usaha menghalang aktiviti penyeludupan permata nadir tersebut.

Media tempatan melaporkan, Laizer yang juga bapa kepada lebih 30 anak tersebut menjual batu digelar sebagai tanzanite itu kepada pihak kerajaan pada harga 7.7 bilion shilling (RM12.8 juta).

Rekod sejarah menunjukkan bahawa tanzanite kali pertama ditemui di kaki gunung Kilimanjaro pada 1967, sekitar Manyara di utara Tanzania yang merupakan satu-satunya lokasi ada batu itu.

Ia amat digemari tukang emas seluruh dunia kerana kilauan warna ungu kebiruan luar biasa dan amat berharga di pasaran antarabangsa disebabkan sifat nadir serta khusus dibuat perhiasan.

Sebelum ini, rekod tanzanite paling berat pernah ditemui ialah 3.3 kilogram, malah pakar geologi menganggarkan simpanan batu itu hanya ada baki 20 tahun jika dilombong secara berterusan.

Pada satu majlis untuk raikan penemuan oleh Laizer kelmarin, Menteri Perlombongan Tanzania, Dotto Biteko mengesahkan secara rasmi batu itu adalah terbesar pernah ditemui dalam negara.

“Dia ialah jutawan kami dan biarlah kami memastikan dia selamat. Kami sedang beralih daripada situasi pelombong kecil seludup dan kini mereka patuhi prosedur, bayar royalti kepada kerajaan.”

Dalam pada itu, Laizer, 52, yang memiliki empat isteri berkata bahawa beliau berharap supaya dapat memanfaatkan wang jualan diterima tersebut bagi membangunkan semula komunitinya.

“Saya merancang untuk membina sebuah pusat beli-belah di Arusha dan sekolah berhampiran rumah saya kerana ada ramai orang miskin di sini,” kata beliau yang menetap di daerah Simanjiro, Manyara.

Laizer tetap hidup sederhana dengan menternak 2,000 ekor lembu miliknya, manakala pihak kerajaan menerusi ciapan akaun sosial Twitter berkata, batu itu bakal diletakkan di muzium negara. – EDISI 9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan